Ahad, 2 Mei 2010

MOTONG GOTAH- renungan 2

gaya motong gotah

Kerja menoreh getah (orang kampung saya sebut motong gotah) sebati dengan hidup Abah. Itulah kerja yang boleh dibuatnya. Sekolah rendahpun tak tamat. Masa itu kalau dapat tamat sekolah rendah sudah dikira hebat. Mungkin faktor utama tak tamat sekolah ialah tak ada duit. Miskin. Miskin hingga tak terfikir penting pergi sekolah. Yang penting masa itu ialah ada tempat berteduh dan makan ala kadar.

Di Felda BR (Bukit Rokan) ladang getah seluas lapan ekar perlu diusahakan. Itulah nadi kehidupan kami sekeluarga. Abah sememangnya ambil berat kebun getahnya. Kerja bersihkan kebun dibuat dengan bantuan emak dan anak-anak. Masa baru berhijrah ke BR , anak pokok getah baru nak mula tumbuh. Sekaki dua saja tingginya. Dengan hasil kerja membersih dan mambaja, akhirnya pokok getah makin besar.

Apabila sudah sampai waktu getah boleh ditoreh, alangkah gembiranya Abah dan kami sekeluarga. Mungkin warna hidup akan berubah setelah sekian lama hidup dalam kesusahan. Apa tidaknya. Makan minum pun ala kadar, ringkas dan sekadar kenyang saja. Tak ada fikir diet. Tak ada obes masa itu. Selain makan nasi, biasalah bagi kami makan ubi rebus, pisang rebus, keledek rebus, hinggakan biji nangka rebus pun pernah kami makan. Cecah gula pasir dan kelapa parut untuk tambah selera. Sedap pulak rasanya. Sampai sekarangpun masih sedap lagi kalau dihidangkan. Semua itu Abah sediakan untuk membesarkan anak-anaknya.

Abah juga sering sediakan sarapan pagi untuk anak-anaknya, disamping bantu emak di dapur. Dia siapkan sebelum keluar nenoreh. Itulah kehebatan Abah. Dia biasanya bangun awal pagi. Seingat saya, Abah sering menggoreng lempeng ( guna tepung, tidak diuli dan digoreng maca roti canai atas kuali) diguntuk kami nikmati. Goreng lempeng tak guna banyak minyak. Kadang-kadang dia goreng lempeng pisang. Dia akan bahagi-bahagikan lempeng itu di dalam dulang agar anak-anaknya dapat bahagian masing-masing. Tak berebut. Maklumlah, adik beradik ramai. Kalau cokodok jarang dibuat sebab perlu guna banyak minyak masak. Biskut yang sering kami makan ialah biskut soda. Biskut ini jenis murah. Keras sikit rasanya. Bila dicecah dengan air kopi atau teh, cukup mengenyangkan. Kalau masa ada duit, Abah akan beli biskut lemak yang harganya agak mahal sikit.

Saya sering bantu Abah menoreh bila umur meningkat remaja. Abah takkan beri saya menoreh hingga dia benar-benar yakin saya boleh melakukannya. Dia akan pastikan tak ada kesan 'luka' pada 'pelan' torehan. Jika dia nampak kesan luka, dia akan marah. Itulah sikap Abah yang sangat berhati-hati masa menoreh. Biasanya saya akan tolong abah menoreh pada hujung minggu dan cuti sekolah. Kerja menoreh getah bukan mudah. Kena pandai adjust pisau getah dengan pelan torehan. Pegang pisau getah kena betul. Perlu berhati-hati semasa menoreh. Kalau tidak susu getah melurut entah ke mana. Cawan getah perlu dibersihkan. Getah sekerap (getah buku atau lama kelamaan orang panggil getah lantun) dalam cawan kena dikumpulkan ke dalam tin.

Kerja menoreh ambil masa hampir dua jam atau lebih. Bila dah habis menoreh, kami akan berehat lebih kurang setengah jam. Tunggu susu getah berhenti menitik ke dalam cawan. Saya selalu duduk bersandarkan diperdu batang getah. Kadang-kadang boleh terlena juga masa berehat. Nyamuk jangan cerita banyaknya. Tapi semua itu alah bisa tegal biasa. Kadang-kadang Abah akan pasang ubat nyamuk dan diselitkan ditopi. Sekurang-kurangnya nyamuk takut nak rapat.

Sesekali pengurus rancangan akan melawat ladang. Dia datang dengan pegawai luar atau mandur. Mereka naik Land Rover. Dulu ada pengurus orang putih. Ada juga pengurus orang India. Terfikir juga dalam hati masa itu hebatnya kerja sebagai pengurus. Ada drebar. walau bagaimanapun, pernah juga pengurus dikurung di pejabat oleh peneroka. Ada masalah pentadbiran yang peneroka tak setuju. Peneroka dari dulu dah tunjuk radikal!

