Selasa, 20 Oktober 2015

Tautan Kasih Kerinchi 2

Sungai Penuh, Kerinchi: 10 Oktober 2014

Danau Kerinchi ketika tak jerebu (Sumber Google image)
Hari kedua dimualakan dengan melawat beberapa tempat menarik di Kerinchi.  Semuanya bermula selepas sarapan di hotel.  Destinasi pertama kami dibawa bersiar-siar ke Danau Kerinchi.  Perjalanan dari hotel mengambil masa beberapa minit.  Namun disebabkan keadaan jalan yang kecil dan rosak menuntut kesabaran.  Danau Kerinchi dengan keluasan hampir 17 km, jika tidak ada ganggunan kabut asap memiliki panorama yang cantik.


Subhanallah, cantiknya pemandangan danau (Sumber Google image)

Danau Kerinci merupakan sebuah danau yang terletak di Provinsi JambiIndonesia. Tepatnya di Kabupaten Kerinci. Danau ini memiliki luas wilayah 5000 meter persegi dengan memiliki ketinggian 783 meter di atas permukaan laut.  Danau yang terletak di kaki Gunung Rayo ini merupakan Danau terbesar yang ada di Kabupaten Kerinci, Luasnya adalah 4.200 hektare. Danau ini terletak sekitar 16 kilometer di Selatan Kota Sungai PenuhDanau ini berada di dua wilayah Kecamatan iaitu Kecamatan Keliling Danau dan Kecamatan Danau Kerinci. Danau Kerinci merupakan danau vulkanik yang memiliki kedalaman 110 meter. Danau Kerinci mempunyai pengaruh yang besar dalam memenuhi kemudahan air di daerah sekitar kerinci baik untuk pertanian maupun kemudahan air minum masyarakat.
(Sumber:  Wikipedia)
Pemandangan jerebu latar belakang danau.  

Tanda dah samapai sini.  Elok teratur susunannya

Dalam perjalalan ke Danau Kerinchi, sempat juga menikmati kawasan sawah padi yang menarik.  Walaupun berkabu, namun sempat juga bergambar.  Petani di sini masih lagi guna kaedah tradisi.  Semai benih padi dan apabila besar di tanam secara manual.  Begitu dengan cara menyabit padi yang sudah masak.  Mereka guna sabit.  

Pemandangan sawah padi sedang masak.  Kg Tangkoh Simat dah pupus semua ni

Petani sedang tuai padi.  Cantik menguning
Tempat menarik kedua yang ditunjukkan kepada kami ialah kolam air panas di Semurup, Sungai Penuh.  Apabila sampai kami dapati kawasan berpagar dengan kolam air panas yang berasap.  Ini menunjukkan suhu air yang sangat panas.  Dikatakan ada kejadian pengunjung yang Ada beberapa peniaga yang menjual telor ayam yang boleh direndam ke dalam air panas itu.  Dikatakan telor tersebut akan masak disebabkan panasnya.  Tempat ini kelihatan kirang menarik kepada pelancong dari Malaysia.  Hal ini disebabkan pusat sebegini lebih menarik dan bersih.

Pintu masuk Kolam air panas, Semurup

Menurut masyarakat setempat sumber Air Panas Semurup sering dijadikan tempat orang bunuh diri. Sudah banyak orang yang mengakhiri hidupnya di sumber air panas tersebut. Setiap orang yang bunuh diri yang tinggal hanya cebisan kain. Masyarakat setempat mengatakan bahawa jika pergi ke sumber Air Panas Semurup jangan ada niat sedikit pun untuk bunuh diri. Hal ini disebabkan sumber air panas tersebut seperti memanggil-manggil jiwa yang berniat akan bunuh diri. Menurut masyarakat setempat sumber Air Panas Semurup ini sudah ada sejak ribuan tahun yang lalu. 
Masyarakat setempat pun mengatakan bahawa sumber Air Panas Semurup sempat dimanfaatkan oleh tentara Belanda untuk tempat pemandian. Beberapa kamar mandi di tempat ini pun merupakan bekas peninggalan Belanda, dan hanya atap bangunan saja yang diubah. (Ubahsuai Sumber:  Wikipedia)



Kolam air panas berasap
Majlis makan tengahari dan suai kenal.  Dr Hj Yusuf, cucu Hj Kari sedang berfikir kandungan ucapannya


Setelah meninjau kolam air panas, kami terus ke rumah saudara mara di Kg Sg Penuh. Ini adalah tujuan utama kami ke sini.  Kami disambut dengan meriah dan jamuan tengah hari kelihatan telah tersedia.  Sebelum makan tengahari, sesi perkenalan dilakukan oleh tuan rumah dan di balas oleh Dr Yusuf.  Juadah makan tengahari termasuk gulai pucuk labu dah terhidang.  Maka ucapan tak boleh panjang lebar. Sodap nampak lauk pauk yang dihidang.  Lama dah tak rasa gulai pucuk labu.   Pucuk labu di sini saiz kecil.  Tak macam di tempat kita.  Gomok. Disebabkan lapar, kebanyakan piring gulai mudah untuk dibersihkan..

