Rabu, 22 Disember 2010

Perjalanan 2: Meminang

MAKLUMAT DIKEMAS KINI: Disebabkan anak saya Zulhilmi (tunang kepada Fiza) ditawarkan untuk mengiikuti latihan juruterbang helikopter pada saat hampir hari perkahwinan mereka, maka majlis tersebut terpaksa ditangguhkan sehinga ia tamat latihan. Mungkin pada tahun hadapan (2013) hajat mereka akan termakbul. Dalam hal ini, kita merancang, Allah yang menentukan segala-galanya..


(Gambar atas: meminang Fiza,Sabtu-18/12;
bawah: meminang Faqehah,Ahad,19/12)

Bila sampai waktu dan ketika yang sesuai, anak-anak yang sudah dewasa akan menyatakan pada ibu bapanya akan hajat untuk berumah tangga. Begitu juga dengan dua orang anak teruna saya. Mereka telah mengusulkan hasrat untuk meminang pilihan hatinya. Ini adalah langkah pertama sebagai menandakan ikatan sebelum berkahwin. Hasrat mereka kami terima dengan lapang dada. Muhamad Zahid, anak teruna kedua saya, bekerja sebagai Jurutera dengan MAS. Manakala Muhamad Zulhilmi, anak teruna ketiga pula, bertugas sebagai Leftenan dengan Tentera Laut Di-Raja Malaysia. Kalau ikutkan umur dan kemampuan, rasanya mereka sudah layak untuk berumah tangga.

Tapi yang agak menariknya ialah hari pertunangan kedua-dua mereka. Mungkin menarik bagi mereka dan pasangannya tapi mungkin kedaan boleh jadi kecoh jika tidak ditadbir dengan baik. Zulhilmi bertunang pada hari Sabtu yang lalu, manakala Zahid pula pada hari Ahad berikutnya. Jadi, sangat sibuklah kami sekeluarga serta bapa dan mak saudara serta suku sakat yang lain untuk menguruskan perjalanan majlis tersebut.
Zulhilmi ditunangkan dengan Fiza, anak kepada Cikgu Molok, Guru Besar di SK Kerambit. Keluarga mereka yang tinggal di kampung Kerambit di Kuala Lipis Pahang.

Rombongan dari keluarga kami menginap di Jerantut Hill Resort sehari sebelum majlis pertunangan. Dengan bertolak awal, dapat juga kami berehat. Luruskan pinggang. Kami menginap di lapan buah chalet atas bukit yang indah pemandangannya. Hujan renyai-reyai saja hari itu. Berkabus pemandangan alam dari atas bukit. Nyaman. Itu semua mengajak kita memikirkan akan kebesaran Allah yang menjadikan ciptaannya di muka bumi ini menarik dipandang. Subhanallah.

Di samping bersantai, dapat juga kami bersembang-sembang sesama ipar lamai dan anak saudara yang agak lama juga tidak berkumpul seperti bersama-sama. Inilah acara tidak formal yang dapat merapatkan lagi ikatan kekeluargaan yang sudah tentunya perlu disemai dan dibaja. Situasi seperti ini juga mampu menjadi pemangkin dan pengajaran kepada anak-anak agar tidak mementingkan diri sendiri. Oleh itu, perlu ada rasa untuk menunjukkan kepada generasi yang lebih muda akan pentingnya hidup harmoni antara ahli dalam keluarga yang besar.

Resort tempat kami menginap, tidaklah sehebat mana. Unsur kecinaannya tergambar semasa kami sampai untuk mendaftar masuk. Ada kolam renang. Malangnya semasa kami ke sana, masih lagi di jalankan kerja-kerja pembaikan. Jadi tak dapatlah cucu dan anak-anak saudara yang sejak beberapa hari sebelumnya menyebut-nyebut untuk mandi manda di kolan renang. Mungkin ada hikmahnya Allah tak makbulkan hajat mereka.
Dari tempat menginap ke rumah Cikgu Molok ambil masa hampir 40 minit. Jalan dari Jerantut ke Kuala Lipis berliku dan agak sempit. Mungkin sesuai untuk pemandu berdarah panas. Mungkin juga sesuai bagi mereka yang nak tunjuk bakat memandu di selekoh bahaya. Walau bagaimanapun, berhati-hati memandu adalah dituntut terutama memandu dalam jalan yang tidak begitu baik.

