Friday, December 29, 2017

KEMENJADIAN MURID


Murid-murid sedang menjawab soalan peperiksaan.  Dalam benak mereka ialah menjawab untuk lulus peperiksaan.  Ada yang matlamatnya ialah untuk mencapai tahap cemerlang, manakala ada juga yang menjawab tanpa rasa tertekan.  Mungkin mereka tidak merasakan keputusan peperiksaan mengukur keupayaan individu secara menyeluruh.  Perkara ini ada benarnya. 

Nilaian berdasarkan peperiksaan tidak boleh dijadikan kayu ukur kemenjadian murid . 
Menjadinya murid itu bukan hanya dinilai berdasarkan pencapaian akademik sahaja. Kemenjadian murid dilihat melalui hasil keberkesanan proses persekolahan secara holistik. Kualiti murid bukan sahaja dilihat dari segi pencapaian akademik berdasarkan keputusan peperiksaan sahaja.
Untuk menilai aspek kemenjadian murid, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 boleh dijadikan rujukan. Intipati PPPM memfokuskan  enam ciri murid yang menjadi aspirasi negara, iaitu murid berpengetahuan, berkemahiran berfikir, berkemahiran memimpin, berkemahiran dwibahasa, beretika dan berkerohanian, serta mempunyai identiti nasional. 
Berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan PPPM, isu kemenjadian murid menjadi tumpuan.  Murid dinilai  dalam semua program dan aktiviti kurikulum dan kokurikulum yang dijalankan oleh guru dan pihak sekolah. 
Persoalannya ialah sejauhmanakah  perkara 'kemenjadian' telah diterjemahkan di dalam sistem pendidikan dan adakah harapan kementerian ini didokong juga oleh institusi di luar sekolah? Mungkin kita dapat melihat pelbagai instrumen digunakan untuk mengukur kemenjadian murid di sekolah. Namun pihak kementerian juga perlu melihat keberkesanan instrumen itu sama ada pada pihak guru yang menilai dan kemampuan murid dalam menjawab instrumen itu.  Di samping instrumen yang bersifat objektif, penilaian guru secara holistik perlu dilakukan juga.  Hal ini boleh memudahkan penafsiran umum murid apabila penjaga atau ibu bapa bertanyakan 'kemenjadian' anak mereka. Kegagalan guru membuat tafsiran akan menjadikan waris terkeliru atau tidak dapat menerima sepenuh hati.

Oleh itu, persoalan kemenjadian ini perlu dijadikan asas persefahaman antara pihak sekolah dan ibu bapa agar semua pihak dapat menjadikan alat ukur kemenjadian  ini benar-benar mengukur perkara yang ingin diukur. Bukan mudah untuk meletakkan beban menilai dan mengukur kemenjadian murid kepada pihak sekolah sahaja jika pihak di luar sekolah tidak faham konsep dan aplikasi menjadikan murid 'menjadi'.




Wednesday, December 27, 2017

Umrah: penyucian jiwa



Saya diberi peluang dengan segala kemudahan oleh Allah swt untuk mengerjakan umrah pada 28/11/2017 hingga 9/12/2017.  Peluang ini digunakan sepenuhnya untuk melakukan ibadah yang dibentang luas di depan mata.  Walaupun usia memasuki fasa 60an (hari lahir ke-60 pada 27/11/2017) sehari sebelum berangkat ke tanah suci, saya berazam untuk melakukan yang terbaik semasa di tanah suci.  Semoga Allah menerima ibadah yang dilakukan dan memberi ganjaran dalam bentuk rahmat dan penyucian dosa seperti yang dinyatakan di dalam hadis berkaitan kelebihan umrah;


