Jumaat, 14 Disember 2018

AL-QURAN DIJAUHI

Mengapa al-Quran dijauhi?  Malas membaca al-Quran?  Tahap percayakan al-Quran sangat rendah.  Masalahnya bukan saja menjauhi al-Quran, tapi tidak mahu mengetahui apakah maksud yang dibawakan ayat yang terkandung di dalamnya.  

Maka masalah ini banyak dipengaruhi oleh iman terhadap perkara ghaib yang rendah.  Ini disebabkan isi kandungan al-Qurna terkandung perkara ghaib meliputi pahala dan dosa, syurga dan neraka, alam kubur dan akhirat dan sebagainya. Jika mengetahui akan kelebihan al-Quran sekurang-kurangnya dapat membantu mendekati al-Quran.

KELEBIHAN AL-QURAN DAN MEMBACANYA:

1.  Allah berfirman:
Katakanlah (Wahai Muhammad):  Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berkumpul dengan tujuan untuk membuat dan mendatangkan yang serupa dengan al-Quran ini, nescaya mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang serupa dengannya,  sekalipun sebahagian mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain." (Surah al-Isra' 17:88)

2.  Al-Bukhari meriwayatkan daripada Uthman r.a., beliau berkata bahawa Rasullullah SAW bersabda:

"Sebaikbaik kamu adalah orang yang mahu mempelajari al-Quran dan mengajarkan kepada orang lain." (Riwayat al-Bukhari no. 5052)

3.  Muslim meriwayatkan daripada Umamah r.a, beliau berkata:" Aku pernah mendengar Rasullullah bersabda: " Bacalah al-Quran, kerana pada hari kiamat kelak dia akan datang memberikan syafaat kepada pembacanya." (Riwayat Muslim no. 804)

4.  Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Aisyah r.ha., beliau berkata:"Rasullullah SAW bersabda: " Tidak boleh ada iri hari, kecuali dalam dua perkara, iaitu terhadap seseorang yang diberi keampunan menghafal al-Quran ,  lalu ia membacanya, baik pada malam hari mahupun siang hari;  dan terhadap seseorang yang dikurniakan herta oleh Allah, laludia infakkan, baik pada malam hari mahupun siang hari." (Riwayat al-Bukhari no. 5025 dan Muslim no. 815)

5.  Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Aisyah r.ha.' belaiau berkata: "Rasullullah SAW bersabda: " Orang yang gemar membaca al-Quran dan sudahmahir dalam membacanya kelak akan bersama golongan mereka yang mulia lagi berbakti.  Adapun orang yang gemar membaca al-Quran, namun dalam membacanya masih terangkak-rangkk, maka ia akan mendapat dua pahala." (Riwayat al-Bukhari no. 4937 dan Muslim no. 798)

Rujukan:
Syaikh Yusuf al-Nabhani, (2010).  Ringkasan Riyadus Salihin (terj) , disusun oleh Imam Nawawi.  Telaga Biru: Kuala Lumpur.


Isnin, 3 Disember 2018

UMPAMA SEDEKAH SETELAH KENYANG

Abu Darda' menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya: " Perumpamaan orang yang membebaskan hamba atau bersedekah ketika hampir mati adalah seperti orang yang menghadiahkan makanan kepada orang lain setelah dia kenyang." (Hadis Riwayat Tirmizi)

Rasulullah berkias tentang tahap dalam melakukan amal kebajikan.  Walaupun wasiat untuk sedekah sebelum mati digalakkan,namum bersedekah ketika sihat amat dituntut. 

Rasulullah SAW menggesa umatnya supaya berakhlak mulia dengan segera bersedekah.  Baginda ditanya tentang cara sedekah yang mendatangkan pahala yang besar.  Rasulullah bersabda yang bermaksud, " Hendaklah bersedekah dalam keadaan sihat, berkeinginan dengan dunia,  takut miskin, dan bercita-cita menjadi kaya.  Jangan tanguhkan sedekah sampai roh berada di halkum kemudian menyatakan ; "untuk sifulan sekian, sifulan sekian,, '  pada hal sudah menjadi milik orang lain (melalui warisan) (Hadis Riwayat Bukhari).

Beberapa keadaan yang dianggap sedekah yang paling utama;

1.  Bersedekah secara rahsia:  Tujuh golongan yang mendapat naungan Allah SWT di akhirat ialah mereka yang bersedekah secara rahsia (denga penuh ikhlas).

2.  Berdekah ketika sihat:  Mujahadah perlu agar tidak terpedaya dengan harta.

3.  Bersedekah ketika sangat memerlukan pada harta:    Rasulullah bersabda,: "Bersedekah dengan satu dirham lebih baik daripada bersedekah seribu dirham.  iaitu seseorang yang hanya memiliki dua dirham tetapi bersedekan satu dirham lebih baik daripada seseorang yang hanya bersedekah seratus dirham sedangkan hartanya melimpah-limpah".

4.  Memberi nafkah untuk keluarga:  Merupakan kewajipan yang tidak boleh diabaikan.  Ia juga dianggap suatu sedekah apabila memberi nafkah dalam keadaan mencari reda Allah SWT.

5.  Bersedekah kepada kaum kerabat:  Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Nabi SAW bersabda dengan maksudnya," Sedekah kepada orang miskin nilainya hanya sedekah,. Sedekah kepada kerabat nilainya dua:  sedekah dan menyambungkan silaturrahim."

Rujukan:

Mohd Sukki Othman. 2017 . Analogi Nabawi dalam Kehidupan Insani. Rimbunan Islamik Media: Kuala Lumpur







Selasa, 27 November 2018

Mengetahui dan Menutup Pintu Masuk Syaitan

Said Hawwa dalam kitab Tazkiyah an-Nafs (ms 171-180) menerangkan pandangan Imam Ghazali melalui Ihya Ulumuddin berkaitan pintu syaitan.  Sesungguhnya syaitan memiliki cara dan jalan ketika mempengaruhi jiwa kecuali mereka yang dilindungi Allah SWT.  Syaitan datang ke dalam jiwa melalui celah naluri  (watak dan tabiat) dan syahwat manusia.  Syaitan tahu titik kelemahan manusia.  Mengusir syaitan tidak dapat dilakukan kevuali dengan tahu pintu masuknya.  Maka mengetahui pintu masuk syaitan itu adalah wajib.  Beberapa contoh pintu besar masuk syaitan adalah;

1. Marah dan syahwat:  Marah adalah bencana yang menimpa akal.  Jika tentera akal lema, syaitan akan menyerang.

2.  Dengki dan Tamak:  Ketamakan akan membuatkan manusia buta dan tuli.

3.  Kenyang dengan makanan:  Walaupun makanan itu halal, kekanyangan menguatkan berbagai syahwat yang merupakan senjata syaitan.  Bila kenyang, hilang rasa takut akan Allah,  hilang rasa kasih sayang sesama manusia, malas lakukan ketaatan, tidak mampu mendengar hikmah, dan tidak berkesan dalam menyampaikan nasihat.

