Tuesday, May 7, 2013

Akhir PRU 13


Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) sudah selesai. Keputusannya, BN menang dan dapat memerintah semula.

SPR memaklumkan BN memperolehi 5.2 juta undi popular manakala lawannya PR mendapat 5.5 juta undi popular. PR mempunyai lebih penyokongnya di Malaysia dibandingkan dengan BN kali ini. Namun yang menjadi lumrah kuasa di Malaysia adalah berpaksi pada parti yang memenangi majoriti kerusi bagi membentuk kerajaan. 

BN dapat kuasai semula Kedah. Walau bagaimanapun 7 kerusi parlimen disauk oleh PR. Kebanyakan negeri yang dimenangi BN menang tipis tanpa majoriti 2/3. PR pula kekal menang di Kelantan,  Selangor dan Pulau Pinang.  Semuanya dapat majoriti 2/3.  PAS banyak tambah kerusi di Selangor.  Keputusan ini menunjukkan pengundi Melayu beralih ke PR. Pengundi Cina pula pdu menyokong DAP.

Kesimpulan yang dibuat oleh Datuk Najib semasa berucap sejurus BN menang bahawa berlaku Tsunami Cina dalam pilihanraya ini dilihat kurang tepat jika dianalisis keseluruhan keputusan PRU13.

Artikel oleh Shaharul Shafie yang dipeti dari MI saya anggap menarik dan sesuai untuk dibaca.




The Malaysian Insider

RENCANA

BN menang kurang bergaya ― Shaharul Shafie

MAY 06, 2013
6 MEI ― Pada jam 1 pagi tadi, kita boleh lihat rupa Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang kelihatan seakan sedih dan lesu apabila berjaya memperolehi majoriti mudah bagi membentuk kerajaan persekutuan. Di dalam fikirannya, penulis merasakan beliau mungkin sedih dengan kemenangan berkenaan yang nampak tidaklah memberangsangkan kerana ini adalah keputusan PRU terburuk BN atau Perikatan (sebelum 1969) yang pernah dicapai sejak negara merdeka. Hakikatnya, Najib mungkin juga sukar menerima kemenangan ala kadar itu berlaku kerana sudah banyak perkara yang dilakukan oleh jentera beliau demi “membeli” undi rakyat Malaysia. Jika diterjemahkan kepada jumlah nilai wang ringgit yang telah dibelanjakan sebelum dan semasa PRU13 maka jumlahnya pasti telah mencapai jutaan ringgit.

Dengan BN yang berbelanja dengan menyewa ruang iklan dalam laman-laman web termasuklah dalam laman web dilihat pro-Pakatan Rakyat (PR), kempen iklan dalam media massa serta menaikkan papan kenyataan besar-besaran di sepanjang jalan dan lebuhraya utama di negara ini, nampaknya “pelaburan” bernilai jutaan ringgit tersebut tidaklah memberikan hasil yang dijangkakan sama sekali. Malah, penyusutan jumlah kerusi Parlimen yang pernah dikuasai selepas PRU 2008 iaitu 140 kerusi ke 133 kerusi dan bagi DUN-DUN (kecuali Sarawak) pula menyaksikan penurunan banyak dari 307 kerusi ke 275 kerusi menampakkan pelaburan ini tidaklah sesuatu yang berbaloi.

Yang merugikan kerajaan BN pula ialah terus kehilangan dengan lebih teruk negeri-negeri maju iaitu Selangor dan Pulau Pinang yang mana rakyatnya memilih untuk memberi peluang sekali lagi kepada PR memberikan khidmatnya. Di Selangor, BN hilang 8 kerusi DUN yang dirampas sebanyak 7 kerusinya oleh PAS dan 1 oleh DAP manakala hilang 1 kerusi DUN di Pulau Pinang kepada DAP. Dalam lain perkataan, kerajaan PR berjaya membentuk kerajaan negeri yang mempunyai majoriti 2/3 di kedua-dua negeri itu. Meskipun begitu, BN berjaya menawan Kedah tetapi tanpa menguasai 2/3 majoriti. Malah, keadaan juga berakhir getir buat BN apabila Perak dan Terengganu menyaksikan perkongsian kerusi DUN nampak seimbang yang tiada satu parti pun berjaya menguasai 2/3 kerusi.

