Ahad, 23 Januari 2011

Istiqamah




Apakah masalahnya istiqamah dalam kehidupan manusia? Manusia sering lupa untuk beristiqamah dalam banyak hal. Dalam beribadat terutamanya. Yang sering berlaku ialah rasa tamak hendak melakukan sesuatu dengan banyak tetapi tidak istiqamah. Akibatnya amalan tidak sampai ke mana. Sama ada dalam solat atau amalan yang lain.

Kita dianjurkan melakukan solat wajib di samping memperindahkan dengan solat sunat yang lain. Apabila diperingatkan, amalan itu dilakukan sebanyak mungkin. Tapi pada satu tahap, amalan yang dilakukan itu tidak dapat diteruskan dengan konsisten akibat nilai iman yang turun naik. Begitu juga dengan dengan amalan membaca Quran.

Istiqamah terhadap amalan tersebut sering tidak dapat dipertahankan. Mungkin tak ambil iktibar dari maksud ayat Quran yang dibaca. Oleh itu, bila solat dan baca Quran, akan menjadi lebih bermakna jika dilakukan dengan memahami akan maksud ayat yang dibaca.

Dalam melakukan pekerjaaan seharian pun, kita dituntut agar beristiqamah dalam melakukannya. Pendirian teguh kita terhadap tanggungjawab yang diberikan selalu diakhiri dengan kejayaan. Begitulah juga halnya dengan amalan yang disyariatkan Allah agar dilakukan secara istiqamah. Sudah pasti Allah akan membalasnya dengan nikmat. Itulah patanda bagi orang-orang yang berfikir...

Seterusnya, kita perhatikan maksud istiqamah (Dipetik dari http://www.al-azim.com/masjid/istiqamah.html)

Istiqamah bererti berpendirian teguh atas jalan yang lurus, berpegang pada akidah Islam dan melaksanakan syariat dengan teguh, tidak berubah dan berpaling walau dalam apa-apa keadaan sekalipun.

Daripada pengertian ini dapat dirumuskan unsur-unsur utama istiqamah:
1.Berpegang pada akidah yang benar, aqidah ahli As-sunnah Waljamaah.
2.Melaksanakan tuntutan Syariat Islam berpandukan Al-Quran dan hadis Rasullallah Sallallahu Alaihi Wassalam.
3.Mempunyai prinsip dan keyakinan yang tidak akan berubah atau goyah.
4.Tidak terpengaruh dengan dakyah dan godaan hawa nafsu dan syaitan.
5.Tidak tunduk pada tekanan demi melaksanakan tanggungjawab dan mempertahankan kebenaran.

Istiqamah menjadi tuntutan agama.

Sifat yang mulia ini menjadi tuntutan Islam seperti yang diperintahkan oleh Allah Taala dan Rasulnya (Surah Fusilat Ayat ' 6)

Ertinya: Katakanlah ( Wahai Muhammad ): "Sesungguhnya Aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepada Aku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang satu; maka hendaklah kamu teguh di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredhaanya)......
(Rawahul Muslim)

Istiqamah merupakan daya kekuatan yang diperlukan sepanjang hayat manusia dalam melaksanakan tuntutan Islam, mulai daripada amalan hati, amalan lisan dan anggota tubuh badan. Jelasnya, segala amalan yang dapat dirumuskan dalam pengertian ibadah samada fardu ain atau fardu kifayah memerlukan istiqamah.

Jumaat, 14 Januari 2011

Mengapa malas?






Mengapa malas? Ada banyak jawapannya. Bagi sesiapa yang malas, masing-masing boleh jawab sendiri. Malas juga ada di mana-mana;semasa bersekolah, belajar di universiti, hatta semasa sudah bekerja. Datangnya malas bersumberkan banyak saluran. Ada yang malas yang memang sedia ada dalam diri seseorang. Ada malas yang dijemput datangnya. Ada juga malas yang diberi walau tanpa diminta.

