Rabu, 26 Mei 2010

KREATIF



Pendahuluan

Menurut Kamus Dwibahasa Dewan, kreatif maksudnya creative adj kreatif (of person) berdaya cipta, kreatif: ~ power, daya kreatif; ~ writing, penulisan kreatif; ~ artiste, seniman yg kreatif. Adakah semua orang kreatif dan bagaimana cara untuk mengukur tahap kretiviti? Persoalan ini sering ditanya. Dalam bidang pendidikan pula, bolehkah kreativiti diajarkan. Soalan ini tidak ada jawapan ringkas sama ada ya atau tidak. Kreativiti mungkin tidak boleh diajarkan secara terus, tetapi dapat diperoleh dengan lebih baik jika sering diselaraskan dengan keadaan hidup yang menggalakkan peluang yang lebih besar untuk pelahiran kreatif yang sebenarnya.

Pengalaman dan kreatif

Pengalaman sebenarnya banyak mengajar kita untuk berkreatif. Contohnya, pengalaman semasa kecil dulu hidup dalam serba kurang. Semasa zaman kanak-kanak tahun 60an dan 70an, mana nak dapatkan sumber nak kreatif. Permainan video, komputer, dan media dengan teknologi canggih? Semua itu tidak ada dalam senarai yang boleh dicapai. Masa itu, istilah teknologipun tidak diambil kisah.

Masa dalam lingkungan kanak-kanak, permainan banyak dicipta sendiri. Untuk bermain kereta, boleh gunakan empulur (empulur I isi atau bahagian yg lembut dlm batang tumbuh-tumbuhan jenis palma, spt kelapa, pinang, dll; mempulur II) pisang . Empulur itu boleh direka bentuk menjadi sebuah kereta atau apa saja kenderaan idaman. Lori, bas. kereta api, semuanya boleh dibina. Ada pelbagai jenis mainan yang tidak memerlukan belanja dapat menjana pemikiran kreatif kanak-kanak. Yang utama ialah wujudnya kemahuan dan tidak ada unsur kongkongan dalam berkarya.

Jadi kanak-kanak masa itu tidak kreatif? Kurang pendedahan teknologi? Pernyataan itu tidak tepat sebenarnya. Jika kita tinjau kembali makna kreatif, bersangkut dengan daya cipta. Ada daya untuk mewujudkan sesuatu yang baru dan menarik perhatian.

Kongkongan dan kreatif

Adapun upaya untuk mencipta dapat dilakukan dalam suasana yang tidak ada kongkongan (bukan kangkungan). Mengapa kongkongan yang keterlaluan boleh membantut daya kreatif? Manusia yang terlalu dikongkong akan menjadi manusia macam kangkung! Biarkan anak-anak berfikiran kreatif dengan memberi mereka peluang mencipta atau mereka sesuatu yang di luar lingkungan pemikiran kita. Walau bagaimanapun, kongkongan atau batasan masih perlu diwujudkan terutama apabila melibatkan aspek akhlak dan lebih penting lagi yang bersangkut dengan iman. Jika wujud senario yang boleh mengganggu sistem kepercayaan, maka ibu bapa perlu lakukan pembetulan. Malangnya ibu bapa masih lagi kurang kemahiran untuk menerapkan kemahiran berkreatif kepada anak mereka. Perbincangan seterusnya adalah cara untuk membina amalan kreatif.

Irfan Khairi dan Kreatif

Bagi Irfan Khairi, terdapat beberapa cara untuk menjadi kreatif;

1. Bergembira & berseronok- idea hebat sering datang bila kita sedang seronok atau bergembira. Contoh, kalau saya tengok ketika workshop jutawan Internet, sesi brainstorming idea, kumpulan yang banyak idea hebat, pastinya datang dari kumpulan yang banyak gelak/bising/ketawa… they are having fun! Idea mudah datang bila kita have fun!

2. Fikir macam budak- Budak-budak banyak idea. Lihat sahaja anak-anak kita (atau anak-anak orang kalau belum ada anak ). Sebabnya, budak-budak tak meletakkan had atau limit pada sesuatu penyelesaian. Kita yang dah dewasa selalu meletakkan “limit” pada sebarang penyelesaian. Sebab itu, kita menjadi tidak kreatif. jadi, fikir seperti budak 6 tahun! (mungkin budak juga sering gembira… sebab itu dapat banyak idea?)

3. Ketahui bahawa ada BANYAK penyelesaian kepada apa sahaja masalah. Bukan hanya SATU! Bila kita fikir hanya ada sATU penyelesaian, kita akan berusaha cari SATU CARA tersebut. Bila fikir SATU, tiada idea yang datang kerana kita akan fikir untuk mendapatkan SATU YANG PERFECT/SEMPURNA. Bila berfikir, fikir BANYAK penyelesaian. Bila memikirkan terdapat BANYAK penyelesaian, kita akan rasa bebas berfikir macam-macam dan tidak hadkan idea kita.

Terdapat pelbagai pandangan yang diberikan untuk menguruskan kemahiran kreatif. Walau bagaimanapun, penguasaan kemahiran ini banyak ditandai oleh faktor pengalaman, persekitaran, pendedahan, keinginan yang tinggi untuk berkreatif, serta dorongan untuk berkreatif.

