Friday, August 2, 2019

HAJI MABRUR



aZulhijjah datang lagi.  Hal ini bermakna jemaah haji sudah mulai bergerak ke Mekah untuk tunaikan haji.  Suhu di Mekah kini dilaporkan mencecah 51C.  Suhu terlalu panas terutama bagi jemaah yang tua dan uzur.  Walau sepanas mana suhu di Mekah, ibadat haji tetap diteruskan.  Ibadat-ibadat yang mengringinya juga perlu dilakukan bagi memastikan ibadat haji diterima Alllah sebagai haji mabrur.

Semua jemaah haji ingin mempeoleh haji mabrur.  Namun bagi mendapatkannnya, jemaah perlu benar-benar menyiapkan diri agar hasrat tersebut dapat dicapai.  Walau sepanas mana suhu di sana, dengan jutaan manusia yang sama tujuannya untuk mendapat reda Allah.  Kelangsungan ibadat haji perlu dilakukan dengan sempurna agar haji mabrur yang mampu mengubah kehidupan umpama bayi baru dilahirkan ke  alam ini.  

Haji mabrur.  Apa maksudnya? Kata maqbul dan mabrur sering dimaknai sebagai “diterima oleh Allah SWT”anjaran haji mabrur adalah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang melakukan ibadah haji ke Baitullah dengan tidak mengucapkan perkataan keji, tidak berbuat fasik, dia akan kembali ke negerinya dengan fitrah jiwanya yang suci ibarat bayi baru lahir daripada perut ibunya. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Jadi, tidak semua yang hajinya sah terhitung sebagai haji mabrur. Ibnu ‘Abdi al-Barr dalam al-Tamhid menyatakan bahawa haji mabrur adalah haji yang tiada riak (sombong), tiada sum’ah (mengata orang), tiada rafath (lucah), tidak melakukan kefasikan dan tunai haji dengan harta halal.


Antara tanda-tanda haji mabrur yang disebutkan para ulama adalah:
* Harta yang dibelanjakan bagi menunaikan haji adalah harta yang halal. Sabda Nabi SAW: Sungguh Allah baik, tidak menerima kecuali yang baik. (Riwayat Muslim)
* Amalan-amalan dalam hajinya dilakukan dengan ikhlas, sesuai dengan tuntutan Nabi SAW. Segala rukun dan kewajipannya dilakukan dan semua larangan pula dielakkan. Menurut Syuraih al-Qadhi seperti dinukilkan oleh Ibn Rajab al-Hanbali dalam Lata’if al-Ma’arif, “Yang (benar-benar) berhaji sedikit, meski jemaah haji banyak. Alangkah banyak orang yang berbuat baik, tapi alangkah sedikit yang ikhlas kerana Allah.”
* Hajinya dipenuhi pelbagai amalan baik seperti zikir, membaca al-Quran, solat di Masjidilharam dan solat pada waktunya. Sebagaimana kenyataan Ibn Rajab al-Hanbali dalam Lata’if al-Ma’arif, “Maka haji mabrur adalah yang terkumpul di dalamnya amalan-amalan baik, dan menghindari perbuatan-perbuatan dosa.”
Antara lain, amalan khusus yang disyariatkan untuk meraih haji mabrur adalah bersedekah dan berkata-kata baik selama haji. Nabi SAW pernah ditanya tentang maksud haji mabrur, maka baginda menjawab: Memberi makan dan berkata-kata baik. (Riwayat Baihaqi)
* Tidak melakukan maksiat sepanjang berihram. Maksiat dilarang agama kita dalam semua hal. Dalam keadaan berihram, larangan tersebut menjadi lebih tegas dan jika dilanggar maka haji mabrur yang diimpikan akan terlepas. (rujuk al-Baqarah ayat 197)
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang haji dan ia tidak rafath dan tidak fusuq, ia akan kembali kepada keadaannya saat dilahirkan ibunya. (Riwayat Ahmad)
Imam al-Ghazali dalam Ihya’ Ulumiddin menjelaskan rafath adalah semua bentuk kekejian dan perkara yang tidak berguna. Ini termasuk bersetubuh, bercumbu atau berbual tentangnya, meskipun dengan pasangan sendiri selama berihram.
Fusuq adalah keluar daripada ketaatan kepada Allah dalam apa jua bentuknya. Dengan kata lain, segala bentuk maksiat adalah fusuq yang dimaksudkan dalam hadis di atas. Jidal pula adalah berbantah-bantahan secara berlebihan.