4.  Suka berhias dengan pakaian, perabot dan rumah:  Syaitan sentiasa berusaha memujuk agar manusia dalam keadaan menunjuk-nunjuk dalam perhiasan dunia.

5.  Tamak terhadap manusia:  Syaitan sentiasa membisikkan agar menjadikannnya suka, cari uka, dan berhias di hadapan orang yang inginkannya dengan sikap riak dan menyamar seolah-olah orang itu adalah hebat pada pandangan mata orang.

6.  Tergesa-gesa dan tidak berhati-hati dalam pelbagai perkara:  Pada saat tergesa-gesa, syaitanmemasukkan kejahatannya tanpa disedari.

7.  Dirham, dinar dan pelbagai harta kekayaan:  Semua ini adalah makanan syaitan.

8.  Bakhil dan takut miskin:  Sikap ini mencegah manusia berinfak dan bersedekah lalu syaitan mengajak kumpul dan simpan harta.  Lahir sifat tamak.

9.  Fanatik terhadap mazhab dan hawa nafsu:  Sifat ini akan membinasakan para ahli ibadah dan orang-orang fasik sekalian. 

10.  Mengajak orang awam untuk memikirkan zat dan sifat Allah SWT:  Hal ini boleh menimbulkan keraguan terhadap dasar agama atau pelbagai khayalan yang tidak betul tentang Allah SWT hingga boleh terjerumus kepada kekafiran dan bidaah.

11.  Berprasangka buruk terhadap kaum muslimin:  Orang munafik mencari kekurangan dan kesalahan oranglain.  Bersikap lapang dada terhadap semua kaum muslimin. 

Ibn Qayyim Al Jauziyyah menyebutkan enam cara yang dilakukan oleh syaitan dalam menggoda manusia supaya tersesat:
1. Syaitan memujuk manusia agar mengingkari Allah atau menyekutukan-Nya. Jika tidak berhasil, dia beralih pada cara yang kedua.
2. Syaitan memujuk manusia agar melakukan bid’ah yang sesat. Jika manusia berpegang teguh pada Sunnah, setan beralih pada cara yang ketiga.
3. Syaitan menggoda manusia untuk melakukan dosa-dosa besar. Jika manusia terjaga dari dosa besar, setan beralih pada cara yang keempat.
4. Syaitan menggoda manusia untuk melakukan dosa-dosa kecil. Jika manusia terhindar dari dosa kecil, misalnya segera bertaubat ketika menyedari dosa kecil yang dilakukannya, syaitan segera beralih pada cara yang kelima.
5. Syaitan menggoda manusia dengan perbuatan yang tiada berguna. Manusia dipujuk untuk menghabiskan waktunya dengan perbuatan yang sia-sia sehingga meninggalkan perbuatan yang berguna.
6. Syaitan menggoda manusia agar sibuk dengan perkara-perkara yang baik tetapi mengabaikan perkara-perkara yang lebih baik. Contohnya, seseorang disibukkan dengan ibadah-ibadah sunnah tetapi mengabaikan ibadah fardhunya.
Godaan yang keenam sangat halus tetapi bahayanya amat besar. Karena itu, ia harus dicermati. Hal ini bukan berarti bahwa kita sebaiknya meremehkan ibadah-ibadah sunnah dan menganggapnya sebagai sesuatu yang dapat menghambat kemajuan Islam. 
Sumber: 
1. Said Hawwa (2015) Kitab Tazkiyah an-Nafs (terj) (ms 171-180):. Al Hidayah House of Publication:  Kuala Lumpur

2. Begini Cara Setan Menggoda Manusia (1)

https://www.hidayatullah.com/kajian/oase-iman/read/2015/05/20/69999/begini-cara-setan-menggoda-manusia-1.html

Khamis, 15 November 2018

NAMA-NAMA AL-QURAN

Dalam bahagian awal Tafsir al-Munir, Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili menerangkan sejumlah nama Al-Quran.  Antara lain ;  al-Qur'an, al-Kitab, al-Mushaf, an-Nuur, dan al-Furqan(ms 2, jilid 15)

1.  Al-Quran:  Dinamakan Al-Qur'an kerana wahyu yang dibaca.  Abu 'Ubaidah berkata, dinamakan Al-Qur'an kerana ia mengumpulkan dan menggabungkan surah-surah.  Allah berfirman;  "Sesungguhnya Kami yangakan mengumpulkannya (di dadamu) dan membacakannnya." (al-Qiamah:17).  Al-Quran diturunkan secara bertahap sedikit demi sedikit dan setelah sebahagiannya dikumpulkan dengan sebahagian yang lain, ia dinamakan Al-Quran.

2.  al-Kitab:  berasal dari kata al-katb bererti pengumpulan yang terdiri dari kisah, ayat, hukum, dan berita dalam metode yang khas.

3.  al-Mushaf:  dari kata asy-hafa mererti mengumpulkan syuhuf (lembaran-lembaran) di dalamnya. Abu Bakar as-Siddiq bermesyuwarah dengan beberapa orang tentang namanya lalu dinamakan al-Mushaf.