Kesimpulan

Kreatif sangat dituntut dalam kehidupan yang semakin mencabar. Kejayaan hidup kini kadangkala dilihat dari sudut keratifnya seseorang.

Bibliografi berkaitan kreativiti:
http://hua.umf.maine.edu/creativity/creativity.html

Rabu, 19 Mei 2010

INGAT KIAMAT

Bila bercakap tentang hidup, lawannya mati. Walau bagaimanapun kadang-kadang manusia lupa juga ingatkan mati. Sebab apa? Terlalu ingatkan dunia. Banyak manusia yang fikir mati jauh lagi untuk ditempuhi.

Ulamak banyak menyatakan, orang yang banyak ingatkan mati dianggap golongan yang bijak. Kenapa bijak? Manusia akan meninggalkan perkara-perkara yang ditegah dan membuat perkara yang disuruh Allah. Manusia yang bijak dapat memikirkan akan ada satu hari yang akan menghisab amalan yang mereka lakukan di dunia. Manusia yang bijak juga akan berusaha untuk mendekatkan dirinya dengan Allah serta selalu memikirkan kehidupannya yang lebih kekal.

Seperti kata Syed Qutb; Selesailah sudah kehidupan dunia yang selalu membuat penghuni-penghuninya berperang dan bertarung satu sama lain kerana merebut kenikmatannya. Dunia yang selalu membuat mereka mengutamakan kenikmatannya dan mengabaikan usaha mereka mendapat habuan di akhirat.

Artikel di bawah menceritakan ehwal hari kiamat oleh Dr. Zulkifli Muhamad AlBakri. Sangat baik untuk dijadikan renungan

ALLAH RAHSIAKAN BILA HARI KIAMAT

Mukadimah

Al-Maraghi berkata: Selepas Allah SWT menjelaskan kekuasaan-Nya dengan kebangkitan semula orang yang telah mati sebagaimana Dia berkuasa mencipta alam semesta. Kemudian Dia menerangkan berkenaan kebenaran yang diwahyukan kepada nabi-Nya bahawa hari kebangkitan manusia adalah milik Allah Tuhan Alam Semesta.

Ketika malapetakanya yang hebat melebihi segala bencana itu datang, ketika segala perbuatan diperlihatkan kepada para pengamalnya ketika itulah manusia mengingati apa yang telah dilakukannya.

Allah SWT memperlihatkan neraka di hadapan manusia sehingga semua mata dapat melihatnya. Pada hari itulah ditimpakan pembalasan kepada manusia yang melampaui batasan syariat Allah.

Ini kerana mereka mengutamakan kelazatan dunia dari akhirat untuk mereka itulah neraka sebagai tempat azab. Sementara manusia yang takut kepada kebesaran dan keagungan Tuhan-Nya serta mengawal hawa nafsunya, maka sudah pasti syurga tempatnya sebagai pembalasan apa yang telah mereka kerjakan dahulu.

Firman Allah SWT: Maka apabila datang hari yang bencananya amat besar. Ibn Abbas berkata: Iaitu hari kiamat. Ibn Kathir berkata: Disebut dengan perkataan Tammah kerana ia meliputi segala yang menakutkan lagi menyeramkan.

Firman Allah SWT: Iaitu hari manusia akan mengingati apa yang telah diusahakannya. Al-Maraghi berkata: Pada hari itu manusia melihat perbuatannya termaktub dalam buku catatan amalannya yang hampir dilupakan tetapi dia segera mengingati kembali apa yang dilakukan dahulu.

Firman Allah SWT: Dan neraka diperlihatkan kepada sesiapa sahaja yang dapat melihatnya.Syed Qutb berkata: Neraka kelihatan jelas kepada setiap mata yang membawa makna dan bunyi yang kasar dan keras dan menonjol pemandangan neraka di hadapan setiap mata.

Ketika itu manusia akan menerima balasan dan akibat yang berbeza-beza. Dan ketika itu lahirlah tujuan dan matlamat pentadbiran dan perencanaan Allah yang mewujudkan kehidupan dunia.

Firman Allah SWT: Maka (dapatlah masing-masing mengetahui kesudahannya), adapun orang yang melampau (perbuatan derhakanya). Serta ia mengutamakan kehidupan dunia semata-mata. Maka sesungguhnya neraka jahanamlah tempat kediamannya.

Al-Maraghi berkata: Orang yang sombong, melampaui batas dan mengutamakan kelazatan dunia serta nafsu syahwatnya daripada akhirat, maka nerakalah tempat tinggalnya.

Firman Allah SWT: Adapun orang yang takutkan keadaan semasa ia berdiri di mahkamah Tuhannya, (untuk dihitung amalnya), serta ia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu. Maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya.

Syed Qutb berkata: Pencegahan diri dari keinginan hawa nafsu merupakan tiang seri ketaatan. Keinginan hawa nafsu merupakan pendorong yang kuat kepada tindak-tanduk yang melampau dan kepada perbuatan maksiat.

Ia menjadi punca segala bala bencana dan kejahatan. Jarang manusia binasa kecuali dengan sebab mengikut hawa nafsu.

Kejahilan mudah diubati tetapi penyakit mengikut hawa nafsu selepas berilmu merupakan penyakit jiwa yang memerlukan mujahadah yang bersungguh-sungguh dan memerlukan masa yang lama untuk mengubatinya.

