Jumaat, 9 September 2022

UMUR PANJANG DAN BERKAT

Ratu Elizabeth II mangkat pada usia 96 tahun.  Baginda juga merupakan raja paling lama bertakhta.  Kesihatannya merosot sejak sebulan lalu.  Akibatnya pergerakannya terhad.  

Dr. Mahathir juga panjang umurnya.  Kini dia berusia 97 tahun. Baru-baru ini dia berkata, “Saya tahu saya sudah tua tetapi saya agak beruntung sebab masih boleh bercakap dengan orang, masih boleh berhujah dan memimpin parti." Dalam konteks politik, dia masih berteka teki sama ada akan bertanding dalam pilihanraya akan datang.  Begitulah kurniaan Allah.  Ada yang diberi umur panjang.  Ada pula yang singkat dan menemui Allah dalam usia muda.  

Manusia tidak tahu bila umurnya akan berakhir.  Bagi umat Rasulullah SAW, umur mereka sekitar 60-70 tahun.  Berbanding dengan umat terdahulu, umur mereka sangat panjang. Yang penting ialah bukannya panjangnya umur seseorang tetapi sejauh mana umur itu digunakan. 

Rasulullah saw bersabda, "Tak akan bergeser kedua kaki manusia pada hari kiamat sampai selesai ditanya tentang empat perkara, iaitu tentang umurnya dihabiskan untuk apa; tentang masa mudanya, dipergunakan untuk apa; tentang hartanya, dari mana diperoleh dan untuk apa dibelanjakan; dan tentang ilmunya, apakah sudah diamalkan". (HR At-Tarmidzi).

Allah kurniakan umur panjang agar diberkati.  Selalu dalam ucapan hari lahir, kita ucapkan " Selamat hari lahir, semoga panjang umur".  Yang lebih baik lagi ialah bukan setakat umur panjang tetapi umur yang berakat.

Apakah maksud umur yang berkat? Dari Abdurrahman bin Abu Bakrah, dari bapanya yang menceritakan:

"Ada seorang lelaki bertanya, 'Wahai Rasulullah, siapakah orang yang terbaik?' Beliau jawab: 'Orang yang panjang umurnya dan baik amalannya'. Ia bertanya lagi: 'Lalu siapakah orang yang terburuk?' Beliau jawab: 'Orang yang panjang umurnya dan buruk perbuatannya'." (Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan Al-Haitami).  

Nabi saw mengingatkan:

"Manfaatkan lima perkara sebelum datang lima perkara:

Waktu mudamu sebelum datang waktu tuamu, waktu sihatmu sebelum datang waktu sakitmu, masa kayamu sebelum datang masa kefakiranmu, masa luangmu sebelum datang masa sibukmu, hidupmu sebelum datang kematianmu."

(HR. Al Hakim dalam Al Mustadroknya).

Berkat menurut Ar-Raghib Al-Isfahani: "Keberkatan itu ialah tetapnya kebaikan Ilahi di dalam sesuatu."  Oleh itu "berkat" yang dimaksudkan ialah "bahagia, beruntung, bertambah dan berkembang".

Katanya lagi: "Sedikit terasa cukup. Rezeki yang biasanya dianggap kurang pada orang lain tetapi terasa cukup pada dirinya. Setelah berusaha mencari rezeki maka reda dengan kuantiti rezeki yang dia dapat serta Allah swt mencukupkan baginya rezekinya.

Apakah tanda umur yang berkat?

"Barangsiapa bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)-nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki)-Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu."

(QS. Ath Thalaaq: 2-3)

Oleh itu, panjang atau pendek umur seseorang adalah termasuk takdir yang ditetapkan.   Namun yang penting adakah umur itu memberi kebaikan kepadanya dan sekelilingnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PILIHANRAYA DAN KEBEBASAN BERSUARA

Tidak dapat dielakkan. Bila wakil rakyat meninggal dunia, kerusinya perlu diganti. Wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen (AP)atau Ahli Dewan U...