Antaranya ialah :
1. MENJADI TETAMU ALLAH Di dalam Ihya'Ulumiddin, Jarir bin Abdillah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya : "Tetamu Allah ada tiga golongan iaitu orang yang berhaji, berumrah dan berperang"
2. PAHALA DAN GANJARAN DILIPATGANDAKAN Abi Suhail mendengar Abu Hurairah RA mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda pada tahun Haji Wada' di Mekah : "Para jemaah haji dan umrah adalah tetamu Allah SWT. Dia akan memenuhi apa yang mereka minta, mengabulkan apa yang mereka doakan, memberikan ganti kepada mereka atas apa yang telah mereka belanjakan dan melipatgandakan satu dirham untuknya menjadi sejuta dirham" (al-Fakily, Muhammad Ibnu Ishak)
3. TIDAK DIHISAB JIKA MENINGGAL DUNIA SEMASA MENUNAIKAN UMRAH Di dalam Ihya'Ulumiddin, disebut bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya : "Barang siapa keluar untuk menunaikan ibadah haji atau umrah lalu meninggal dunia, maka baginya diberlakukan pahala berhaji dan berumrah hingga hari kiamat. Dan barang siapa meninggal dunia di salah satu tanah suci, maka kelak dia tidak diadili dan tidak pula dihisab, melainkan dikatakan kepadanya, `Masuklah ke dalam syurga'"
4. PAHALA UMRAH BULAN RAMADHAN MENYAMAI IBADAH HAJI Dalam Sahih Muslim diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya : "Melakukan umrah pada bulan Ramadhan menyamai ibadah haji"
5. MENGHILANGKAN DOSA DAN KEFAKIRAN Dalam Ibnu Majah, Umar RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud : "Perturutkanlah antara haji dan umrah, sebab sesungguhnya berturut-turutnya antara keduanya akan menghilangkan kefakiran dan dosa-dosa, ibadat kir (nyalaan api pada tukang besi) yang menghilangkan kotoran besi"
6. DIWAJIBKAN WALAUPUN SEKALI (JIKA MAMPU) Umrah juga diwajibkan atas manusia sekali seumur hidup jika mampu. Walau bagaimanapun penduduk Mekah tidak diwajibkan menunaikan umrah hanya ibadah haji sahaja. Allah berfirman dalam surah Al-Baqarah : 196 yang bermaksud : "Dan sempurnakanlah ibadah haji dan umrah kerana Allah" Begitu juga daripada Ibnu Umar RA yang berkata : "Tidak ada seorang pun kecuali diwajibkan atasnya satu kali haji dan umrah" (Al-Bukhari)
7. PENGHAPUSAN DOSA Dalam riwayat Al-Bukhari, Rasululluh SAW telah bersabda yang bermaksud : "Satu ibadah umrah sehingga sampai umrah lainnya adalah sebagai pelebur (dosa) di antara keduanya. Sedang haji yang mabrur tidak mempunyai balasan kecuali syurga" 

Wednesday, December 20, 2017

Wasatiyyah oleh Sheikh Dr Yusuf al-Qaradhawi



Buku ini menghuraikan isu-isu berkaitan Wasatiyyah.  Menurut beliau, Wasatiyyah sama maksudnya dengan sifat 'al-Tawazun' atau seimbang dan sifat 'I'tidal' (pertengahan'

Kesemua perkataan ini bermaksud pertengahan iaitu berada di antara dua pihak atau keadaan yang bercanggah atau bertentangan, tidak condong kepada salah satunya.

Antara perkara yang saling bertentangan ialah:



  • ketuhanan dan kemanusiaan
  • kerohanian dan kebendaan
  • ukhrawi dan duniawi
  • wahyu dan akal
  • peninggalan silam dan masa hadapan
  • individu dan masyarakat
  • realiti dan keunggulan
  • Tsabat (tetap) dan berubah
wasatiyyah yang dimaksudkan antara  dua perkara yang bertentangan ini ialah memberi hak kepada setiap pihak dengan sebenar-benarnya, penuh adil, dan secukupnya. Maksud 'al-Qisth' (adil) seperti firman Allah;

"Dan sempurnakanlah sukatan apabilankamu menyukat dan timbanglah dengan neraca yang benar.  Itulah yang lebih utama dan lebih baik akibatnya"

Bersambung










TAUBAT YANG DITERIMA ALLAH

Perintah Allah SWT kepada kita supaya bertaubat: وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ Maksu...