Alhamdulillah kami sampai pada masa yang dijanjikan. Selepas upacara yang biasa dijalankan dalam majlis pertunangan, rombongan kami dijamu makan tengahari yang lazat. Yang tak dapat kami lupakan ialah kelazatan gulai ikan patin masak tempoyak dan gulai pelanduk. Disebabkan kekenyangan dengan menu yang dihidangkan, sehnggakan kami terlupa untuk membawa balik tepak sirih yang kami bawa tadi. Lebih mendebarkan lagi, tepak sirih itu juga yang akan digunakan pada majlis pertungan Zahid yang akan dilangsungkan pada hari Ahad keesokan harinya. Oleh kerana perkara itu disedari setelah sampai ke bandar Kuala Lipis, kami terpaksa fikirkan pilihan lain bagi mengatasi masalah tersebut.

Hari Ahad keesokan harinya, kami serta sanak saudara yang sudi menyertai rombongan bersedia ke Subang Jaya pula untuk menunangkan Zahid dengan Faqehah anak kepada Hj. Abdul Rahman Othman. Hj. Rahman adalah sahabat lama saya yang sudah lebih 30 tahun tidak pernah bertemu. Kami pernah sama-sama bergiat dalam program ABIM semasa di Serdang pada tahun 80an dulu. Akhirnya Allah telah menemukan saya dengan Hj Rahman manakala anak saya setelah Zahid berkenan dengan anak daranya. Sementara itu, adik bongsu saya, Fauzi dapat pula berjumpa denga anak sulung Hj Rahman yang sama-sama belajar di fakulti undang-undang UIAM suatu ketika dulu. Itu semua adalah hebatnya kekuasaan yang Allah swt miliki untuk menentukan sesuatu perkara itu berlaku. Alhamdulillah, semua majlis selesai dilangsungkan dan hanya menunggu hari perkahwinan.

Bercakap tentang kahwin, semasa saya membujang dulu, emak dan abah ada pesan kalau boleh jangan cari isteri orang jauh. Lebih dekat, lebih baik. Ada juga benarnya kata mereka. Senang nak uruskan kerja meminang dan kahwin. Walau bagimanapun, disebabkan adanya kemudahan perhubungan yang baik semua masalah itu sepatutnya tak timbul lagi sekarang. Tapi yang selalu timbul masalah ketika lepas kahwin. Bagi pasangan yang duduk jauh ialah isu yang sering perlu diselesaikan ialah bab balik raya atau majlis yang berkaitan dengan keluarga. Nak balik perlu duit minyak, nak bayar tol, belanja makan dan sebagainya. Di samping itu, perlu ada persefahaman dalam merungkai masalah lain yang timbul semasa bekeluarga.

Sehubungan itu, pasangan yang sudah berkahwin perlu ambil berat bab menziarah keluarga. Menjadi kewajipan anak-anak agar mereka luangkan masa ziarah emak bapak yang tinggal kesunyian di kampung. Di samping itu perlu juga diambil berat terhadap tanggung jawab memberi biaya kehidupan bagi keluarga yang susah di kampung. Ingatlah bahawa perjalanan hidup kita pada masa depan tidak dapat kita jangka. Entahkan susah, entahkan senang. Keberkatan dalam meraikan kehidupan emah ayah akan dibalas oleh Allah setimpal dengan usaha yang diberikan, insyaallah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SAKSI ATAS DIRI SENDIRI

  Dalam bukunya, 59 Kaedah Al-Quran Untuk Jiwa dan Kehidupan, Dr. Umar Abdullah al-Muqbil (2012)  menghuraikan kaedah keempat.  Beliau meny...