Perasaan takut kepada Allah SWT merupakan dinding yang teguh untuk mencegah segala keinginan nafsu yang kuat tetapi semua dinding yang lain jarang dapat mencegah gelojak hawa nafsu kerana itulah kedua-duanya dikumpulkan dalam satu ayat.

Yang bercakap di sini ialah Allah pencipta manusia. Kerana itu Dialah yang mengetahui tentang penyakit jiwa dan ubatnya. Begitu juga Maha Mengetahui dengan segala lorong dan likunya.

Dialah Maha Mengetahui di mana tersembunyinya keinginan nafsu dan apakah pula ubatnya dan bagaimana mengusir dan memburu hawa nafsu itu dari tempat-tempat persembunyiannya.

Firman Allah SWT: Mereka (yang ingkar) selalu bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) tentang hari kiamat: "Bilakah masa datangnya?" Begitu juga persoalan berlegar kepada orang yang telah mati, bila akan dibangkitkan? Ibn Kathir berkata: Pengetahuan tentangnya tidak diberikan kepadamu.

Firman Allah SWT: Apa hubungannya tugasmu dengan (soal) menerangkan masa kedatangan hari kiamat itu?

Diriwayatkan oleh Aishah r.anha bahawa Rasulullah SAW sering menyebut hari kiamat dan hal itu selalu ditanya sehinggalah ayat ini diturunkan.

Al-Maraghi berkata: Kamu jangan bersedih hati dalam menangani masalah ini serta jangan memaksa diri kamu untuk mengetahui rahsia-rahsianya dan ingin mengetahui sesuatu yang disembunyikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya.

Firman Allah SWT: Kepada Tuhanmulah terserah kesudahan ilmu mengenainya. Tugasmu hanyalah memberi amaran kepada orang yang takut akan huru-hara hari kiamat itu.

Ibn Kathir berkata: Barang siapa yang takut kepada Allah SWT dan takut kepada ancaman-Nya, maka dia akan mengikutimu. Oleh yang demikian, dia sangat beruntung dan memperoleh kegembiraan. Kegagalan dan kerugian hanya untuk orang yang mendustakan dan melakukan penentangan.

Firman Allah SWT: (Sangatlah dahsyatnya huru-hara hari itu, sehingga orang-orang yang bersalah merasa) pada masa melihatnya: seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu petang atau paginya sahaja.

Al-Maraghi berkata: Dalam bahasa Arab terdapat ungkapan yang sama seperti kenyataan di atas: Aku akan mengunjungi kamu pada waktu petang atau pagi. Atau sebaliknya, ungkapan ini bermaksud mereka akan memendekkan masa kunjungannya dan sangkaan mereka hanya akan tinggal sepanjang waktu petang atau pagi.

Penutup

Syed Qutb berkata: Selesailah sudah kehidupan dunia yang selalu membuat penghuni-penghuninya berperang dan bertarung satu sama lain kerana merebut kenikmatannya. Dunia yang selalu membuat mereka mengutamakan kenikmatannya dan mengabaikan usaha mereka mendapat habuan di akhirat.

Dunia yang selalu membuat mereka sanggup melakukan untuknya segala jenayah, maksiat dan kezaliman, dan dunia yang selalu membuat mereka dihanyut nafsu dan hidup kerana nafsu.

Terlipatlah sudah kehidupan dunia ini dalam hati pencintanya hingga dirasakan mereka seolah-olah kehidupan itu hanya berlangsung selama satu petang atau satu pagi sahaja. Inilah kehidupan dunia yang singkat.

Adakah kerana kehidupan pagi dan petang, mereka sanggup mengorbankan kehidupan akhirat yang kekal?

Adakah kerana kepuasan hawa nafsu yang fana, mereka sanggup meninggalkan kediaman syurga yang kekal di akhirat? Tidakkah ini suatu kebodohan yang paling besar?

Sabtu, 15 Mei 2010

CIKGU, SELAMAT HARI GURU

Kepada semua guru, diucapkan selamat menyambut hari guru. Kepada guru-guru saya yang pernah mengajar dan mendidik saya, ingin juga saya sampaikan ucapan SELAMAT HARI GURU. Semasa di sekolah rendah Bukit Rokan, Negeri Sembilan dulu (1964-1969) guru saya yang masih dalam ingatan termasuklah Allahyarham Cikgu Wahab Itam dan isterinya Cikgu Ismariah serta Allahyarham Cikgu Ramli Othman.

Arwah Cikgu Wahab memiliki gaya guru yang tegas dan garang. Dia mengajar saya semasa darjah satu dan dua. Saya masih ingat lagi dia mengajar membaca dengan gunakan kaedah suku kata. ba bi bu; ca ci, cu; ta ti tu dan seterusnya. Masa itu dia banyak guna kad manila untuk tulis kad imbasan suku kata tersebut. Alat bantu mengajar yang sangat sesuai dan berkesan. Tulisan tangannya cantik dan kemas. Kemahiran ini yang guru sekarang tidak kuasai dengan baik. Bila dia tulis di papan hitam, sangat senang murid membaca.

