Khamis, 5 Julai 2018

ERA BAHARU PENDIDIKAN


Pelantikan Dr Mazlee, bekas pensyarah universiti sebagai menteri pendidikan yang baharu diterima positif kepada mereka yang berlapang dada.  Di samping kontroversi awal pelantikannya, beliau mula melakukan beberapa perubahan dalam bidang pendidikan. 

Antara isu yang dijadikan tumpuan awal semasa memegang jawatan kabinet ini ialah Audit Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) telah dihentikan. 

Kedua, Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) ditutup sementara bermula 10 Jun 2018 bagi menangani risiko kebocoran maklumat.

Ketiga, Isu penyelewengan perbekalan dan pembekuan pelantikan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri.  

Rungutan guru terhadap beban tugas yang semakin meningkat perlu diberikan perhatian.  Bagi memastikan wujud iklim pengajaran dan pembelajaran yang kondusif maka isu ini boleh memberi kesan kepada kualiti pelajar yang dihasilkan.  Guru-guru  meminta supaya dikurangkan kerja-kerja menyediakan dokumentasi yang bukan menjadi keutamaan dalam proses membangunkan potensi murid dan menghasilkan insan yang sejahtera, selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Menurut Dr. Hayati Ismail dalam kolumnya di Utusan Malaysia (29.6.2018) menyatakan isu pengurangan tugas dokumentasi guru ini bukanlah satu perkara baharu kerana dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013- 2025, kementerian sedar bahawa tugas pentadbiran berlebihan mengambil masa urusan teras guru dalam pengajaran dan pembelajaran, serta mengurangkan keberkesanan pengajaran mereka.  Perkara ini telahpun disuarakan semasa Dialog Nasional Pendidikan Negara yang diadakan pada bulan April hingga Julai 2012 dalam sesi yang diadakan di seluruh negara.

Hasilnya dalam Bab 5 PPPM 2013-2025 Kementerian telah menjanjikan inisiatif untuk menyeragamkan sistem pengurusan dan pengumpulan data sedia ada bagi menghapuskan pertindanan permintaan data serta mengatasi kesesakan di sekolah yang mempunyai purata saiz kelas melebihi 35 murid. 


Murid ramai kualiti menurun?

Bilangan murid di dalam kelas tidak dikurangkan kerana terdapat bukti kajian antarabangsa yang menunjukkan bahawa kualiti guru adalah penyumbang utama kepada pencapaian murid dan bukannya saiz kelas itu sendiri. 

Menurut Buletin Education Indicators in Focus – 2012/09 (November), di negara-negara Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD)purata saiz kelas di peringkat menengah rendah adalah 23 pelajar.  Walau bgaimanapun ada perbezaan ketara antara negara-negara, dari lebih dari 32 pelajar di Jepun dan Korea hingga 19 pelajar atau ke bawah di Estonia, Iceland, Luxembourg, Slovenia dan United Kingdom.

Saiz kelas, bersama dengan masa pembelajaran pelajar, masa pengajaran guru dan gaji guru,  merupakan pemboleh ubah utama yang dapat digunakan dalam pembuat keputusan untuk mengawal perbelanjaan pendidikan. 

Antara tahun 2000 dan 2009, banyak negara melabur sumber tambahan untuk mengurangkan saiz kelas.  Walau bagaimanapun, prestasi pelajar telah bertambah baik hanya di beberapa negara.  Dapatan ini menunjukkan pengurangan saiz kelas tidak memberi kesan menyeluruh dalam meningkatkan prestasi sistem pendidikan, dan merupakan langkah yang kurang berkesan daripada meningkatkan kualiti pengajaran.

Berdasarkan pengalaman sebagai pendidik dan pendidik guru, faktor guru banyak menyumbang kepada peningkatan prestasi dan kualiti pelajar.  Jika bilangan murid ramai dalam sesebuah kelas, guru yang berkualiti dalam pedagogi mampu menjadikan pembelajaran menyeronokkan. Jika guru lemah dalam mengawal kelas, murid tidak meyakini kebolehan guru, penyampaian ilmu yang membosankan boleh menjadi penyumbang kepada kemerosotan kualiti murid. Walaupun bilanga murid tidak ramai, jika unsur kelemahan guru wujud semasa pengajaran, masalah kualiti pengajaran dan pembelajaran akan tetap berterusan. 




Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAKDIR, TANDA TERIMA KASIH, GANJARAN, ALAM BAQA

Allah berfirman dalam surah Ali-Imran - 3:145 وَمَا كَانَ لِنَفۡسٍ أَن تَمُوتَ إِلَّا بِإِذۡنِ ٱللَّهِ كِتَٰبًا مُّؤَجَّلًاۗ وَمَ...