Khamis, 18 Julai 2019

TAUBAT YANG DITERIMA ALLAH

Perintah Allah SWT kepada kita supaya bertaubat:
وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnyadan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
Surah al-Nur (31)
Ibn Kathir berkata: Lakukanlah apa yang aku perintahkan kamu dengannya, dan semua sifat-sifat yang mulia dan akhlak yang terpuji. Pada saat yang sama, tinggalkanlah perangai ahli jahiliyyah dan sifat buruk mereka. Ini kerana kejayaan dan kemenangan yang sebenar dengan melaksanakan perintah Allah dan Rasul serta meninggalkan larangan-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-'Azim, 6/50)
 Abu al-Laith al-Samarqandi dalam kitabnya Tanbih al-Ghafilin menyatakan bahawa sebahagian hukama’ menyebut: Taubat seseorang dapat diketahui pada empat perkara:
  • Jika dia sudah dapat mengawal lidahnya daripada berkata dusta, ghibah dan kata-kata yang tidak penting baginya.
  • Jika sudah tidak ada rasa hasad, dengki, iri hati terhadap semua manusia.
  • Jika telah menjauhi rakan taulan yang jahat.
  • Sentiasa bersiap sedia menghadapi mati dan selalu beristighfar menyesali dosa-dosanya yang lalu serta bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah kepada Tuhannya. (Lihat Tanbih al-Ghafilin bi Ahadith Sayyid al-Anbiya' wa al-Mursalin, hlm. 109)
Sebahagian ahli hikmah telah ditanya: “Adakah ada tanda bahawa taubat seseorang itu telah diterima?” Mereka menjawab: “Ya, empat tanda taubatnya diterima, iaitu:
  • Memutuskan hubungan dengan kawan-kawannya yang tidak baik dan bergaul dengan orang-orang yang soleh.
  • Menghentikan semua jenis maksiat dan rajin melakukan ibadat.
  • Hilang rasa bersenang-senangan dengan dunia daripada hatinya, dan selalu mengingati kesusahan hari akhirat.
  • Percaya dan yakin dengan jaminan Allah SWT dalam soal rezeki, lalu dia menyibukkan dirinya dengan melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT. (Lihat Tanbih al-Ghafilin110)
Justeru, mereka menyebut apabila terdapat semua sifat tersebut, maka termasuklah dia dari kalangan mereka yang disebut oleh Allah SWT:
إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya“SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”
Surah al-Baqarah (222)
Atha', Muqatil bin Sulaiman dan al-Kalbi mentafsirkan ayat ini bahawa Allah suka kepada mereka yang sentiasa bertaubat dari dosa dan suka mensucikan diri dengan air daripada sebarang hadas dan najis. (Lihat Ma'alim al-Tanzil, 1/259)
Sebagai kesimpulan, bukanlah bermakna seseorang yang telah mempunyai tanda-tanda taubatnya diterima Allah itu supaya berhenti memohon taubat. Malah sejelas-jelas tanda seseorang itu insaf akan dirinya adalah dia sentiasa istiqamah dan berterusan dalam memohon taubat kepada Allah SWT sepanjang hayatnya sebagaimana yang digambarkan oleh Nabi SAW sendiri yang diriwayatkan beristighfar dalam sehari sebanyak 100 kali.
Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Baginda SAW dalam hadith yang diriwayatkan daripada al-Aghar al-Muzani:
إِنَّهُ لَيُغَانُ عَلَى قَلْبِى وَإِنِّى لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ فِى الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ
MaksudnyaSesungguhnya dilitupi pada hatiku (dengan kelalaian daripada berzikir) dan aku memohon ampun kepada Allah SWT, sehari seratus kali.
Riwayat Muslim (7033) dan Abu Daud (1517)
Sumber: 

TANDA ALLAH SWT MENERIMA TAUBAT SESEORANG, http://www.muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-afkar/3269-al-afkar-52-tanda-allah-swt-menerima-taubat-seseorang


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAKDIR, TANDA TERIMA KASIH, GANJARAN, ALAM BAQA

Allah berfirman dalam surah Ali-Imran - 3:145 وَمَا كَانَ لِنَفۡسٍ أَن تَمُوتَ إِلَّا بِإِذۡنِ ٱللَّهِ كِتَٰبًا مُّؤَجَّلًاۗ وَمَ...