4.  an-Nuur (cahaya):    menyingkap berbagai hakikat dan menerangkan hal-hal yang samar (soal hukum, halal haram, hal ghaib yang tidak difahami secara nalar) dengan penjelasan yang tepat dan keterangan yang jelas.  Allah berfirman,
"Hai manusia, sesungguhnya telah sampai kepadamubukti kebenaran dari Tuhanmu (Muhammad dan mukjizatnya) dan telah kami turunkan kepadamu cahayayang terang benderang (al-Qur'an)." (An-Nisaa': 174)

5.  al-Furqan:  dapat membezakan antara yang benar dan yang salah, antara iman dan kekafiran,  antara kebaikan dengan kejahatan.  Allah berfirman;
"Mahasuci Allah yang telah menurunkan Furqan (Al-Qur'an) kepada hamba-Nya (Muhammad) agar dia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam (jin dan manusia)." (al-Furqaan:  1)

SELAMAT MEMBACA KITAB AL-MUNIR




Rabu, 14 November 2018

Doa memohon hidayah, takwa, sifat 'afaf dan ghina

اللَّهُمَّ إنِّي أسْألُكَ الهُدَى ، والتُّقَى ، والعَفَافَ ، والغِنَى
"Allahumma inni as-alukal huda wat tuqo wal ‘afaf wal ghina.” 
(HR. Muslim no. 2721)

Ertinya:
Ya Allah, aku memohon  pada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat ‘afaf dan ghina.

 An Nawawi dalam Syarh Shahih Muslim: mengatakan, “”Afaf dan ‘iffah bermakna menjauhkan dan menahan diri dari perkara yang tidak diperbolehkan. Sedangkan al ghina adalah hati yang selalu merasa cukup dan tidak perlu kepada apa yang ada di sisi manusia.” 

Rasulullah mengajar kita agar memohon empat perkara dalam doa ini: 

a. al huda iaitu petunjuk dalam ilmu dan amal. 

b. al taqwa iaitu sentiasa berwaspada dan berhati-hati agar melaksanakan perintah Allah dan menjauhi larangan. 

c. ‘afaf atau ‘iffah iaitu agar dijauhkan dari perkara yang diharamkan seperti zina dan yang seumpamanya. 

d. al ghina iaitu dicukupkan oleh Allah dari apa yang ada di sisi manusia dengan sifat qona’ah, selalu merasa cukup ketika Allah memberinya harta sedikit atau pun banyak. 

Semoga Allah menganugerahkan kita dengan petunjuk yang akan memandu kita menjadi orang yang bertaqwa serta memiliki sifat yang menjauhkan kita dari yang haram dan sentiasa merasa cukup dengan rezeki yang ada.
·    sumber: http://mknaceunlimited.blogspot.com/2017/11/perkongsian-1-hari-1-hadis-mohon.html
      

Rabu, 26 September 2018

Pedagogi dan pembelajaran efektif

Pedagogi merupakan asas kepada keberkesanan pelaksanaan pembelajaran di bilik darjah. Pemilihan pedagogi yang sesuai dengan keperluan ,murid sangat penting ditekankan kepada guru.  Semasa dalam latihan perguruan, ilmu pedagogi didedahkan serta dimantapkan agar guru benar-benar bersedia dengan aspek teori dan amali. Keberkesanan pedagogi bergantung kepada kandungan yang akan diajar, memahami keperluan kepelbagaian pelajar, sesuaikan dengan keadaan di dalam kelas dan konteks di sekelilingnya. 

Di dalam bilik darjah, guru menggunakan pedagogi tertentu untuk menyampaikan kandungan pelajaran. Walaupun guru telah lama mengajar namun belum tentu pengajarannya berkesan.  Tidak ada kaitan antara lama mengajar dengan keberkesanan pengajaran.  Terdapat pelbagai faktor yang mempenagruhi keberkesanaan pengajaran.  Hal ini disebabkan banyak faktor guru yang menyumbang kepada pengajaran berkesan.  

Secara umum, guru terbaik percaya kepada kemampuan pelajar mereka untuk belajar, dan dengan berhati-hati menggunakan pelbagai pendekatan pedagogi untuk memastikan pembelajaran ini berlaku.

Pedagogi merujuk kepada "interaksi antara guru, pelajar, dan persekitaran pembelajaran dan tugas pembelajaran.

Perspektif teoritis utama pedagogi yang digunakan adalah dari Piaget, Bruner dan Vygotsky:

• Kesediaan (Piaget)

• Satu organisasi kandungan dan aktiviti lingkaran (Bruner)

• Zon Pembangunan Proksimal (ZPD) (Vygotsky)

• Bahan (Vygotsky)

• Pembangunan kognitif berlaku di ruang sosial di mana orang ahan mempengaruhi satu sama lain (Bruner, Piaget, Vygotsky) (CUREE, 2012; Schunk, Pintrich & Meece, 2008; Vygotsky, 1978).

Walaupun pedagogi bersifat dinamik dan sering diperbaharui, namun dalam mengukur keberkesanan pembelajaran, faktor-faktor lain seperti iklim bilik darjah, kesediaan pelajar berubah, kurikulum yang fleksibel serta pentaksiran yang sesuai dengan keperluan murid perlu diambil kira.

Khamis, 20 September 2018

SOLAT KHUSYUK (1)

Solat dengan sempurna adalah tonggak dalam membina agama dalam diri insan.  Oleh kerana membina dalam diri adalah wajib bagi keselamatan di dunia dan di akhirat.  Tonggaknya ialah menunaikan solat dengan sempurna. Hukum menunaikan solat dengan sempurna adalah wajib maka usaha ke arah tujuan itu juga adalah wajib.  Solat yang dituntut perlu dilaksanakan dengan penuh teliti, perhatian dan penghayatan. Antara penghayatan yang perlu diberi tumpuan ialah menghayati terhadap bacaan dan perbuatan ketika solat.

Dalil yang menunjukkan wajib khusyuk dan menghadirkan hati ketika menunaikan solat antaranya;

1.  "Dirikan solat untuk mengingati Ku." (Taha: 14).  Allah memerintahkan kita tunaikan solat dengan ingat kepada Allah.  Lawan bagi ingat ialah lalai.

2.  "Jangan engkau tergoong ke dalam golongan orang-orang yang lalai." (al-A'raf:  205).  Allah melarang orang yang lalai.  Haram lalai ketika menunaikan solat.

3.  "Sehingga kamu tahu dan sedar perkataan-perkataan yang kamu ucapkan." (al-Nisa':  43).  Orang mabuk dilarang menunaikan solatdisebabkan akal dan fikiran mereka tidak tertumpu pada bacaan dan perbuatan ketika solat.