* Menjadi lebih baik selepas haji. Antara tanda dite­rimanya amal seseorang di sisi Allah adalah diberikan taufik untuk melakukan kebaikan lagi setelah amalan tersebut. Sebaliknya, jika setelah beramal soleh melakukan perbuatan buruk, maka itu adalah tanda bahawa Allah tidak menerima amalannya.
Imam Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir menyatakan bahawa Al-Hasan al-Bashri telah menjelaskan, “Haji mabrur adalah pulang dalam keadaan zuhud terhadap dunia dan mencintai akhirat.”
Amalan selepas menunaikan haji.
Setelah menekuni nas dan amalan para salaf, antara amalan yang perlu dilakukan dan diteruskan oleh para jemaah haji selepas pulang dari Tanah Suci ialah :
  1. Memperbanyakkan zikrullah
Ini sangat bertepatan dengan firman Allah :
 فَإِذَا قَضَيْتُم مَّنَـٰسِكَكُمْ فَٱذْكُرُوا۟ ٱللَّـهَ كَذِكْرِكُمْ ءَابَآءَكُمْ أَوْ أَشَدَّ ذِكْرًا ۗ
Maksudnya :” Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan amalan ibadat Haji kamu, maka hendaklah kamu menyebut-nyebut dan mengingati Allah (dengan membesarkanNya) sebagaimana kamu dahulu menyebut-nyebut (memuji-muji) datuk nenek kamu, bahkan dengan sebutan yang lebih lagi.”
(Surah al-Baqarah : 200)
Mafhum daripada ayat tersebut, kita perlu mengisi masa-masa kita dengan zikrullah walaupun setelah selesai menunaikan ibadah haji. Kata Sheikh al-Maraghi :
“Jika telah selesai daripada menunaikan haji, maka perbanyakkan berzikir kepada Allah dengan sebanyak-banyaknya…”
Rujuk Tafsir al-Maraghi ( 2/105)
Banyak sekali kelebihan zikir yang tidak mampu untuk keseluruhannya. Antaranya :
  • Menjauhkan diri dari syaitan dan menghancurkan kekuatannya serta menarik keredaan Allah.
  • Menguatkan hati dan wajah bercahaya
  • Melahirkan rasa cinta kepada Allah.
 Memperbanyakkan doa
Ini amat sesuai dikekalkan kerana semasa menunaikan haji, para Jemaah haji sentiasa berdoa dari semasa ke semasa. Ini berdasarkan firman Allah :
وَقَالَ رَبُّكُمُ ٱدْعُونِىٓ أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِى سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ
Maksudnya :” Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”
(Surah Ghafir : 60)
Ibnu Kathir berkata :
“Ini adalah di antara sifat kemuliaan Allah swt, di mana Allah memerintahkan hambanya untuk berdoa dan Dia sendiri menyatakan bahawa Dia bertanggunjawab untuk mengabulkannya. Sepertimana kata Sufian al-Thauri :
يَا مَنْ أَحَبُّ عِبَادِهِ إِلَيْهِ مَنْ سَأَلَهُ فَأَكْثَرَ سُؤَالَهُ وَيَا مَنْ أَبْغَضُ عِبَاده إِلَيْهِ مَنْ لَمْ يَسْأَلْهُ وَلَيْسَ أَحَد كَذَلِكَ غَيْرك يَا رَبِّ
Maksudnya :” Hamba yang paling disukai oleh Allah adalah sesiapa yang sentiasa meminta dan memperbanyakkan doanya. Dan yang paling dibenci adalah yang tidak meminta kepada-Nya. Tidak ada yang bersikap sebegitu selain dari Engkau wahai Tuhan.”
Rujuk Tafsir al-Quran al-‘Azim (14/366)
  1. Sentiasa ke masjid dan berjemaah
Amalan ini telah dilakukan sebaik mungkin ketika berada di tanah suci melaksanakan ibadah haji. Ini melahirkan suasana harmoni dan masjid-masjid pasti dipenuhi dan sentiasa dimakmurkan.
Terdapat banyak  sekali kelebihan solat berjemaah. Antaranya :
  • Daripada Ibnu Umar bahawa Nabi saw bersabda :
صَلاَةُ الْجَمَاعَةِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَةِ الْفَذِّ بِسَبْعٍ وَعِشْرِينَ دَرَجَةً
Maksudnya :” Solat berjemaah lebih baik daripada solat bersendirian (dan ganjarannya) sebanyak 27 kali darjat.”
Riwayat Muslim (1509)
  • Daripada Uthman Bin Affan. Beliau berkata : Aku mendengar Rasulullah saw bersabda:
مَنْ تَوَضَّأَ لِلصَّلاَةِ فَأَسْبَغَ الْوُضُوءَ ثُمَّ مَشَى إِلَى الصَّلاَةِ الْمَكْتُوبَةِ فَصَلاَّهَا مَعَ النَّاسِ أَوْ مَعَ الْجَمَاعَةِ أَوْ فِى الْمَسْجِدِ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ذُنُوبَهُ
Maksudnya :”Sesiapa yang berwuduk untuk solat dan menyempurnakan wuduknya. Kemudian dia berjalan untuk menunaikan solat fardu serta solat Bersama orang lain secara berjemaah atau solat di masjid. Maka Allah akan ampunkan dosanya.”
Riwayat Muslim ( 571)
4. Menjadi agen perubah
Saban tahun, seramai 4 hingga 6 juta Jemaah haji datang ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji dan berazam untuk memperbaiki serta mengislah diri. Di samping berusaha membina jambatan hubungan dengan Allah (حبل من الله) dan juga jambatan hubungan dengan manusia (حبل من الناس). Ini sudah pasti memberi impak dan kesan yang sangat besar setibanya mereka di tanah air.
Fokus kita adalah kepada Jemaah haji Malaysia yang setiap tahu tidak kurang dari 28 ribu orang yang pergi menunaikan haji. Bayangkan jika mereka boleh menjadi agen perubah kepada masyarakat sekeliling. Apa yang boleh dilakukan oleh Jemaah haji yang pulang ke tempat asal mereka?.
Mereka semua dapat melaksanakan dakwah kepada keluarga masing-masing dan kepada jiran tetangga. Peringatkan mereka tentang suruhan Allah dan jauhkan mereka dari larangan Allah. Jika ini dilakukan, sudah pasti nanti ramai yang akan taat dan patuh kepada seruan Ilahi.
 Rujukan:

DARI TROMSO, NORWAY KE KILPISJARVI , FINLAND DEMI AURORA

Destinasi seterusnya ialah untuk ke Tromso, Norway.  Dari Tromso kami akan berkereta ke Kilpisjarvi di Finland. Cuaca masih lagi terlal...