Bersama Buya Hj Jamil.  Masih ceria dan suara pun masih terang
Selepas makan tengahari, perbincangan tentang keluarga diteruskan.  Maklumat yang diberikan oleh Buya Sheikh Jamil mencerahkan beberapa kemusykilan.  Beliau berumur 87 tahun tapi masih dapat mengingati salasilah keluarga.  Beliau menyatakan  salasilah keluarga yang termampu olehnya. Walaupun ada beberapa maklumat yang tidak jelas namun kami akan dapatkan pada pertemuan berikutnya.  Maklumat tentang Hj Kari masih kabur.  Kami harap dalam pertemuan seterusnya akan ada pencerahan

Pejabat ketua kampung


Hjh Noriah temu bual saudara maranya.  Ini rupo macam Wan Che Yah Simpang ni..
Musim menjemur.  Padi dijemur tepi jalan.  Walaupun menghalang laluan kenderaan , fenomena ini ada di mana-mana di sini.  
Rumah kedua kami dijamu dengan nasi padang.  Rumah ini telah dibina sejak tahun 50-an lagi.  Diperbuat dari kayu dan masih kukuh. Ramai saudara mara yang sedia menunggu.  Juadah yang pelbagai dan enak.  Disebabkan tak kenal daum ulam, ada saudara kita yang makan daun yang disangka ulam.    Tak salah, jadi daun herba..Buya Hj Ismail yang baca doa selamat.  Dia tak serta makan sebab puasa. Hebat buya ni..

Selesai makan, tak lupa nak bergambar.  Konyang makan dan bergambar
Selepas makan, kami solat zuhur di masjid di belakang kawasan rumah ini.  Masjid Taqwa namanya.  Tak ramai jemaah di sini.  Hal ini mungkin disebabkan ada sebuah lagi masjid. Letaknya  tidak jauh dari masjid ini.  Masjid yang lagi satu ini lebih besar pula.  Mereka bina sendiri masjid. Jadi saya beranggapan penduduk kampung di sini sangat pentingkan membina masjid. Kebanyakan penduduk mereka akan ke masjid pada waktu azan dilaungkan.  Anak muda tak banyak kelihatan.  Agaknya sibuk dengan pekerjaan. fenomena ini ada di mana-mana. Masjid untuk orang tua.

Kami juga sempat menelusuri kawasan sekitar tebing sungai di sebelah belakang kampung ini.  Dikatakan sungai yang ada semakin kecil dan air semakin cetek akibat perubahan cuaca dan pembangunan.  Masih ada sebuah jambatan gantung yang menghubungkan kampung sebelah sini dengan kawasan sawah padi.  Di sinilah suku sakat keluarga kami menjalani kehidupan sejak dulu lagi.

Masjid Taqwa.  Selepas zohor, ada kelas mengaji untuk kanak-kanak

Latar belakang Sungai Semurup

Hati-hati.  Jambatan tu dibina tahun 50an dulu.  Elok-elok jalan tu.  Kok kono duduk terus kat sini

Sungai sebagai sumber air untuk pertanian dan kegunaan awam

Rumah ketiga dalam sesi kunjungan kami masih lagi merupakan sanak saudara rapat dengan Nornas. Kami masih mendengar jurai salasilah yang dibincangkan sejak mula tadi.  Kami masih merasai wujudnya hubungan keluarga melalui maklumat yang diberikan.  
Kunjungan rumah ketiga 
Rumah kelima dalam kunjungan kami asalnya tidaklah dirancang sangat.  Tapi disebabkan ada surat yang dibawa oleh Hjh Noriah, maka kunjungan diteruskan. Kami diberitahu ada saudara sebelah Hjh Noriah di sini.  Setelah dibacakan surat yang dia bawa dan dibacakan kepada Hj Jamil semasa di rumah pertama, dia kata orang yang dicari itu ada dihujung kampung.  Maka setelah sampai ke rumah keempat kami sempat merakamkan peristiwa yang sangat sukar nak dipupakan.  Watak-watak yang ada di dalam surat yang Hjh Noriah (Acik Anit) muncul.  Maksudnya rumah yang kami tuju adalah tepat.  

Rumah Cikgu Amir zam  

Cik Anit sedang menceritakan kandungan surat yang ditulis oleh Hj Mutalib yang dihantar kepada emak ayah Acik di Bukit Rokan.  Salah seorang watak yang disebut dalam surat ini ialah Cikgu Amir sebagai anak kepada Hj Mutalib.