Macam-macam peristiwa ditempuh masa menoreh getah di kebun Abah. Ada banyak 'musuh' dalam kebun getah. Di samping nyamuk, ada ular, lipan, kala jengking, monyet dan babi hutan. Pernah sekali semasa menoreh, seekor ular (taklah besar manapun, orang panggil ular lidi warna hijau) melekat di pelan torehan. Apa lagi, melompatlah takut . Terperanjat besar saya. Takut kena patuk. Selepas beberapa hari, bila sampai ke pokok tersebut, rasa takut masih ada lagi. Bagi Abah, semua itu tak menjadi hal. Dia pernah terserempak dengan ular yang lebih besar. Tapi disebabkan itulah tugas rutin, halangan itu tidak dipedulikannya.

Hari hujan semasa menoreh adalah situasi malang bagi Abah. Apa tidaknya. Kalau sedang menoreh, hujan lebat turun bermakna kena balik berehat. Tak boleh menoreh. Pokok getah basah. Lebih malang lagi jika selepas habis menoreh hujan turun. Tak sempat nak kumpulkan susu getah. Habis susu getah campur air hujan. Penuh memutih macam susu dalam cawan getah. Putih mata juga dibuatnya. Tapi semua itu Allah dah tentukan. Hari itu tak dapat hasil. Kalau hujan berterusan lama, pun boleh undang masalah. Tak boleh menoreh. Bila lama tak boleh menoreh maknanya tak ada duit. Perut nak diisi, hutang Felda nak dibayar.

Sebenarnya, ada juga nilai-nilai baik yang diperoleh di samping cabaran yang ditempuh. Contohnya, Abah ada terapkan unsur keusahawanan kepada saya. Abah pun tak tahu apa itu keusahawanan. Masa itu mana ada masa nak terap nilai. Ceritanya begini. Dulu, jika cuaca hujan dan diikuti kilat serta petir selalunya akan tumbuh cendawan busut dalam kebun. Cendawan busut adalah sejenis cendawan yang bentuknya panjang. Tumbuh dalam tanah. Kalau masih baru dijumpai seronok mencabutnya. Jika mencabutnya dengan kasar, bahagian yang tertinggal dalam tanah boleh terputus begitu saja. Untuk menyatakan bentuk kepalanya jika belum kembang, tak sesuai disebut di sini. Nanti dikata lucah pula!! Cendawan ini sesuai dimasak lemak kuning atau sup. Memang sedap. Cendawan ini akan tumbuh merata-rata dalam kebun getah. Pernah sekali tumbuhnya memutih dalam kebun Abah. Nak dimakan sudah tentu berlebihan. Jadi Abah minta saya jual di tempat pusat mengumpul getah. Tempat orang jual getah. Maka saya, Abah dan mak mengikat cendawan tersebut agar senang dijual. Cendawan itu disusun pada handle basikal supaya senang dilihat. Memang rasa malu juga nak jual. Rasa takut kalau tak laku. Alhamdulillah, semua habis dujual. Saya juga masih ingat masa musim buah nangka banyak masak, Abah juga minta saya jual. Isi nangka itu dijual dengan mencucuknya lebih kurang enam ulas secucuk gunakan lidi kelapa. Buah yang telah siap dicucuk dimasukkan ke dalam periuk yang besar untuk dijual. Periuk diletakkan di belakang basikal. Jual di hadapan pejabat felda yang kebetulan masa itu hari bayar gaji peneroka. Jadi, ada juga Abah tanamkan nilai keusahawanan kepada anaknya. Tapi tak disuburkan selepas itu.
Pernah juga saya dan kawan-kawan pergi menjual getah buku ke luar tanah rancangan. Masa itu masih remaja. Abah kata kalau nak duit, jual getah buku (istilah lantun digunakan) ke Ladang Gan Kee yang terletak tidak jauh dari kebun Abah. Pergilah kami (termasuklah Apek - sekarang bertugas di Petronas , Zul- bertugas di MAS. Mereka anak pak cik Keling) sebelah lot tanah Abah. Kami naik basikal secara konvoi bawa sekarung getah buku yang masih basah dan berbau busuk. Kalau ikutkan peraturan Felda, kerja kami dikira salah. Tapi itulah cara nak senang dapat duit belanja. Semua kena buat walaupun nampaknya salah.

Bila menoreh getah, bau busuk getah buku adalah lumrah. Memang tak dapat dielakkan. Baunya memang menusuk hidung. Memakan masa untuk hilangkan baunya. Ditambah lagi kalau getah buku itu disimpan lama. Tapi itu adalah kenyataannya. Bayangkan juga bau uniform Abah yang dipakai untuk menoreh. Getah buku tetap busuk baunya. Tak dapat nak ubah bau itu dengan perfume. Yang berbau busuk itulah yang telah banyak ubah bau dan warna kehidupan kami. Bau itulah juga yang dihidu oleh Abah selama bertahun-tahun untuk membesarkan anak-anaknya.

Kerja bantu Abah menoreh getah berterusan hingga saya jadi cikgu. Semasa mengajar di Sekolah Menengah Gemencheh, saya masih juga bantu Abah menoreh. Masa itu saya guna motosikal Honda Cup 70cc, plat nombor NM4143. Hebatlah masa tu. Disebabkan saya mengajar waktu petang, saya boleh bantu Abah sebelah pagi. Yang tak boleh saya lupakan ialah kadangkala tangan saya masih berbau getah buku semasa mengajar walaupun hari telah petang! Itulah bau kehidupan yang mengajar erti kehidupan.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SEDEKAH

  Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh t...