Najib sebagai Pengerusi BN terjejas

Kedudukan Najib sendiri amat kritikal kerana beliau kini dilabel sebagai Perdana Menteri yang memimpin jentera parti yang mencapai keputusan terburuk yang dicatatkan dan malah kehilangan penguasaan pada majoriti undi popular seluruh negara. SPR memaklumkan BN memperolehi 5.2 juta undi popular manakala lawannya PR mendapat 5.5 juta undi popular. PR mempunyai lebih penyokongnya di Malaysia dibandingkan dengan BN kali ini. Namun yang menjadi lumrah kuasa di Malaysia adalah berpaksi pada parti yang memenangi majoriti kerusi bagi membentuk kerajaan. Sememangnya tidak dapat dielakkan bahawa jumlah komposisi pengundi dalam sesebuah kerusi Parlimen tidak dapat dipertikaikan tetapi jelas nampak bahawa wujudnya keadaan tidak setara. Bayangkan di Selangor sahaja ,contohnya kerusi Parlimen Sabak Bernam yang dimenangi BN mempunyai pengundi seramai 37,390 orang tetapi diberikan sama tarafnya dengan kerusi Parlimen Selayang yang dimenangi PR yang mempunyai 3 kali lebih ramai pengundi iaitu 106,055 orang. Keadaan beginilah yang menjadi pertikaian tetapi apa boleh buat sudah semuanya ditentukan sedemikian rupa oleh pemerintah.

Menjadi persoalannya ialah adakah Umno yang kini menjadi tonggak kepada BN apabila menguasai 103 kerusi dari 133 akan terus memberi “walaq “kepada Najib untuk terus memimpin parti? Adakah Umno perlu melalui lagi saat getir berkemungkinan berlakunya perpecahan dan perebutan kuasa di dalam parti sekiranya Najib berundur memberi laluan kepada pertandingan? Namun begitu, adalah menjadi langkah bijak untuk Najib berundur diri dalam masa terdekat dan menyerahkan kepada parti untuk memilih kumpulan pemimpin yang baru bagi membawa Umno ke arah yang lebih popular. Lima tahun akan datang pasti berlalu begitu sahaja dan Umno tidak mempunyai masa yang lama untuk mengawal dan mendamaikan perpecahan di dalam parti sebelum menghadapi PRU ke-14.

Tsunami “Cina” hanyalah salah satu faktor dan tidak cerminkan segalanya

Walaupun begitu, tindakan menghuraikan keputusan PRU-13 sebagai “tsunami” pengundi Cina adalah tidak tepat sama sekali.Namun begitu, tidak dinafikan pengundi Cina memang sudah menolak komponen-komponen parti Cina dalam BN seperti MCA, Gerakan, SUPP (Sarawak) dan LDP (Sabah). Tetapi jangan lupa pengundi Melayu Bandar dan Sub Bandar juga menyokong PR. Contoh mudah ialah apabila PAS Selangor berjaya menambah 7 kerusi DUN menjadikannya memperolehi 15 DUN di Selangor. Kawasan-kawasan baru ini adalah bermajoriti pengundi Melayu di antara 52 peratus-65 peratus dari jumlah pengundi. Oleh itu, faktor tsunami politik “Cina” tidak boleh dipakai langsung di kawasan ini. Bukan itu sahaja,PAS Terengganu yang berjaya “hampir” membentuk kerajaan negeri juga pastinya memerlukan undi pengundi Melayu untuk mencapai kedudukan tersebut. PAS Terengganu kali ini memenangi 15 kerusi DUN Terengganu (termasuk 1 dimenangi calon PKR) manakala BN Terengganu pula mendapat 17 kerusi DUN. Ini membuktikan lagi bahawa tsunami Cina tidak relevan sama sekali kerana pengundi bukan Melayu di negeri Terengganu tidak sampai pun 5 peratus.

Kajian menyeluruh perlu dilakukan dan tidak sekadar menyalahkan pengundi Cina yang memberi kemenangan kepada PR. Selagi kerusi-kerusi Melayu masih lagi dimenangi Umno maka amat sukarlah PAS dan PKR untuk memperolehi majoriti di dalam PR. DAP tidak wajar disalahkan oleh penyokong PR Melayu kerana sebagai parti yang masih dilihat mewakili bangsa Cina dan India apabila menang 38 kerusi Parlimen, DAP hanya berjaya memperolehi 70 peratus kemenangan di 55 kerusi Parlimen yang ditandinginya. Malah, dua pemenang Parlimen untuk DAP juga adalah dua calon Islam yang masing-masing di kerusi Bukit Bendera di Pulau Pinang dan kerusi Raub di Pahang.

