Selasa, 4 Januari 2011

Feldaku..

sedang bersihkan ladang di felda

Pada cuti hujung tahun lalu, saya ada balik ke kampung. Dipanggil kampung tapi asalnya tanah rancangan Felda. Saya dibesarkan di sana dan masih mampu mengingat kisah silam kehidupan di Felda. Pindah ke sana ketika saya masuk darjah satu. Saya tidak malu mengaku anak Felda jika ada orang tanya, asal dari mana? Felda telah memberikan banyak kemudahan dalam banyak aspek kehidupan. Ada sekolah, kedai, jalan, masjid, balai raya, dan macam-macam lagi. Yang paling utama diberikan kawasan ladang seluas 10 ekar (8 ekar getah dan 2 ekar dusun) serta sebuah rumah dan tanah suku ekar. Dari situlah anak-anak Felda membesar. Diberi pelajaran secukupnya. Ada yang berjaya, dan tak kurang juga yang tercicir. Ada keluarga yang bahagia dan begitulah sebaliknya.

Masa cuti tersebut saya teringin nak minum teh di kedai kopi di kampung saya. Lepas solat Subuh, saya berjalan kaki saja untuk ke kedai kopi. 5 minit berjalan. Udara segar sebab tak tercemar. Sedang menunggu minuman, saya bertemu kawan lama semasa di sekolah rendah dulu. Dia dalam pakaian untuk pergi menoreh getah. Kami sempat berbual cerita masa budak-budak dulu. Dia akui, disebabkan tertinggal dalam pelajaran, keadaan inilah yang dapat dicapainya. Mewarisi kehidupan arwah ayah dan emaknya. Ada lagi tiga empat orang yang menegur saya. Saya sudah tidak dapat mengingat nama mereka. Kebanyakan mereka hampir sebaya dengan saya. Mereka generasi kedua Felda. Menetap dan meneruskan kehidupan di Felda. Generasi pertama kebanyakannya sudah meninggal dunia.

Isunya ialah apakah kesudahan kehidupan peneroka Felda yang semakin dimamah usia. Walaupun sekarang harga getah melambung, namun sejauh manakah pengurusan Felda dapat memberikan khidmat. Saban hari kita lihat dan dengar isu Felda yang dibangkitkan. Sehinggakan Datuk Najib sendiri mengambil inisiatif meletakkan Felda di bawah JPM. Begitulah hebatnya pengaruh Felda. Jika tidak, takkan PM terlalu ambil berat.

Ribut tentang Felda dilihat semakin kencang. Semakin banyak kes Felda yang dibawa ke mahkamah. Ada tuntutan peneroka yang menang seperti di Kelantan dan Pahang. Ada persatuan anak peneroka (ANAK) yang kian lantang bersuara menentang apa yang dikatakan ketidakadilan Felda. Kemudian muncul pula BAPAK, badan yang mengaku mampu selesaikan masalah Felda. Kalau ketika pilihan raya, Felda adalah lubuk pertentangan yang hebat. Pihak kerajaan akan sedaya upaya menguasai undi di sana. Itu cerita tentang ribut Felda.

Disebabkan Felda memiliki aset ladang dan perusahaan berkaitan ladang yang besar, kerajaan nampaknya berusaha menjaganya agar tidak terlepas tangan pihak pembangkang. Jika pihak Felda tidak berupaya menangani isu-isu Felda dengan baik, tidak mustahil akan wujud usaha penentangan. Disebabkan Felda mampu mengaut keuntungan yang berlipat ganda, maka peneroka perlu diberikan keutamaan untuk menikmatinya. Pembahagian kekayaan Felda bukan untuk dikongsi golongan tertentu saja tetapi golongan seperti kawan saya yang masih taat menoreh getah walaupun dia tidak tahu berapa keuntungan Felda pada tahun ini.

Kepada pengerusi Felda yang baru, keutamaan menjadikan Felda komuniti yang mampu mengikut rentak semasa perlu diberi perhatian. Peneroka menerusi anak-anak generasi akan datang tidak lagi melihat Felda sebagai kawasan ladang getah atau kelapa sawit tetapi sebagai entiti yang perlu diuruskan dengan saksama dan memberi manfaat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SAKSI ATAS DIRI SENDIRI

  Dalam bukunya, 59 Kaedah Al-Quran Untuk Jiwa dan Kehidupan, Dr. Umar Abdullah al-Muqbil (2012)  menghuraikan kaedah keempat.  Beliau meny...