Dia juga guna ganjaran sebagai galakan kepada murid semasa mengajar. Saya masih ingat lagi ketika dia mengajar kira-kira (kini matematik). Apabila saya jawab betul soalan, dia hadiahkan saya kuih yang berbentuk bulat yang diguna sebagai alat bantu mengajar.

Dia juga selalu guna rotan semasa mengajar. Kalau tak dapat baca atau mengira, memang dia akan rotan tapak tangan. Tak hafal sifir pun akan dirotan. Congak juga ditekakan semasa mengajar kira-kira. Tapi sangat berkesan. Tak ada pula penjaga yang marah anak mereka dirotan. Kebanyakan kesalahan yang murid lakukan, selalunya rotan akan hinggap. Satu peristiwa yang tak dapat saya lupakan hingga kini. Masa itu saya dalam darjah 4. Kawan saya Nordin Shamsudin (gelarannya Botak) telah dituduh mencuri wang kawannya. Cikgu Wahab minta dia mengaku, tapi Nordin masih tak mengaku juga. Nordin diminta berdiri atas kerusi. Baju dibuka. Akhirnya Cikgu Wahab ambil pisau dan diacukan ke perut Nordin. Apa lagi Nordin terus menangis dengan kuat dan terus mengaku. Bayangkan kalau cara itu digunakan oleh guru sekarang!

Berbeza dengan Cikgu Ismariah. Dia guru yang lembut tetapi tegas. Dia mengajar saya semasa darjah dua. Dia ajarkan membaca, menulis dan mengira. Saya masih ingat lagi ketika dia mengandung, dia suka menjahit (atau mengait) semasa dalam kelas. Ini dilakukan semasa murid-murid buat latihan dalam kelas. Murid-murid buat kerja yang disuruh.

Arwah Cikgu Ramli Othman, mengajar Bahasa Inggeris. Dia pandu kereta Renault. Masa itu dia nampak cukup hebat. Dia orang Melaka. Seorang guru yang garang tapi sangat bagus mengajar kami. Saya juga pernah belajar tambahan di rumahnya pada sebelah malam. Dia juga adalah penjamin pertama saya dalam borang perjanjian semasa saya ditawarkan ke maktab perguruan pada tahun 1976. Begitulah jasa mereka.

Semasa disekolah rendah juga, murid-murid dibekalkan dengan rancangan makanan. Makanan yang disediakan ialah bubur gandum dicampur dengan susu tepung. Kalau tak silap saya, tertulis dibuntil gandum itu ialah UNESCO. Semua itu dikendalikan oleh cikgu. Mereka yang masakkan bubur gandum itu dan murid-murid hanya perlu bawa mangkuk dan sudu saja serta gula pasir.

Bagi guru-guru yang telah meninggal dunia, saya doakan agar roh mereka di tempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Bagi yang masih hidup, saya doakan agar mereka dalam lindungan dan rahmat Allah.

Bagi guru kini, banyak perubahan yang telah berlaku. Sama ada perubahan dari segi murid, guru dan sistem pendidikan itu sendiri. Perubahan ini juga telah mempengaruhi kehidupan manusia yang dilahirkan melalui sistem yang mereka tempuhi. Tentulah terdapat beberapa perspektif yang berbeza dan difikirkan sesuai untuk dilaksanakan bagi memastikan hasilnya menepati matlamat yang dijangkakan.

Kepada guru-guru yang inginkan perubahan dalam dunia pendidikan, eloklah baca artikel disertakan di bawah.


Rabu, 12 Mei 2010

REZEKI

Semua orang idamkan rezeki yang murah dan banyak bertimbun. Siapa yang tak mahukan wang dan kaya? Semua itu perlu untuk teruskan hidup. Nak makan nasi perlu wang. Nak naik kereta perlu duit. Nak belajar kena bayar. Nak ais krim kena beli. Nak rumah kena pinjam wang. Jadi semua itu tak terlepas dari guna harta.

Malangnya, manusia semakin rakus cari wang. Ada yang cari harta dengan sangkaan itu cara yang dibuat itu mudah. Ikut macam-macam skim. Konon nak cepat kaya. Saya membaca artikel yang ditulis oleh ZAHARUDIN ABDUL RAHMAN tentang perkara haram yang boleh jauhkan rezeki. Rencana seterusnya alah tulisan beliau.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak bertambah umur seseorang kecuali jika dia melakukan kebaikan dan tidak akan ditolak qadar Allah SWT (iaitu qadar al-Mu’allaq) kecuali melalui doa, dan sesungguhnya seseorang itu DITAHAN REZEKINYA disebabkan dosa-dosa yang sentiasa dilakukannya.” (Riwayat Ibn Majah, Ahmad Hadis Hasan) Justeru, janganlah menjadikan posisi kesukaran diri pada waktu ini sebagai alasan untuk membabitkan diri dalam perkara haram kerana ia sebenarnya bukan jalan keluar tetapi jalan buntu dan hanya akan melebarkan bencana terhadap diri serta keluarga.