"Ruponyo kita sedaro. Surat bukti ni ditulis tahun 1978.  Autentik surat ni.  Mulo-mulo tadi saya susah jugo nak percayo.  Tapi bilo dah baco surat ni barulah tau hal sobonanyo"  kata cikgu Amir.

 Rumah kelima dalam misi hari ini kami disambut mesra oleh Hj Jarulis.  Beliau sambut kami dengan gembira.  dia sudah sedia menerima kunjugan kami.  Orangnya peramah dan dalam sesi penerangan salasilah keluarga, dia begitu mahir dan ingat nama-nama saudara mara sebelah ayahya yang pernah ke Malaysia.  Menurut ceritanya, dia adalah dari sebelah keluarga Hj Kari.  Dr Yusuf ketika mendengar penerangan Hj Janulis mula tersenyum.  Ini disebabkan maklumat berkaitan Hj Kari tidak diperoleh dengan sempurna di rumah yang kami singgah sebelum ini.  Saya pun tumpang senyum juga walaupun status saya hanya cicit Hj Kari.  Dapat dirasakan begitu kecil dunia.   Sanak saudara yang jauh dan tak pernah ditemui sebelum ini dapat dilihat di depan mata.

Sesi bicara keluarga dengan Hj Jarulis
Hj Jarulis sedang bercerita

Saudara kepada Hj Jarulis.  Mantan Insenior Pertamina yang kini
tokoh politik dan masyarakat di sini


Hj Jarulis memiliki suara yang jelas. Gaya bahasa dan lenggok cakapnya sangat teratur. Layak jika dikatakan dia adalah mantan wakil Bupati di sini.  Dilihat dari gambar potret yang tergantung di dinding rumahnya, memang dia orang dihormati di sini.  Kami juga diberitahu bahawa dia juga telah ditabalkan sebagai Sultan (Sutan) di sini.  Katanya untuk majlis pelantikan itu, tiga ekor kerbau ditumbangkan.  Ruponyo sedaro rajo Kerinchi kito ni.

Sesama di rumah Hj Jarulis, dia turut menjempiut beberapa saudara dekatnya sekali untuk bertemu rombongan kami.  Antaranya seorang calon Bupati Kerinchi dan dia pernah menjawat jawatan ahli DPR (Parlimen) Indonesia.  Saya tak ingat namanya.  Namun dari tutur katanya,  saya lihat dia seorang tokoh pemimpin di sini.  Dia ingin agar tali persaudaraan yang dijalin dapat diperkukuhkan.  Hj Jarulis agak terkilan kerana masa yang diambil untuk kenal dengan saudara mara di sini agak terhad.  

Setelah bergambar kenangan dengan kerabat di sini, kami pulang ke hotel dengan penuh kepuasan.  Puas kerana hajat untuk bertemu saudara sebelah sini dapat ditunaikan.  Di samping itu, usaha untuk mengenali saudara mara telah berlangsung dengan baik dan harmoni.  

Ini sanak saudara Cikgu Amir yang mengunjungi kami di hotel .
Begitu teruja mereka nak bertemu kami
Sebelah malamnya, kami dikejutkan dengan kedatangan keluarga Cikgu Amir bersama kaum keluarganya.  Dia rasa tidak sedap hati sebab adik beradk dan saudara maranya seperti yang tertulis di dalam surat yang dibawa oleh Cik Anit tidak dapat bertemu dengan rombongan kami.  Mereka datang ke hotel dan berkongsi cerita tentang salasilah keluarga.  Sampai kekemuncaknya,  mereka menalipon adik kepada Cikgu Amir yang sedang tunai haji di Mekah.  Sempat Cik Anit berbual dengan beliau.  

Bersama keluarga Cikgu Amirzam di lobby hotel
Begitulah nukilan dan ceritera persaudaraan yang tertaut di Kerinchi yang hanya sempat dilakukan dalam masa setengah hari saja. Walaupun singkat masanya, namun saya beranggapan sangat berjaya.    Kami tidak menyangka ini kesudahan cerita program kami di Kerinchi. Mungkin selepas ini sanak saudara yang lain boleh merancang program tautan kasih Kerinchi dengan lebih baik lagi.  Hal ini disebabkan kita telah memiliki maklumat keluarga yang lebih jelas dan tahu di mana hendak dituju. Plot dan watak bagi cerita tautan kasih seterusnya tentu lebih menarik, insyaallah.












1 ulasan:

  1. Sebuah hasil penulisan yang sangat baik untuk tatapan semua saudara mara dan juga anak cucu agar hubungan yang telah terjalin akan berterusan...InsyaAllah.

    BalasPadam

SAKSI ATAS DIRI SENDIRI

  Dalam bukunya, 59 Kaedah Al-Quran Untuk Jiwa dan Kehidupan, Dr. Umar Abdullah al-Muqbil (2012)  menghuraikan kaedah keempat.  Beliau meny...