4.  "Sesiapa yang solatnya tidak menghalang dirinya daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar maka solatnya hanya menjadikannya bertambah jauh daripada Allah." ( Maksud hadis)

5. "Berapa ramai orang yang berdiri menunaikan solat yang tidak dapat ganjaran daripada solat yang ditunaikan melainkan penat dan letih berdiri. (Maksud hadis)

6.  "Tidak ada nilai bagi solat yang didirikan oleh seseorang melainkan sekadar yang disertai oleh fikirannya." (Maksud Hadis)

Sumber:

Hasnan Kasan, 2014. Mari Memahami dan Menghayati Bacaan Solat.  Sinar Tenggara Sdn Bhd. : Selangor.  ms 13-16

Khamis, 30 Ogos 2018

PINTU MASUK SYAITAN

(Sambungan Bab Penyucian Jiwa : Tazkiyah an-Nafs - Sa'id Hawa, ms 171- 180)

Bab Mengetahui dan Menutup Pintu-pintu Masuk Syaitan;

Ketahuilah bahawa hati ibarat benteng dan syaitan adalah musuh yang ingin memasuki dan menguasainya. Manusia perlu menjaga benteng dari serangan musuh.  Untuk menjaga pintu tersebut, manusia perlu tahu pintu yang disukai syaitan memasukinya.  Melindungi hati  dari bisikan syaitan adalah wajib bahkan fardu ain bagi hamba yang mukallaf.

Pintu besar yang disukai syaitan ialah;

1.  Marah dan syahwat.  Marah adalah bencana yang menimpa akal.  Jika akal lemah, tentera syaitan mudah menyerang.

2.  Dengki dan tamak.  Jika hamba tamak terhadap sesuatu, maka ketamakan itu membuatkannya buta dan tuli. 

3.  Kenyang dengan makanan.  Enam jenis sifat tercela akibat banyak makan. 
a.  Hilangkan rasa takut kepada Allah.
b.  Hilang rasa kasih sayang terhadap makhluk.
c.  Malas lakukan ketaatan.
d.  Tidak mampudengar kerkataan hikmah.
e.  Bila sampaikan nasihat penyampaiannya tidak menyentuh hjati.

4.  Suka berhias dengan perkaian, perabut dan rumah.  Syaitan sentiasa memujuknya untuk membina rumaj,menghiasi bumbung dan dindingnya, dan memperluas bangunannya.  Syaitan juga akan memujuk dengan berhias dan kenderaan.

5.  Tamak terhadap manusia.  Syaitan sentiasa menjadikannya suka, cari muka dan berhias di hadapan orang yang diinginkannnya dengan sikap riak dan menyamar seolah-olah orang itu adalah sembahannya.

6.  Tergesa-gesa dan tidak berhati-hati dalam pelbagai perkara.  Allah swt berfirman, " Manusia diciptakan (bertabiat) tergesa-gesa..." (Al-Anbiya:37), "...dan manusia bersifat tergesa-tergesa." (Al-Isra': 11).

7.  Dirham, dinar dan pelbagai harta kekayaan,.  Setiap kekayaan selain makanan dan keperluan asas adalah tempat menetap kekayaan.

8.  Bakhil dan takut miskin. Sifat ini mencegah untuk berinfak dan bersedekah lalu syaitan mengajak mengumpul dan menyimpan harta. 

9.  Fanatik terhadap mazhab dan hawa nafsu.  Bersifat dengki terhadap orang yang lain mazhab dan dengan pandangan menghinakan merupakan perkara yang membinasakan. 

10.  Mengajak orang awam untukmemikirkan zat dan sifat Allah SWT.  Memikirkan perkara yang tidak terjangkau oelh akal sehingga membuat keraguan terhadap dasar agama atau menimbulkan kkayalan terhadap Allah SWT sehingga terjerumus kekafiran dan bidah.

11.  Berprasangka buruk terhadap kaum muslimin.  Firman Allah SWT, " Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada  prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa..." (Al-Hujarat: 12)

Solat merupakan ujian bagi hati. Kebaikan dan keburukan hati boleh diketahui dengan solat. Solat tidak diterima daripada hati yang dipenuhi dengan pelbagai jenis syahwat dunia. Tidak menghairankan jika syaitan tidak lari  bahkan semakin menambahkan was-was di dalam diri.

Selasa, 31 Julai 2018

DASAR-DASAR ISLAM 1- Abul A'la Al-Maududi


1. MUSLIM KURNIA ALLAH YANG TERBESAR 

Setiap Muslim yakin sepenuhnya bahawa kurnia Allah yang terbesar di dunia ini adalah agama Islam. Seorang Muslim akan sentiasa bersyukur kepada Allah, yang telah memasukkannya ke dalam kelompok umat Muhammad Rasulullah saw, dan yang telah memberikan kepadanya kurnia Islam. 

Allah menyatakan Islam sebagai kurniaNya yang terbesar yang diberikanNya kepada hamba-hambaNya, sebagaimana disebutkan dalam al-Qur'an: “... Pada hari ini, telah Ku-sempurnakan untuk kamu agama-mu, dan telah Ku- cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah , Ku-redhai Islam itu agama bagimu ..."( Al-Quran al-Maidah, 5 :3 ) 

2. KEWAJIPAN KITA KE ATAS KURNIA YANG KITA TERIMA 

Kewajipan kita untuk melaksanakan kewajipan terhadap Allah, kerana nikmat yang telah diberikanNya kepada kita. Seseorang yang tidak melaksanakan kewajipannya kepada orang lain yang telah memberikan sesuatu yang sangat berharga baginya, ia adalah seorang yang tidak tahu berterima kasih. Dan manusia yang tidak melaksanakan kewajipannya kepada Tuhan adalah manusia yang paling tidak tahu berterima kasih. 

Sekarang, mungkin anda akan bertanya: Apakah kewajiban yang harus kita laksanakan kepada Allah yang telah memberikan kurniaNya kepada kita? Jawapannya adalah bahawa kerana Allah telah memasukkan kita ke dalam kelompok umat Muhammad saw, maka bukti terima kasih yang paling baik yang dapat kita persembahkan kepada Allah atas kurniaNya yang besar itu, adalah dengan cara menunjukkan sikap sebagai pengikut- pengikut Rasulullah saw yang tulus dan setia. 

Satu-satunya cara untuk memperlihatkan rasa terima kasih kita kepadaNya adalah dengan menjadi orang Muslim yang benar.