Imam Ibn Kathir pernah mengulas apabila manusia melupakan soal dosa pahala dalam harta dan kehidupan mereka: “Tetapi mereka mendustakan (tidak patuh kepada hukum Islam), maka kami rampas daripada mereka apa-apa yang mereka usahakan.” (Al-A’raf: 96) PERKEMBANGAN POTENSI, JANGAN ASYIK MEMBUAT ALASAN Yang perlu dilakukan adalah memanfaatkan wang simpanan bagi mempelajari ilmu yang boleh digunakan untuk memperkembang potensi diri, bukan dengan menceburi skim haram dan kemudian mengemukakan pelbagai alasan.

Ulama tabi’en berkata: “Barang siapa menuntut ilmu Allah seolah-olah telah menjamin rezekinya.” (Kanzul Ummal, 10/139) Ilmu itu akan menerangkan kita jalan untuk bekerja sebaik mungkin dalam keadaan halal dan seterusnya membuka lebih banyak pintu rezeki. Semua ini perlu dilakukan tanpa malas. Atas dasar itu Rasulullah SAW mengingatkan: “Kalau kamu benar-benar bertawakal kepada Allah SWT, nescaya akan diberi rezeki kepadamu sebagaimana diberi rezeki kepada burung, yang keluar dengan perut lapar di pagi hari, pulang dalam keadaan kenyang.” Ulama menyebut dengan jelas lagi terang, maksud tawakal dalam hadis di atas merujuk kepada usaha, ilmu, bersungguh-sungguh dan sesudah itu bersangka baik kepada Allah SWT.

Sesiapa yang bersangka baik kepada Allah SWT, Dia akan menunaikan sangkaan baiknya. Begitu juga sebaliknya.

Akhir sekali, Rasulullah SAW menasihatkan seorang sahabat yang kerap memohon bantuan harta daripada baginda: “Wahai Hakim, sesungguhnya harta adalah seperti buah yang subur, manis lagi disukai. Barang siapa mengambilnya dengan jiwa yang zuhud (dan tidak meminta-minta) nescaya akan diberkati baginya pada harta itu.

“Barang siapa mengambilnya dengan tinggi diri (serta tamak) tiada berkat di dalamnya sebagaimana orang yang makan tetapi tidak kenyang.” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Isnin, 10 Mei 2010

LELAKI BOROS

Lelaki muda boros

KUALA LUMPUR 9 Mei – Wanita sering dikaitkan dengan hobi ‘membuang duit’ iaitu membeli-belah, namun hakikatnya lelaki muda merupakan golongan yang paling ramai dibelenggu hutang kerana kegagalan menguruskan kewangan.

Golongan itu mula mengumpul hutang sejak awal bekerja dan apabila berumah tangga, hutang semakin menimbun sehingga gagal dibayar menyebabkan mereka terpaksa mendapatkan khidmat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk keluar daripada masalah itu.

Menurut statistik yang dikeluarkan AKPK, dari 2007 hingga Februari 2010, seramai 25,107 atau 69 peratus daripada 36,547 pelanggan perkhidmatan pengurusan kredit di agensi itu adalah lelaki.

Lelaki berusia 30 hingga 40 tahun merupakan golongan yang paling tinggi iaitu 44.6 peratus atau 16,286 orang mendapatkan khidmat itu bagi melangsaikan hutang masing-masing diikuti 14,622 orang golongan berusia lebih 40 tahun (40 peratus) dan 5,639 orang golongan berusia antara 20 hingga 30 tahun (15.4 peratus).

ULASAN

Boros bermakna tak pandai berjimat. Juga menunjukkan tabiat suka menghabiskan wang berbanding menyimpan. Boros juga kadang kala didorong oleh sifat menunjuk-nunjuk akan kekayaan yang dimiliki. Adakah boros dilakukan oleh mereka yang berwang saja? Sebab ada juga kita lihat boros dilakukan juga oleh yang kurang dari segi pendapatannya. Kalau difikirkan sifat tercela ini sukar dihentikan sehinggalah mereka tidak memiliki wang untuk diboroskan.

Ikut peribahasa Melayu; Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis. Wang atau rezeki yang Allah beri sebenarnya adalah untuk kita tadbir dan urus dengan berhemah. Orang yang paling lama hisabnya di akhirat kelak adalah orang yang banyak harta, begitulah maksud hadis.

Sabtu, 8 Mei 2010

HARI IBU

Hari Ahad, 9 Mei adalah Hari Ibu. Maka bagi mereka yang masih ada ibu, jadikan sambutan Hari Ibu sebagai landasan untuk memperkukuh ingatan kepada ibu masing-masing. Selalunya, anak-anak akan fikirkan hadiah istimewa untuk ibu. Bagi yang tak mampu nak beri hadiah, ingatan anak-anak terhadap ibu mereka pun merupakan hadiah yang tak ternilai harganya. Ingatlah, kasih sayang ibu tidak ternilai dan sukar dicari ganti.

KEPADA MAK DI KAMPUNG, SELAMAT HARI IBU
Semoga mak dirahmati dan di bawah lindungan Allah


MySpace  GraphicsMySpace  GraphicsMother's Day

Ahad, 2 Mei 2010

MOTONG GOTAH- renungan 2

gaya motong gotah

Kerja menoreh getah (orang kampung saya sebut motong gotah) sebati dengan hidup Abah. Itulah kerja yang boleh dibuatnya. Sekolah rendahpun tak tamat. Masa itu kalau dapat tamat sekolah rendah sudah dikira hebat. Mungkin faktor utama tak tamat sekolah ialah tak ada duit. Miskin. Miskin hingga tak terfikir penting pergi sekolah. Yang penting masa itu ialah ada tempat berteduh dan makan ala kadar.