Ibu bapa akan berang bila anaknya malas. Dihantar ke sekolah bukan nak belajar cara malas-malas. Pun begitu, belajar bagi sesetengah pelajar membosankan. Pada mereka belajar merupakan beban dan perlu dipikul. Siapa yang suruh pikul beban belajar? Ayah, ibu, abang, kakak, emak saudara, datuk dan sesiapa saja yang ada kaitan dengan pelajar. Beratkah beban ketika belajar? Bagaimana nak ringankan beban tersebut? Bolehkah ditinggalkan di tengah jalan? Pelajar yang malas akan rasa puas jika beban tak ada.

Jika kita tanya pelajar, seronokkah belajar? Minat pergi sekolah? Mungkin ada pelbagai jawapan yang pelajar beri. Bagi murid sekolah rendah yang baru masuk sekolah tentunya seronok nak ke sekolah. Ada ramai kawan baru. Ada cikgu baru. Pakai baju baru. Tak dinafikan ramai yang menangis pada hari pertama bersekolah. Kalau dilihat senario alam persekolahan kini, rasanya ramai murid baru sekolah seronok ke sekolah. Mereka tak malas nak ke sekolah.

Situasi ini boleh berubah ikut edaran masa. Semakin lama pelajar ke sekolah, peratusan yang malas nak belajar semakin meningkat. Hal ini ditambah dengan faktor penolak yang wujud sama ada di sekolah atau faktor peribadi pelajar sendiri. Sekolah yang dikunjunginya setiap hari kecuali hari cuti, mungkin tidak memberi makna yang mendalam kepada pelajar. Dengan rutin yang mesti diikut hampir sama semasa pembelajaran dalam kelas. Jika pelajaran yang dia tidak minat belajar berpunca dari guru yang mengajar, maka sepanjang tahun itulah dia akan menghadapinya. Hal ini ditambah dengan faktor lain yang sama-sama menyumbang kepada kemalasan. Antaranya, Self esteem yang rendah, mudah terpengaruh dengan kawan, tak tahu hala tuju, sokongan penjaga yang lemah, serta pengaruh-pengaruh luaran yang di luar jangka.

Apabila sampai ke universiti pun kadangkala sifat malas ini juga masih terbawa-bawa. Malas nak buat rujukan, malas pergi perpustakaan, malas nak jumpa pensyarah, malas nak bincang dengan kawan adalah antara kemalasan yang sering wujud. Tugasan dibuat ala kadar saja. Di sinilah akan timbul budaya meniru dan plagiat. Jadilah mereka pelajar yang pasif. Belajar sekadar cukup makan dan lulus pun sudah memadai bagi mereka. Fenomena malas ini juga berlaku dalam kalangan pelajar di Amerika Syarikat seperti mana yang dinyatakan oleh Jashik (13 January, 2011) dalam Inside Higher Education. Menurut beliau, pelajar dari negara luar US menunjukkan kesungguhan dalam belajar.

Masa sudah bekerja pun sifat malas ini tidak dinafikan kewujudannya. Ada juga yang tunjukkan sifat rajin pada peringkat awal bekerja. Namun bagi pekerja yang malas, mereka ini akan memberi pelbagai alasan mempertahankan kemalasannya. Persoalannya ialah kesan malas terhadap diri sendiri dan orang lain. Ada sesiapa yang suka kepada orang yang pemalas? Tidak produktifkah orang yang malas?

lazyway..
Walau bagaimanapun, ada konsep lain bagi malas. Lazyway..Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut berkaitan lazyway atau smart lazy boleh layari blog ini; http://lazyway.blogs.com/lazy_way/2006/08/hard_work_versu.html

Selasa, 4 Januari 2011

Feldaku..

sedang bersihkan ladang di felda

Pada cuti hujung tahun lalu, saya ada balik ke kampung. Dipanggil kampung tapi asalnya tanah rancangan Felda. Saya dibesarkan di sana dan masih mampu mengingat kisah silam kehidupan di Felda. Pindah ke sana ketika saya masuk darjah satu. Saya tidak malu mengaku anak Felda jika ada orang tanya, asal dari mana? Felda telah memberikan banyak kemudahan dalam banyak aspek kehidupan. Ada sekolah, kedai, jalan, masjid, balai raya, dan macam-macam lagi. Yang paling utama diberikan kawasan ladang seluas 10 ekar (8 ekar getah dan 2 ekar dusun) serta sebuah rumah dan tanah suku ekar. Dari situlah anak-anak Felda membesar. Diberi pelajaran secukupnya. Ada yang berjaya, dan tak kurang juga yang tercicir. Ada keluarga yang bahagia dan begitulah sebaliknya.