3. APAKAH MUSLIM ITU NAMA SUATU KELOMPOK BANGSA MANUSIA? 

Apakah seseorang sudah membawa Islam pada waktu ia dilahirkan? Apakah seseorang disebut Muslim kerana ibu-bapanya atau kakaknya adalah Muslim? Apakah seorang Muslim terlahir begitu sahaja sebagai seorang Muslim, sebagaimana halnya seorang bangsawan lahir sebagai bangsawan, atau seorang anak dari kasta Brahmana lahir sebagai seorang Brahmana, atau seorang anak Sudra lahir sebagai seorang Sudra?

4. ERTI MENERIMA ISLAM 

Seseorang menjadi Muslim apabila ia menerima Islam sebagai agamanya. Masalahnya adalah, apa ertinya menerima Islam itu? Apakah ini bererti bahawa sesiapapun yang mengucapkan "saya adalah seorang Muslim atau saya telah menerima Islam" automatik menjadi seorang Muslim? 

Menerima Islam adalah bahawa seseorang harus dengan penuh kesedaran dan kesengajaan menerima apa yang telah diajarkan oleh Rasulullah Muhammad saw, dan bertindak sesuai dengan ajaran tersebut.

5. SYARAT PERTAMA: PENGETAHUAN 

Islam adalah sebutan terhadap pengetahuan dan tindakan mempraktikkan pengetahuan tersebut.

Seseorang tidak dapat menjadi seorang Muslim tanpa memiliki pengetahuan, kerana Islam tidak diperolehi kerena faktor keturunan, tetapi kerana pengetahuan. 

Kalau orang yang bersangkutan tidak mengetahui apa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad saw, bagaimana ia boleh menyatakan keimanannya kepada ajaran tersebut dan mempraktikkannya? 

Dan bila ia menyatakan keimanannya tanpa kesedaran dan tanpa pengertian mengenai ajaran tersebut, bagaimana ia dapat menjadi seorang Muslim? 

Adalah tidak mungkin untuk menjadi seorang Muslim dan hidup sebagai seorang Muslim tanpa mengetahui apa-apa. 

Bila ia mempunyai obor pengetahuan, maka ia akan mampu melihat jalan Islam yang lurus pada setiap langkah dalam hidupnya, melihat dan menghindari jalan-jalan kufr, syirk, bid'ah dan tidak bermoral yang menghalang jalannya, dan bila seorang penyesat ditemuiya di tengah jalan, maka setelah bertukar kata sejenak dengannya, ia pasti akan segera sedar, bahawa orang yang ditemuinya itu adalah seorang yang jahat dan tidak boleh diikuti.

SOALANNYA: Kenapa tidak bersikap serius dan bersunguh-sungguh dalam mencari pengetahuan, yang pada pengetahuan inilah bergantungnya hakikat anda disebut sebagai seorang Muslim dan hidup seterusnya sebagai seorang Muslim.

Rabu, 25 Julai 2018

KASUT HITAM


Isu kasut hitam kasut putih rupanya boleh jadi polemik politik.  Menteri arah murid pakai kasut hitam apabila beliau terima pandangan dari ibu bapa. Arahan tersebut mengundang polemik dan seakan mengembirakan penentangnya. Mereka kata banyak lagi perkara utama yang perlu diberi keutamaan. Warna kasut bukan dasar. Tapi jika menteri kata masih ada murid miskin ke sekolah tak pakai kasut mungkin dapat diterima. Isu ini boleh diputarkan  dengan kaitkan perlunya usaha mengikis kemiskinan demi kualiti pendidikan.  

Namun jika isu kasut hitam diguna untuk merendahkan kemampuan orang lain juga tidak baik.  Kenyataan seperti “Saya ingat Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengubah dasar pelajaran melalui kepala, tetapi melalui kaki. Entah apa yang dia congak." Pemikiran begini menggambarkan sifat manusia suka gembar gemburkan isu remeh berbanding isu utama. Tujuannnya hanya untuk menjatuhkan kredebiliti orang lain. Tak salah isu kecil diberi perhatian di samping melihat perkara dasar sebagai keutamaan. Ada keperluannya apabila isu yang dianggap remeh diberikan tumpuan. Nampaknya, diskusi kasut hitam mendasari perbincangan umum tentang pendidikan kini berbanding isu utama seperti dasar bahasa dalam pendidikan, pendidikan tinggi, TVET dan sebagainya.  

Antara kerja utama sekarang ialah membangkang apa saja yang dicadangkan. Mungkin  itulah pendidikan.

Jumaat, 13 Julai 2018

ANALISIS DIALOG DALAM FILEM MELAYU



(Artikel untuk penerbitan Kompilasi Buku Kementerian Dalam Negeri 2018) 



ANALISIS DIALOG DALAM  FILEM MELAYU
Yahya Othman [1]

Dialog adalah wahana dalam filem bagi tujuan menyampaikan dan mengukuhkan mesej.  Sehubungan itu, penggunaan bahasa di dalam dialog penting untuk mempamerkan idealisme pengarah melalui skrip yang ditulis.  Dalam konteks penapisan  filem di Malaysia, dialog yang digunakan pula perlu mengikut  Garis Panduan Penapisan Filem, Kementerian Dalam Negeri 2010.  Dialog yang tidak menepati garis panduan yang ditetapkan  akan disenyapkan atau adegan berkaitan dipotong.  Permasalahan wujud apabila filem menggunakan dialog perkataan terlarang dalam pembikinan filem Melayu dan  tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan.  Untuk tujuan tersebut, kajian secara tinjauan ini meneliti 12  buah filem Melayu dari tahun 2014 hingga 2017 dengan mengenal pasti penggunaan perkataan terlarang melalui dialog.   Filem cereka  tersebut dari jenis seram, tahayul, khurafat,  jenayah, aksi, komedi dan penyiasatan. Analisis dibuat dengan mengenal pasti bahasa tersebut dan mengklasifikasikan penggunaannya.  Dapatan kajian menunjukkan terdapat trend dalam penggunaan dialog menggunakan bahasa kasar, kesat dan lucah di dalam filem Melayu. Penggunaan bahasa terlarang diberikan perhatian di dalam penapisan filem dengan mengambil kira kepentingan dalam sosio budaya dan usaha memartabatkan bahasa Melayu melalui  dialog dalam perfileman.