Di Felda BR (Bukit Rokan) ladang getah seluas lapan ekar perlu diusahakan. Itulah nadi kehidupan kami sekeluarga. Abah sememangnya ambil berat kebun getahnya. Kerja bersihkan kebun dibuat dengan bantuan emak dan anak-anak. Masa baru berhijrah ke BR , anak pokok getah baru nak mula tumbuh. Sekaki dua saja tingginya. Dengan hasil kerja membersih dan mambaja, akhirnya pokok getah makin besar.

Apabila sudah sampai waktu getah boleh ditoreh, alangkah gembiranya Abah dan kami sekeluarga. Mungkin warna hidup akan berubah setelah sekian lama hidup dalam kesusahan. Apa tidaknya. Makan minum pun ala kadar, ringkas dan sekadar kenyang saja. Tak ada fikir diet. Tak ada obes masa itu. Selain makan nasi, biasalah bagi kami makan ubi rebus, pisang rebus, keledek rebus, hinggakan biji nangka rebus pun pernah kami makan. Cecah gula pasir dan kelapa parut untuk tambah selera. Sedap pulak rasanya. Sampai sekarangpun masih sedap lagi kalau dihidangkan. Semua itu Abah sediakan untuk membesarkan anak-anaknya.

Abah juga sering sediakan sarapan pagi untuk anak-anaknya, disamping bantu emak di dapur. Dia siapkan sebelum keluar nenoreh. Itulah kehebatan Abah. Dia biasanya bangun awal pagi. Seingat saya, Abah sering menggoreng lempeng ( guna tepung, tidak diuli dan digoreng maca roti canai atas kuali) diguntuk kami nikmati. Goreng lempeng tak guna banyak minyak. Kadang-kadang dia goreng lempeng pisang. Dia akan bahagi-bahagikan lempeng itu di dalam dulang agar anak-anaknya dapat bahagian masing-masing. Tak berebut. Maklumlah, adik beradik ramai. Kalau cokodok jarang dibuat sebab perlu guna banyak minyak masak. Biskut yang sering kami makan ialah biskut soda. Biskut ini jenis murah. Keras sikit rasanya. Bila dicecah dengan air kopi atau teh, cukup mengenyangkan. Kalau masa ada duit, Abah akan beli biskut lemak yang harganya agak mahal sikit.

Saya sering bantu Abah menoreh bila umur meningkat remaja. Abah takkan beri saya menoreh hingga dia benar-benar yakin saya boleh melakukannya. Dia akan pastikan tak ada kesan 'luka' pada 'pelan' torehan. Jika dia nampak kesan luka, dia akan marah. Itulah sikap Abah yang sangat berhati-hati masa menoreh. Biasanya saya akan tolong abah menoreh pada hujung minggu dan cuti sekolah. Kerja menoreh getah bukan mudah. Kena pandai adjust pisau getah dengan pelan torehan. Pegang pisau getah kena betul. Perlu berhati-hati semasa menoreh. Kalau tidak susu getah melurut entah ke mana. Cawan getah perlu dibersihkan. Getah sekerap (getah buku atau lama kelamaan orang panggil getah lantun) dalam cawan kena dikumpulkan ke dalam tin.

Kerja menoreh ambil masa hampir dua jam atau lebih. Bila dah habis menoreh, kami akan berehat lebih kurang setengah jam. Tunggu susu getah berhenti menitik ke dalam cawan. Saya selalu duduk bersandarkan diperdu batang getah. Kadang-kadang boleh terlena juga masa berehat. Nyamuk jangan cerita banyaknya. Tapi semua itu alah bisa tegal biasa. Kadang-kadang Abah akan pasang ubat nyamuk dan diselitkan ditopi. Sekurang-kurangnya nyamuk takut nak rapat.

Sesekali pengurus rancangan akan melawat ladang. Dia datang dengan pegawai luar atau mandur. Mereka naik Land Rover. Dulu ada pengurus orang putih. Ada juga pengurus orang India. Terfikir juga dalam hati masa itu hebatnya kerja sebagai pengurus. Ada drebar. walau bagaimanapun, pernah juga pengurus dikurung di pejabat oleh peneroka. Ada masalah pentadbiran yang peneroka tak setuju. Peneroka dari dulu dah tunjuk radikal!

Macam-macam peristiwa ditempuh masa menoreh getah di kebun Abah. Ada banyak 'musuh' dalam kebun getah. Di samping nyamuk, ada ular, lipan, kala jengking, monyet dan babi hutan. Pernah sekali semasa menoreh, seekor ular (taklah besar manapun, orang panggil ular lidi warna hijau) melekat di pelan torehan. Apa lagi, melompatlah takut . Terperanjat besar saya. Takut kena patuk. Selepas beberapa hari, bila sampai ke pokok tersebut, rasa takut masih ada lagi. Bagi Abah, semua itu tak menjadi hal. Dia pernah terserempak dengan ular yang lebih besar. Tapi disebabkan itulah tugas rutin, halangan itu tidak dipedulikannya.