Masa cuti tersebut saya teringin nak minum teh di kedai kopi di kampung saya. Lepas solat Subuh, saya berjalan kaki saja untuk ke kedai kopi. 5 minit berjalan. Udara segar sebab tak tercemar. Sedang menunggu minuman, saya bertemu kawan lama semasa di sekolah rendah dulu. Dia dalam pakaian untuk pergi menoreh getah. Kami sempat berbual cerita masa budak-budak dulu. Dia akui, disebabkan tertinggal dalam pelajaran, keadaan inilah yang dapat dicapainya. Mewarisi kehidupan arwah ayah dan emaknya. Ada lagi tiga empat orang yang menegur saya. Saya sudah tidak dapat mengingat nama mereka. Kebanyakan mereka hampir sebaya dengan saya. Mereka generasi kedua Felda. Menetap dan meneruskan kehidupan di Felda. Generasi pertama kebanyakannya sudah meninggal dunia.

Isunya ialah apakah kesudahan kehidupan peneroka Felda yang semakin dimamah usia. Walaupun sekarang harga getah melambung, namun sejauh manakah pengurusan Felda dapat memberikan khidmat. Saban hari kita lihat dan dengar isu Felda yang dibangkitkan. Sehinggakan Datuk Najib sendiri mengambil inisiatif meletakkan Felda di bawah JPM. Begitulah hebatnya pengaruh Felda. Jika tidak, takkan PM terlalu ambil berat.

Ribut tentang Felda dilihat semakin kencang. Semakin banyak kes Felda yang dibawa ke mahkamah. Ada tuntutan peneroka yang menang seperti di Kelantan dan Pahang. Ada persatuan anak peneroka (ANAK) yang kian lantang bersuara menentang apa yang dikatakan ketidakadilan Felda. Kemudian muncul pula BAPAK, badan yang mengaku mampu selesaikan masalah Felda. Kalau ketika pilihan raya, Felda adalah lubuk pertentangan yang hebat. Pihak kerajaan akan sedaya upaya menguasai undi di sana. Itu cerita tentang ribut Felda.

Disebabkan Felda memiliki aset ladang dan perusahaan berkaitan ladang yang besar, kerajaan nampaknya berusaha menjaganya agar tidak terlepas tangan pihak pembangkang. Jika pihak Felda tidak berupaya menangani isu-isu Felda dengan baik, tidak mustahil akan wujud usaha penentangan. Disebabkan Felda mampu mengaut keuntungan yang berlipat ganda, maka peneroka perlu diberikan keutamaan untuk menikmatinya. Pembahagian kekayaan Felda bukan untuk dikongsi golongan tertentu saja tetapi golongan seperti kawan saya yang masih taat menoreh getah walaupun dia tidak tahu berapa keuntungan Felda pada tahun ini.

Kepada pengerusi Felda yang baru, keutamaan menjadikan Felda komuniti yang mampu mengikut rentak semasa perlu diberi perhatian. Peneroka menerusi anak-anak generasi akan datang tidak lagi melihat Felda sebagai kawasan ladang getah atau kelapa sawit tetapi sebagai entiti yang perlu diuruskan dengan saksama dan memberi manfaat.

TIDAK MELUPAKAN KEBAIKAN

KAEDAH KETIGA: Menekankan muamalah dalam kehidupan.  Interaksi dengan orang lain.  Kita diajar tidak melupakan kebaikan orang. Keseluruhan...