Kata kunci:  Dialog, Filem Melayu,  Perkataan  Terlarang

DIALOGUE ANALYSIS IN MALAY FILM

Dialogue is a medium in the movie for the purpose of delivering a message. In that regard, the use of language in dialogue is important to show the idealism of directors through scripts written. In the context of film cencorship in Malaysia, the dialogue used should follow the Film Censorship Guidelines, Ministry of Home Affair, 2010. Dialogue that do not meet the set guidelines will be silenced or cut-off scenes. The problem exists when the films uses a prohibited language dialogue in the making of a Malay films and does not follow the set guidelines. For that purpose, this research surveyed 12 Malay films from 2014 to 2017 by identifying the use of prohibited language through dialogue. The fictional films are of the kind of horror, superstition, crime, action, comedy and investigation. An analysis is made by identifying the language and classifying its use. The findings show that there are trends in the use of dialogue using abusive, vulgar and obscene language in Malay films. The use of prohibited language is given attention in films cencorship taking into account the importance of socio-culture and efforts to uphold the Malay language through dialogue in the film.

Key words:  Dialogue, Malay Films, Prohibited Language


PENDAHULUAN

Dialog mempunyai fungsi yang cukup besar di dalam filem.  Dalam hal ini, Blacker (1996) menggariskan  empat fungsi dialog di dalam filem iaitu  menggerakkan jalan cerita, mendedahkan aspek perwatakan yang yang tidak digambarkan, menjelaskan peristiwa lalu dan meletakkan suasana atau atmosfera bagi filem. Untuk merealisasikan fungsi tersebut, kesedaran berbahasa pula perlu wujud sama ada kepada pelakon dan penonton. Hal ini disebabkan dialog sebagai wahana komunikasi boleh memberi impak kepada penonton.  Pengguna bahasa tersebut sama ada secara  individu ataupun kolektif bertanggungjawab sehingga menimbulkan rasa saling memiliki suatu bahasa. Dengan demikian ia berkemahuan untuk ikut membina dan mengembangkan bahasa itu.  Melalui dialog dalam filem, kesedaran berbahasa akan terpelihara.

Penggunaan bahasa di dalam dialog filem diolah untuk menterjemahkan adegan agar lebih realistik. Tanpa dialog  yang  baik, penceritaan akan lemah dan kurang meyakinkan penonton. Oleh itu, dialog dalam  filem merupakan medium yang sesuai untuk mempertajamkan kreativiti di samping mengungkapkan peristiwa. Kreativiti yang ingin di paparkan melalui tema, plot, watak dan perwatakan jika diadun dengan penggunaan dialog yang meyakinkan boleh menjadikan filem itu bermakna dalam penyampaian mesejnya.

Walau bagaimanapun, usaha ini berhadapan dengan pelbagai cabaran.  Cabaran tersebut datang dari pelbagai dimensi.  Antaranya antara mnenggunakan bahasa yang betul dan baik dengan menggunakan bahasa yang diunjurkan untuk memenangi cita rasa penonton. Penggunaan bahasa terlarang sering diungkapkan dalam menyampaikan perutusan di dalam sesuatu filem. Walaupun pihak penerbit filem faham akan kesan penggunaan dialog bahasa terlarang, namun mereka berpendapat penggunaan bahasa secara semula jadi dianggap lebih  menarik perhatian penonton.

Oleh itu dalam tulisan ini akan membincangkan dan menganalisis tinjauan terhadap penggunaan  dialog menggunakan bahasa terlarang dalam filem Melayu dan cabarannya dalam meningkatkan kesedaran berbahasa dalam industri filem.

Khamis, 5 Julai 2018

ERA BAHARU PENDIDIKAN


Pelantikan Dr Mazlee, bekas pensyarah universiti sebagai menteri pendidikan yang baharu diterima positif kepada mereka yang berlapang dada.  Di samping kontroversi awal pelantikannya, beliau mula melakukan beberapa perubahan dalam bidang pendidikan. 

Antara isu yang dijadikan tumpuan awal semasa memegang jawatan kabinet ini ialah Audit Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) telah dihentikan. 

Kedua, Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) ditutup sementara bermula 10 Jun 2018 bagi menangani risiko kebocoran maklumat.

Ketiga, Isu penyelewengan perbekalan dan pembekuan pelantikan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri.  

Rungutan guru terhadap beban tugas yang semakin meningkat perlu diberikan perhatian.  Bagi memastikan wujud iklim pengajaran dan pembelajaran yang kondusif maka isu ini boleh memberi kesan kepada kualiti pelajar yang dihasilkan.  Guru-guru  meminta supaya dikurangkan kerja-kerja menyediakan dokumentasi yang bukan menjadi keutamaan dalam proses membangunkan potensi murid dan menghasilkan insan yang sejahtera, selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Menurut Dr. Hayati Ismail dalam kolumnya di Utusan Malaysia (29.6.2018) menyatakan isu pengurangan tugas dokumentasi guru ini bukanlah satu perkara baharu kerana dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013- 2025, kementerian sedar bahawa tugas pentadbiran berlebihan mengambil masa urusan teras guru dalam pengajaran dan pembelajaran, serta mengurangkan keberkesanan pengajaran mereka.  Perkara ini telahpun disuarakan semasa Dialog Nasional Pendidikan Negara yang diadakan pada bulan April hingga Julai 2012 dalam sesi yang diadakan di seluruh negara.

Hasilnya dalam Bab 5 PPPM 2013-2025 Kementerian telah menjanjikan inisiatif untuk menyeragamkan sistem pengurusan dan pengumpulan data sedia ada bagi menghapuskan pertindanan permintaan data serta mengatasi kesesakan di sekolah yang mempunyai purata saiz kelas melebihi 35 murid. 


Murid ramai kualiti menurun?

Bilangan murid di dalam kelas tidak dikurangkan kerana terdapat bukti kajian antarabangsa yang menunjukkan bahawa kualiti guru adalah penyumbang utama kepada pencapaian murid dan bukannya saiz kelas itu sendiri. 

Menurut Buletin Education Indicators in Focus – 2012/09 (November), di negara-negara Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD)purata saiz kelas di peringkat menengah rendah adalah 23 pelajar.  Walau bgaimanapun ada perbezaan ketara antara negara-negara, dari lebih dari 32 pelajar di Jepun dan Korea hingga 19 pelajar atau ke bawah di Estonia, Iceland, Luxembourg, Slovenia dan United Kingdom.

