Ahad, 26 Disember 2010

Perjalanan 3: Santai di Langkawi




santai dengan cucu

Hujung minggu yang lalu (23-25 Disember), saya, isteri, Nuruddin (anak sulung) bersama isteri (Zura) serta anaknya Darwish (cucu pertama kami) dan Zulhilmi (anak ketiga) bercuti ke Langkawi. Perjalanan dari Bangi terus ke Jeti Kuala Kedah mengambil masa sekitar 5 jam berkereta. Kami solat Subuh di surau Hentian R&R Sg Perak. Zulhilmi telah sedia mengunggu kami di sana setengah jam lebih awal. Dia bertolak dari Lumut, Perak tempat dia bertugas. Kami bersarapan di Hentian R&R Gurun, Kedah. Makan nasi lemak bungkus dan teh secawan.

Di sebebkan terlewat sedikit sampai ke Jeti, maka kami terpaksa menunggu hampir sejam untuk menaiki feri jam 1030 pagi. Banyak orang yang melancong ke Langkawi. Trend rakyat Malaysia bercuti hujung tahun. Setelah mengharungi lautan yang tidak begitu bergelora akhirnya kami sampai juga ke Langkawi pada jam 12 tengahari. Banyak perubahan saya lihat pada pembangunan infrastruktur di jeti setelah hampir 7 tahun tidak ke sana. Sudah banyak kedai-kedai yang menjalankan perniagaan di sana. Yang menariknya ialah kemampuan peniaga Melayu mengendalikan pelbagai jenis urusan dari perkhidmatan berkaitan pelancongan dan kereta sewa hinggalah menjual barang-barang berharga yang menjadi kegilaan pelancong.


Kami menyewa MPV untuk ke hotel penginapan. Awana Porto Malai. Nama yang sering dikaitkan dengan pemandangan lautan yang sangat menarik. Sewa semasa musim perayaan sangat mahal. Tapi saya melihat dari sudut keindahan pemandangan yang disajikan serta perkhidmatan yang diberikan. Terdapat beberapa kapal layar yang berlabuh dijeti hotel tersebut.

Pada sebelah petang kami bersiar-siar hingga kawasan pantai Kok yang banyak terdapat perahu layar berlabuh. Nampak juga beberapa buah kapal layar yang ditulis ‘for sale’. Agaknya tempat itu jual beli kapal klayar dilakukan. Pemandangan pada waktu matahari terbenam di pantai amat mengasyikkan. Itulah kuasa Allah yang menjalankan matahari pada laluannya yang mengajak manusia mengimaninya.

Makan malam kami di gerai makanan Arab. Tapi senarai masakannya termasuk makanan laut di samping masakan Arab. Harga makanan mahal di kawasan tersebut. Goreng sotong bersalut tepung untuk 2 gram (bukan 2 kg) 24 ringgit. Itu harga yang perlu dibayar jika bercuti di Langkawi semasa cuti sekolah dan perayaan. Yang seronoknya apabila melihat peniaga Melayu rancak berniaga sehingga larut malam. Ramai pelancong luar negara yang suka tempat peranginan yang simple yang tak ada di negara mereka.

Keesokan paginya, kami melakukan island hoping. Sewa sebuah bot dengan harga RM 200 untuk perjalanan selama 3 jam. Kami di bawa ke Tasek Dayang Bunting, tempat helang mencari makan dan mandi manda di pantai di sebauh pulau yang saya lupa namanya. Cucu saya yang berumur 6 bulan juga seronok berendam dalam laut yang bersih dari pencemaran. Itulah indahnya Langkawi dengan pantainya yang memutih.

Kami hanya menginap semalaman saja di Awana Porto Malai. Hanya dapat tempah semalam saja sebab telah penuh ditempah. Petangnya, kami berpindah tempat menginap di bandar Kuah. Beli belah ala kadar saja. Tengahari Sabtu kami berangkat pulang.

Dalam perjalanan ke Bangi, kami singgah bermalam di rumah Hj Haris, besan saya di Baling. Baru-baru ini dia dikesan sakit jantung dan pada 6 Januari dijadualkan menjalani pembedahan pintasan jantung di Pusat Perubatan Universiti Malaya. Kami doakan agar beliau selamat dan sabar menghadapi dugaan tersebut.

Di samping seronok bersantai, namun jangan lupa menjaga kesihatan agar tidak dihinggapi penyakit . Oleh itu, memberi hak kepada fikiran dengan melegakannya dengan melupakan sementara kerja-kerja rutin, kita juga perlu waspada dengan penyakit yang amat mudah hinggap dalam badan. Bila hinggap, penyakit agak sukar untuk meninggalkan kita. Oleh itu, bagi yang sakit, makan ubat dan jaga kesihatan mental dan fizikal. Ubah gaya hidup dan gaya berfikir agar jasad dan fikiran diberikan haknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SAKSI ATAS DIRI SENDIRI

  Dalam bukunya, 59 Kaedah Al-Quran Untuk Jiwa dan Kehidupan, Dr. Umar Abdullah al-Muqbil (2012)  menghuraikan kaedah keempat.  Beliau meny...