Hari hujan semasa menoreh adalah situasi malang bagi Abah. Apa tidaknya. Kalau sedang menoreh, hujan lebat turun bermakna kena balik berehat. Tak boleh menoreh. Pokok getah basah. Lebih malang lagi jika selepas habis menoreh hujan turun. Tak sempat nak kumpulkan susu getah. Habis susu getah campur air hujan. Penuh memutih macam susu dalam cawan getah. Putih mata juga dibuatnya. Tapi semua itu Allah dah tentukan. Hari itu tak dapat hasil. Kalau hujan berterusan lama, pun boleh undang masalah. Tak boleh menoreh. Bila lama tak boleh menoreh maknanya tak ada duit. Perut nak diisi, hutang Felda nak dibayar.

Sebenarnya, ada juga nilai-nilai baik yang diperoleh di samping cabaran yang ditempuh. Contohnya, Abah ada terapkan unsur keusahawanan kepada saya. Abah pun tak tahu apa itu keusahawanan. Masa itu mana ada masa nak terap nilai. Ceritanya begini. Dulu, jika cuaca hujan dan diikuti kilat serta petir selalunya akan tumbuh cendawan busut dalam kebun. Cendawan busut adalah sejenis cendawan yang bentuknya panjang. Tumbuh dalam tanah. Kalau masih baru dijumpai seronok mencabutnya. Jika mencabutnya dengan kasar, bahagian yang tertinggal dalam tanah boleh terputus begitu saja. Untuk menyatakan bentuk kepalanya jika belum kembang, tak sesuai disebut di sini. Nanti dikata lucah pula!! Cendawan ini sesuai dimasak lemak kuning atau sup. Memang sedap. Cendawan ini akan tumbuh merata-rata dalam kebun getah. Pernah sekali tumbuhnya memutih dalam kebun Abah. Nak dimakan sudah tentu berlebihan. Jadi Abah minta saya jual di tempat pusat mengumpul getah. Tempat orang jual getah. Maka saya, Abah dan mak mengikat cendawan tersebut agar senang dijual. Cendawan itu disusun pada handle basikal supaya senang dilihat. Memang rasa malu juga nak jual. Rasa takut kalau tak laku. Alhamdulillah, semua habis dujual. Saya juga masih ingat masa musim buah nangka banyak masak, Abah juga minta saya jual. Isi nangka itu dijual dengan mencucuknya lebih kurang enam ulas secucuk gunakan lidi kelapa. Buah yang telah siap dicucuk dimasukkan ke dalam periuk yang besar untuk dijual. Periuk diletakkan di belakang basikal. Jual di hadapan pejabat felda yang kebetulan masa itu hari bayar gaji peneroka. Jadi, ada juga Abah tanamkan nilai keusahawanan kepada anaknya. Tapi tak disuburkan selepas itu.
Pernah juga saya dan kawan-kawan pergi menjual getah buku ke luar tanah rancangan. Masa itu masih remaja. Abah kata kalau nak duit, jual getah buku (istilah lantun digunakan) ke Ladang Gan Kee yang terletak tidak jauh dari kebun Abah. Pergilah kami (termasuklah Apek - sekarang bertugas di Petronas , Zul- bertugas di MAS. Mereka anak pak cik Keling) sebelah lot tanah Abah. Kami naik basikal secara konvoi bawa sekarung getah buku yang masih basah dan berbau busuk. Kalau ikutkan peraturan Felda, kerja kami dikira salah. Tapi itulah cara nak senang dapat duit belanja. Semua kena buat walaupun nampaknya salah.

Bila menoreh getah, bau busuk getah buku adalah lumrah. Memang tak dapat dielakkan. Baunya memang menusuk hidung. Memakan masa untuk hilangkan baunya. Ditambah lagi kalau getah buku itu disimpan lama. Tapi itu adalah kenyataannya. Bayangkan juga bau uniform Abah yang dipakai untuk menoreh. Getah buku tetap busuk baunya. Tak dapat nak ubah bau itu dengan perfume. Yang berbau busuk itulah yang telah banyak ubah bau dan warna kehidupan kami. Bau itulah juga yang dihidu oleh Abah selama bertahun-tahun untuk membesarkan anak-anaknya.

Kerja bantu Abah menoreh getah berterusan hingga saya jadi cikgu. Semasa mengajar di Sekolah Menengah Gemencheh, saya masih juga bantu Abah menoreh. Masa itu saya guna motosikal Honda Cup 70cc, plat nombor NM4143. Hebatlah masa tu. Disebabkan saya mengajar waktu petang, saya boleh bantu Abah sebelah pagi. Yang tak boleh saya lupakan ialah kadangkala tangan saya masih berbau getah buku semasa mengajar walaupun hari telah petang! Itulah bau kehidupan yang mengajar erti kehidupan.



Sabtu, 1 Mei 2010

ABAH - renungan 1




Abah tabah menghadapi hidupnya yang penuh gelora dan segala macam dugaan. Macam-macam hambatan yang ditempuhnya dengan tabah. Waktu mudanya dia pernah kerja sebagai konstabel khas (Special constable) yang bertugas masa zaman Jepun. Sebelum itu dia bekerja kampung. Menoreh getah dan buat kerja sawah. Kampungnya, Kg Betong yang jauh dipenghujung jalan yang masa dulu tak ada jalan raya. Masa dulu hanya kayuh basikal atau lebih banyak berjalan kaki ke pekan. Hidup susah. Bila kawin dengan mak, mereka tinggal di kampung Tangkuh, dekat Johol. Umur mak masa tu belasan tahun. Masa dah sesuai untuk kawin.