Saiz kelas, bersama dengan masa pembelajaran pelajar, masa pengajaran guru dan gaji guru,  merupakan pemboleh ubah utama yang dapat digunakan dalam pembuat keputusan untuk mengawal perbelanjaan pendidikan. 

Antara tahun 2000 dan 2009, banyak negara melabur sumber tambahan untuk mengurangkan saiz kelas.  Walau bagaimanapun, prestasi pelajar telah bertambah baik hanya di beberapa negara.  Dapatan ini menunjukkan pengurangan saiz kelas tidak memberi kesan menyeluruh dalam meningkatkan prestasi sistem pendidikan, dan merupakan langkah yang kurang berkesan daripada meningkatkan kualiti pengajaran.

Berdasarkan pengalaman sebagai pendidik dan pendidik guru, faktor guru banyak menyumbang kepada peningkatan prestasi dan kualiti pelajar.  Jika bilangan murid ramai dalam sesebuah kelas, guru yang berkualiti dalam pedagogi mampu menjadikan pembelajaran menyeronokkan. Jika guru lemah dalam mengawal kelas, murid tidak meyakini kebolehan guru, penyampaian ilmu yang membosankan boleh menjadi penyumbang kepada kemerosotan kualiti murid. Walaupun bilanga murid tidak ramai, jika unsur kelemahan guru wujud semasa pengajaran, masalah kualiti pengajaran dan pembelajaran akan tetap berterusan. 




Rabu, 4 Julai 2018

MURAQABAH

Allah SWT berfirman (yang maksudnya): Dia selalu bersama kalian di mana pun kalian berada (QS al-Hadid: 4); Sesungguhnya tidak ada sesuatupun yang tersembunyi di mata Allah, baik yang ada di langit mahupun yang ada di bumi (QS Ali Imran: 6); Allah mengetahui mata yang berkhianat [yang mencuri pandang terhadap apa saja yang diharamkan] dan apa saja yang tersembunyi di dalam dada (QS Ghafir: 19).
\
Maksud Muraqabah

Muraqabah bermaksud merasa selalu diawasi oleh Allah SWT sehingga dengan kesedaran ini mendorong manusia sentiasa rajin melaksanakan perintah dan menjauhi larangan-Nya. Sesungguhnya manusia hakikinya selalu berhasrat dan ingin kepada kebaikan dan menjunjung nilai kejujuran dan keadilan, meskipun tidak ada orang yang melihatnya.

Sifat berhati-hati adalah kesadaran. Kesadaran ini makin terpelihara dalam diri seseorang hamba jika meyakini bahwa Allah SWT sentiasa melihat dirinya.  Syeikh Ahmad bin Muhammad Ibnu Al Husain Al Jurairy mengatakan, « “Jalan kejayaan itu dibangun di atas dua bahagian. Pertama, hendaknya engkau memaksa jiwamu muraqabah (merasa diawasi) oleh Allah SWT. Kedua, hendaknya ilmu yang engkau miliki tampak di dalam perilaku lahiriahmu sehari-hari.” »


Syeikh Abu Utsman Al Maghriby mengatakan, « “Abu Hafs mengatakan kepadaku, ‘manakala engkau duduk mengajar orang ramai jadilah seorang penasihat kepada hati dan jiwamu sendiri dan jangan biarkan dirimu tertipu oleh ramainya orang berkumpul di sekelilingmu, sebab mungkin mereka hanya melihat wujud lahiriahmu, sedangkan Allah SWT memperhatikan wujud batinmu.” »

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: «كُنْتُ خَلْفَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْماً, فَقَالَ: يَا غُلاَمُ, إِنّي أُعَلّمُكَ كِلمَاتٍ: إِحْفَظِ الله يَحْفَظْكَ, إِحْفَظِ الله تجِدْهُ تجَاهَكَ, إِذَا سَأَلْتَ فَاسْأَلِ الله, وَإِذَا اسْتَعَنْتَ فَاسْتَعِنْ بالله, وَاعْلَمْ أَنّ الأُمّةَ لَوِ اجْتَمَعَتْ عَلَى أَنْ يَنْفَعُوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَنْفَعُوكَ إِلاّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ الله لَكَ, ولو اجْتَمَعُوا عَلَى أَنْ يَضُرّوكَ بِشَيْءٍ لَمْ يَضُرّوكَ إِلاّ بِشَيْءٍ قَدْ كَتَبَهُ الله عَلَيْكَ, رُفِعَتِ الأَقْلاَمُ وَجَفّتِ الصّحُف». قال: هَذَا حَديثٌ حسنٌ صحيحٌ.


Dari Ibn ‘Abbas RA., dia berkata, “Suatu hari aku berada di belakang Nabi SAW., lalu beliau bersabda, ‘Wahai Ghulam, sesungguhnya ku ingin mengajarkanmu beberapa kalimat (nasihat), ‘Jagalah Allah, pasti Allah menjagamu, jagalah Allah, pasti kamu mendapatinya di hadapanmu, bila kamu meminta, maka mintalah kepada Allah dan bila kamu minta tolong, maka minta tolonglah kepada Allah. Ketahuilah, bahawa jikalau ada seluruh umat berkumpul untuk memberikan suatu manfa’at bagimu, maka mereka tidak akan dapat memberikannya kecuali sesuatu yang telah ditakdirkan Allah atasmu, dan jikalau mereka berkumpul untuk merugikanmu (membahayakanmu) dengan sesuatu, maka mereka tidak akan boleh melakukan itu kecuali sesuatu yang telah ditakdirkan Allah atasmu. Pena-pena (pencatat) telah diangkat dan lembaran-lembaran telah kering.” (HR. at-Turmidzy, dia berkata, ‘Hadits Hasan Sahih’. Hadits ini juga diriwayatkan Imam Ahmad)



Selasa, 3 Julai 2018

STRATEGI PEMBELAJARAN KEMAHIRAN MENULIS BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEDUA DALAM KALANGAN PELAJAR MELANAU DAERAH DARO

Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu – JPBM (Malay Language Education Journal – MyLEJ)

NOOR HABSAH ALI
SMK. Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norma, Daro
Kementerian Pendidikan Malaysia
hnh8686@gmail.com

