Khamis, 9 Disember 2010

KISAH CIKGU ALI: Mr. Karu dan Zali




Cikgu Ali duduk bersandar di kerusi guru di depan kelas Tingkatan 1A. Matanya masih menumpu kepada pelajar kelasnya. Pelajar telah diberikan latihan yang berkaitan. Pelajar juga sedang tekun buat latihan matematik yang diberikan. Dalam pada itu, Cikgu Ali teringatkan cikgu yang mengajarnya matematik semasa dia bersekolah dulu.

Cikgu Ali masih ingat lagi semasa dia belajar di tingkatan empat dan lima. Mr. Karu mengajar Cikgu Ali matematik. Cikgu Ali berminat dengan matematik disebabkan cara Mr. Karu mengajar. Mr. Karu seorang guru yang simple. Cara dia berpakaian, cara dia bercakap, cara dia memudahkan operasi matematik, sering terbayang oleh Cikgu Ali.

Sepanjang Mr. Karu mengajar, itu sajalah baju dan seluar yang dia sering pakai. Dia suka pakai baju warna putih dan seluar hitam. Tak tahulah berapa pasang baju yang Mr. Karu ada. Susah nak ramal sebab dia seakan-akan pakai baju dan seluar yang sama saja setiap hari. Satu hal yang melucukan ialah dia selalu pakai seluar yang ada kesan koyak yang tak pernah dijahit pada bahagian kaki seluarnya. Tak ada masalah baginya pakai seluar yang koyak atau cangkok pin seluarnya tercabut. Dia ke sekolah naik Vespa antiknya. Dia akan parking Vespanya itu tersorok di hujung bangunan sekolah. Mungkin dia tak mahu tunjukkan Vespa lamanya itu.

Dalam kelas, Mr. Karu sabar dengan kerenah pelajarnya. Tidak pernah Cikgu Ali lihat Mr. Karu marah jika ada pelajar yang tak buat atau tak siapkan latihan matematik. Pelajar yang ingin berjaya akan rasa insaf sendiri. Mr. Karu sebenarnya berjaya mendidik muridnya melalui tingkahlaku terpuji. Tidak perlu guna denda dan menjerit-jerit masa mengajar. Oleh kerana cikgu Ali dan kawan-kawannya meminati gaya Mr. Karu, akhirnya kebanyakan pelajarnya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM dalam mata pelajaran matematik.

“Zali, dah siap latihan yang cikgu beri?”

Hari itu Cikgu Ali mengajar tajuk rajah Venn bagi menunjukkan perkaitan dalam sistem nombor. Zali hanya geleng kepala, tanda kerja tak siap lagi. Mulutnya membunyikan isyarat yang dia belum siap lagi kerja itu. Dia seakan faham soalan Cikgu Ali. Tangannya menggayakan yang dia membuat latihan matematik dengan tekun. Cikgu Ali tak sampai hati nak memarahi Zali jika dia buat salah dalam latihan Matematik yang diberikan. Cikgu Ali akan cuba guna kudrat dan kemahiran mengajar yang diperoleh semasa belajar di maktab perguruan dulu. Dia usahakan agar Zali faham operasi matematik yang diajarkan.

Zali, pelajar yang sukar nak bercakap dengan jelas. Sukar nak faham apa yang dituturkanya. Dia nampaknya tekun menjawab soalan latihan. Sekali-sekala matanya menjangkau ke depan kelas. Nak dilihatnya kelibat Cikgu Ali. Kalau ada peluang mahu juga rasanya dia cuba buat onar dalam kelas. Zali juga suka meniru kerja kawa-kawannya.

Zali jenis murid yang tidak suka duduk diam. Ada saja yang menarik perhatiannya. Bagi Cikgu Ali, Zali adalah murid istimewa tapi bermasalah dalam kelas. Sudahlah keadaan fizikalnya macam itu, ditambah dengan kenakalannya, Cikgu Ali selalu sakit kepala memikirkannya.

“Sepatutnya dia ni masuk sekolah pendidikan khas, cikgu” saran Cikgu Ali kepada pengetua apabila dia melaporkan keadaan Zali dalam mesyuarat panitia Matematik minggu lalu. Disebabkan kekurangan yang dimilikinya, Cikgu Ali kadangkala putus ikhtiar dibuatnya.

Sekarang baru cikgu Ali faham bahawa guru perlu ada daya kreatif dan mahir sesuaikan keadaan dalam selesaikan masalah murid. Itulah antara cabaran yang ditempuh cikgu Ali masa semasa mula-mula mengajar.

Masalah itu tak pernah terlintas dalam benaknya semasa dia berkursus dulu. Pensyarah sampaikan kuliah secara umum saja. Dia masih ingat semasa belajar ilmu pedagogi. Pensyarahnya, Mr. Sundaram memarahi guru pelatih yang salah menulis objektif pengajaran. Bukan itu saja. Dia koyakkan kertas yang ditulis oleh guru pelatih itu dan membaling kertas itu ke muka pelajar tersebut.

Bila Cikgu Ali dah jadi guru, baru dia faham bahawa situasi semasa belajar dulu tak sama dengan realitinya. Bukan mudah nak beri pelajar mahir ilmu mengajar. Itu baru satu masalah yang dia hadapi. Walau bagaimanapun, Cikgu Ali masih belum luntur lagi semangatnya. Usaha untuk membantu murid macam Zali masih dianggap tugas utamanya, walaupun sukar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SAKSI ATAS DIRI SENDIRI

  Dalam bukunya, 59 Kaedah Al-Quran Untuk Jiwa dan Kehidupan, Dr. Umar Abdullah al-Muqbil (2012)  menghuraikan kaedah keempat.  Beliau meny...