Masa tinggal di Kg Tangkuh, abah ada mohon rancangan tanah di Air Hitam. Masa itu, tanah dan rumah dibangunkan sendiri. Sebab tak tahan dengan keadaan itu, abah balik semula ke kampung. Lepas itu dia memohon untuk sertai Felda( dulu dipanggil LKTP, atau orang kampung kata 'rancangan'). Selepas berjaya memohon, abah sekeluarga pidah ke LKTP Bukit Rokan pada tahun 1961. Di sana dia memulakan hidup baru bersama nak-anak yang masih kecil.

Bukit Rokan masa itu boleh dikatakan di kelilingi hutan lagi. Bila waktu petang dan nak malam, keadaan sangat sunyi sepi. Macam-macam bunyi binatang terdengar dari dalam hutan berhampiran. Pokok getah baru ditanam. Rumah yang disediakan hanya satu bilik dengan sebuah dapur. Masa itu tak ada air paip. Kena gali perigi. Jamban. Kalau tak silap guna jamban yang digali lubangnya dan najis terus saja ke dalam lubang. Api letrik? Tak ada dalam kamus masa itu. Guna pelita minyak tanah. Anak-anak belajar pakai pelita. 'Jelaga' dari asap pelita boleh jadikan lubang hidung tercemar. Pagi-pagi lagi kena bersihkan lubang hidung. Bila lebih baik lagi, abah sediakan lampu 'gas'. Lebih kualiti cahayanya. Tak ada jelaga lagi.

Hidup masa tu bergantung pada bantuan yang diberi kerajaan. Bekalan bahan makanan dan keperluan diperoleh dari kedai yang dikendalikan felda. Ada had yang diberikan untuk membeli barang. Kalau tak silap 60 ringgit. Bantuan diberikan sampai getah dapat ditoreh. Masa itu hidup susah. Anak-anak mulai sekolah dan perlu wang. Duit belanja sekolah sekadar 10 sen sehari.

Awal 70an, kemudahan air paip dah ada. Tapi paipnya di tepi jalan raya. Lima buah rumah sebuah paip. Kongsi sama. Masa tu madi tepi jalan tak pulak malu.

Untuk menampung hidup, abah kerja sambilan di ladang Cina Gan Kee di Gemencheh. Kerja meracun dan bersih ladang. Abah naik basikal dari rumah setiap hari. Basikal jenis Raleigh yang dijaga dengan baik. Dia selalu kilatkan basikalnya dan selalu dalam keadaan baik. Kawannya, Adam juga kerja di ladang yang sama. Tapi dia naik motosikal.

Emak pula bekerja bersihkan kebun di peringkat empat. Kerja ikut 'kang'. Guna cangkul tarah rumput. Cina kontrak pula ada buka kedai. Jadi bila tak ada barang dirumah, emak akan beli barang di kedai Cina itu. Bayar dengan tolak upah kerja. Emak dulu selalu sakit. Ada sekali pergi hospital naik kereta pegawai felda yang duduk tidak jauh dari rumah.

Selepas getah dapat ditoreh, kehidupan semakin berubah. Mula-mula menoreh getah, pendapatan masih tidak seberapa. Abah sangat teliti masa toreh getah. Dia akan pastikan 'pelan' torehannya tidak 'luka' atau rosak. Jaga kualiti torehan. Dia selalu bertengkar dengan mak fasal mutu torehan. kadang-kadang disebabkan nak jaga kualiti, susu getah tak seberapa banyak. Lama kelamaan, hasil getah makin bertambah. Dari mengayuh basikal ke ladang, Abah dah mampu beli motosikal. Semasa pergi menoreh guna basikal, pernah sekali tong getah cairnya tertumpah begitu saja. Basikalnya tak dapat dikawal dengan baik apabila sampai di puncak bukit dekat ladang Cina namanya Soo Eng (orang panggil Cina Suing). Tahun 1973 abah dah berjaya beli Honda C70 warna merah. Alangkah gembiranya dapat naik motosikal.

Masa itu harga getah agak mahal. Abah dah boleh beli tv. Tapi masih hitam putih. Rumah pun dan mulai diperbaiki. Ditambah bilik. Anak- anak semakin besar. Tapi abah banyak buat kerja tukang rumah sendiri. Walaupun tak pernah belajar bertukang, dia mampu ubah suai rumah sendiri. Pembantunya ialah emak dan anak-anak. Emak selalu kena marah kalau tak faham arahan abah. Begitu juga dengan anak-anak.

Abah banyak berkorban demi pelajaran anak-anak. Walaupun tidak mendapat pendidikan yang sempurna, dia pastikan anak-anaknya dapat pelajaran.

bersambung....


TIDAK MELUPAKAN KEBAIKAN

KAEDAH KETIGA: Menekankan muamalah dalam kehidupan.  Interaksi dengan orang lain.  Kita diajar tidak melupakan kebaikan orang. Keseluruhan...