YAHYA OTHMAN
Lembaga Penapis Filem Malaysia
Kementerian Dalam Negeri
yahyaoth@gmail.com

Abstrak: Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan iaitu berasaskan pendekatan kuantitatif. Seramai 150 orang responden dalam kalangan pelajar etnik Melanau tingkatan 4 daripada tiga buah sekolah menengah di daerah Daro, Sarawak terlibat dalam kajian ini. Instrumen soal selidik digunakan untuk tujuan pengumpulan data. Data yang dikumpul dianalisis menggunakan SPSS Versi 22. Ujian-t digunakan untuk mengenal pasti perbezaan min penggunaan strategi pembelajaran menulis antara jantina. Ujian korelasi Pearson pula digunakan untuk menentukan hubungan penggunaan strategi pembelajaran kemahiran menulis dengan pencapaian pelajar. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat perbezaan min yang signifikan antara penggunaan strategi pembelajaran dengan jantina. Selain itu, dapatan kajian turut memperlihatkan tidak terdapat hubungan yang signifikan antara penggunaan strategi pembelajaran kemahiran menulis dengan pencapaian pelajar Melanau dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Implikasi kajian ini ialah guru-guru Bahasa Melayu perlu menggunakan pelbagai strategi pembelajaran kemahiran menulis untuk membantu pelajar etnik Melanau ini mempelajari dan menguasai Bahasa Melayu dengan baik. Kata kunci: Strategi pembelajaran menulis, kemahiran menulis, Bahasa


Sabtu, 21 April 2018

KEMBARA UZBEKISTAN MAC 2018


Lawatan pada bulan  Mac 2017 dengan tumpuan kepada tiga bandar utama, Tashkent, Samarkand dan Bukhara. Bila di sebut Bukhara, terbayang di minda kita akan nama besar ahli hadis terkenal, Imam Bukhari.  Nama ini sangat sinonim dengan khazanah hadis yang sering dibaca dan dikaji. Makam Imam Bukhari adalah di antara destiasi pelancongan utama di Uzbekistan,  Di samping itu, kekayaan khazanah senibina Islam dengan tumpuan kepada reke bentuk masjid dan hiasan dalamannya banyak terdapat di negara ini. 

Uzbekistan (bahasa Uzbek: O‘zbekiston) merupakan sebuah negara tanpa pantai di Asia Tengah. Uzbekistan pernah menjadi sebahagian daripada Kesatuan Soviet.

Tajiks of Uzbekistan.PNG










Video lawatan kami





Bukhara

Kompleks madrasah di Tashken

Makam-makam di Taskhen

Binaan Masjid di Taskhen

Puncak gunung Cimgan, Tashken

Kompleks Makam Imam Bukhari

Makam Imam Bukhari di Samarkand

Kompleks Madrasah Tashken







Khamis, 22 Februari 2018

AMALAN 1: ILMU

Amalan menuntut ilmu sangat dituntut dalam Islam.  Antara kelebihan amalan tersebut ialah;

1.  Keluar untuk menuntut ilmu:

Maksud hadis; " Sesiapa yang memasuki sesuatu jalan untuk menuntut ilmu, Allah akan mudahkan untuknya jalan ke syurga."  HR Muslim (6853)

2.  Kelebihan menghadiri majlis ilmu:

Maksud hadis, " Tiada suatu kumpulan yang duduk mengingati Azzawa Jalla, kecuali para malaikat akan mengiringi mereka rahmat akan menyelubungi mereka,  ketenagan akan turun ke atas mereka,  ketenangan akan turun ke atas mereka dan Allah akan menyebut-nyebut tentan mereka kepada para malaikat di sisiNya " HR Muslim (6855)

3.  Menghadiri majlis ilmu di masjid:

Maksud hadis; 'Sesiapa yang pergi ke masjid hanya untuk mempelajari kebaikan atau mengajarkannya, dia dapat ibarat pahala ornag berbuat haji secara sempurna.' HR al-Tabarani dalam Mu'jam al Kabir (7473)

Rabu, 21 Februari 2018

AMALAN SEDIKIT PAHALA BANYAK

Manusia mengharapkan agar umurnya panjang.  Tujannya ialah agar dia dapat memperbanyakkan amalan kebaikan.  Rasullullah ditanya;

Siapakah manusia yang terbaik? Orang yang umurnya panjang dan amalannya baik. HR At-Tarmizi (2329) ; Sahih.

Terdapat dua nikmat yang sering tertipu dengannnya kebanyakan manusia;  kesihatan dan kelapangan.   HR al-Buukhari (6412)

Dari Abu Hurairah bahawa Rasullullah s.a.w bersabda; " Allah berfirman [ Jika hambaku ingin melakukan keburukan, jangan kamu catat dosanya sehingga dia lakukan.  Jika dia lakukan, catatlah satu dosa.  Jika dia tinggalkannya keranaKu,  catatlah satu paha untuknya.  Jika dia ingin(berniat) melakukan kebaikan, dan belum melakukannya, catatlah untuknya satu pahala.  Jika dia lakukan,  catatlah untuknya sepuluh pahala sehingga tujuh ratus kali ganda].  HR al-Bukhari (7501)

Rujukan:  Fadlan Mohd Othman. 2014. Himpunan amalan sedikit pahala banyak & amalan penghapus dosa.  Bangi:  Bayyinah Enterprise

Isnin, 19 Februari 2018

LOMBOK 2

27-30 Jun 2017 I LOMBOK 

Gambar sekitar tempat menarik di Lombok

Add caption
Ombak sunset
Gili Trawangan merupakan tumpuan pelancong utama di Lombok.  Pantai yang cantik dan air jernih.  Dari daratan lebih kurang 45 minit manaiki bot.


Matahari terbenam.  Suasana yang cantik.  Subhanalllah

Gaya di sekitaran hijau tanah tinggi 

Pusat Islam Lombok

Kuta adalah antara pantai utama di Lombok
Meriah.  Ahli Bangi Perdana di Lombok


Cahaya Nusa Tenggara


Setelah aktiviti snorkling, mendarat di pantai Gili Trawangan






TIDAK MELUPAKAN KEBAIKAN

KAEDAH KETIGA: Menekankan muamalah dalam kehidupan.  Interaksi dengan orang lain.  Kita diajar tidak melupakan kebaikan orang. Keseluruhan...