Umno tidak lagi mempunyai banyak masa untuk berehat walaupun menang tidak bergaya kali ini. Strategi-strateginya sebelum ini seperti membiarkan persepsi umum mengenai perkaitannya dengan pertubuhan ultra Melayu seperti Pertubuhan Pribumi Kebangsaan (Perkasa) dan membiarkan mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bercakap sesuka hatinya perlulah dikawal demi menarik kembali sokongan pengundi Cina dan muda di bandar. Di dalam usaha transformasi Najib sebelum ini, umum melihat BN hanya memperjuangkan atau membantu golongan luar bandar  dan gagal melihat kepada keperluan hidup pengundi di bandar terutamanya di bandar-bandar besar di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.  BN perlu sedar pengundi bandar tidak berkongsi sentimen perkauman yang cuba dimainkan oleh sesetengah pemimpin BN sendiri apabila berkempen. Bagi mereka, periuk nasi dan taraf kehidupan mereka memainkan peranan mereka untuk memilih parti yang disokong. Bukan itu sahaja, faktor media sosial dan sikap BN yang mengawal media massa sepenuhnya terus membuatkan para pengundi geram kerana kesal BN terus mendakwa Malaysia ini bebas dan demokrasi tetapi mempertahankan penggunaan media massa tempatan sebagai haknya sahaja.

Transformasi BN bukan sahaja untuk nasional tetapi juga dalaman parti

Bukan sahaja BN patut menumpukan pada transformasi nasional tetapi yang paling penting ialah BN perlu melakukan muhasabah atau dalam bahasa sosialnya ialah transformasi dalaman. Masa bakal berlalu dengan cepat sebelum PRU 14 dan BN perlu memulakan transformasi imej, doktrin, ketelusan pengurusan wang dan organisasi untuk mendapatkan sokongan semula. Jika PRU12 dan PRU13 terus menunjukkan penyusutan kerusi dan undi popular pada BN maka tidak mustahil untuk trend berkenaan berterusan di masa hadapan yang boleh menghumbankan mereka terus dari puncak kuasa. Oleh itu, BN kenalah anggap situasi sekarang hanya sebagai talian hayat atau satu lagi peluang (yang mungkin juga terakhir) untuk memerintah dan berubah sepenuhnya jika mahu terus relevan di masa hadapan.

Bagi PR, terimalah keputusan dalam PRU13 tidak kiralah apa dakwaan ke atas ketelusan SPR demi keharmonian negara. PR perlulah berfikiran positif kerana PR sememangnya masih menang tetapi belum cukup sahaja untuk berkuasa. Usahlah turun berdemonstrasi buat masa sekarang tetapi merancang semula pelan kempen mereka terutamanya di Sabah dan Sarawak. PR kena akur tanpa sokongan  kuat rakyat Sabah dan Sarawak, cita-cita ke Putrajaya tidak akan tercapai. Apa yang boleh diteruskan sekarang ialah memperbaiki permuafakatan sesama komponen PR dan berusaha agar menjadikan satu barisan parti dikenali sebagai Pakatan Rakyat didaftarkan secara rasmi menjelang PRU akan datang.

Hanya satu pesan saya kepada BN, berhentilah mendendami dan membuli PR sepertimana yang dilakukan sepanjang 5 tahun lalu kerana rakyat menilai setiap tindak-tanduk yang dilakukan oleh pemimpin BN sebagai bermotif politik. BN dan PR perlulah bertoleransi di antara satu-sama lain serta bersepakat sekali-sekala di dalam perkara-perkara yang menjamin kepentingan masa hadapan negara kita. Sekiranya Najib sedar akan keperluan untuk penyatuan nasional, usahlah syarat-syarat untuk ke arah itu merupakan syarat-syarat diletakkan oleh BN sahaja tetapi mengambil kira kepentingan rakyat dan memerlukan buah fikiran parti lawan. Dalam berbuat apa-apa untuk negara, BN kena sedar sekali lagi bahawa partinya tidak lagi memiliki majoriti undi popular dan ini bukan saya yang cakap tetapi SPR sendiri sudah maklumkan pada umum. BN hanya beruntung kerana menang paling banyak kerusi di Dewan Rakyat sahaja.

* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

No comments:

Post a Comment

NAMA-NAMA AL-QURAN

Dalam bahagian awal Tafsir al-Munir, Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili menerangkan sejumlah nama Al-Quran.  Antara lain ;  al-Qur'an, al-Kit...