Sabtu, 15 Oktober 2011

Jangan berlengah lagi


Oleh Hasrulraizan dan Salawati Haji Yahya
(mediapermata online, 13 Okt 2011)

Baginda Sultan semasa berkenan mengurniakan titah perasmian Seminar Antarabangsa Perundangan Islam di Dewan Persidangan Pusat Pameran Pertahanan Antarabangsa (BRIDEX), Jerudong, kelmarin. - Gambar oleh Yuddin HB

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt - Melaksanakan Undang-Undang Syar'iah merupakan salah satu cita-cita utama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

"Jangan kata TIDAK atau TUNGGU DULU lagi sebab kita sudah pun cukup segala-galanya, ada kemampuan dan ada kuasa untuk melaksanakannya," tegas Baginda Sultan dalam titah perasmian Baginda di Seminar Antarabangsa Perundangan Islam dengan tema "Ke Arah Pelaksanaan Undang-Undang Syar'iah" pagi ini.

"Siapakah kita di hadapan Allah untuk berkata TIDAK atau TUNGGU DULU sedang undang-undang itu bukanlah baru digubal tetapi telah termaktub dalam Al-Quran dan Al-Hadis semenjak dari 1400 tahun lebih lagi," tambah Baginda Sultan ketika menyentuh semula mengenai cita-cita utama Baginda itu

Apabila Undang-Undang Syar'iah terlaksana maka barulah bumi yang permai ini dapat diungkap sebagai "Baldatun Thayyibatun wa Rabbun Ghafur" iaitu Negeri Yang Baik dan Tuhan Maha Pengasih, titah Baginda Sultan.

"Negara Brunei Darussalam walaupun kecil tetapi ini tidaklah menghalang kita untuk mengambil langkah-langkah melaksanakan Undang-Undang Syar'iah kerana selaku orang Islam kita wajib melaksanakannya sebagai memenuhi tuntutan Allah Ta'ala."

Baginda Sultan seterusnya bertitah, "Kita tidak ada pilihan lain selain daripada mematuhi semua perintah Allah. Inilah kewajipan utama kita. Salah satu daripada perintah itu ialah melaksanakan undang-undang-Nya. Itu adalah Undang-Undang Syar'iah."

Menyentuh mengenai titah Baginda sendiri pada 15 Julai 1996 dan dalam Persidangan Majlis Ugama Islam pada 13 Mac 2011 yang ada menyebut secara khusus mengenai Undang-Undang Jenayah Syara', Baginda Sultan bertitah menekankan itu juga sepatutnya mendapat perhatian yang serius dan segera.

"Kalau kita masih juga berkata TIDAK atau TUNGGU DULU, ini adalah tidak kena," tegas Baginda Sultan pada majlis perasmian di Dewan Persidangan, Pusat Pameran Pertahanan Antarabangsa (BRIDEX), Jerudong itu.

"Di manakah kita dengan Al-Quran dan Al-Hadis itu? Kerana itu Beta amatlah terpanggil tanpa sebarang keraguan untuk melihat satu Akta Undang-Undang Jenayah Syara' wujud dan dilaksanakan di samping tidak pula menolak undang-undang biasa juga akan masih diguna pakai.

"Dalam makna Akta Jenayah Syara' adalah diperlukan sementara Akta Sivil biasa masih saja tidak diketepikan," titah Baginda Sultan menjelaskan.

"Dalam Persidangan Majlis Ugama Islam pada dua hari yang lepas Beta ada menyebut tentang kerjasama di antara pihak Perundangan Islam dan Perundangan Sivil. Kedua-dua pihak ini telah pun menjalani kerjasama yang baik dan kerjasama itu perlu diteruskan.

"Kita di negara ini telah melakukan sesuatu yang sangat indah lagi unik dalam perkara perundangan. Kita telah dan sedang berusaha mengIslamkan semua undang-undang kita.

"Kita telah dan sedang menyesuaikan semua undang-undang sivil yang ada dengan kehendak Islam dalam makna Sivil itu dikekalkan tetapi dalam bentuk dan rupanya yang lebih sempurna berteraskan Islam."

Menurut Baginda Sultan dalam titahnya itu apabila Undang-Undang Jenayah Syara' dilaksanakan di negara ini secara amali namun pada masa yang sama masih mengekalkan Undang-Undang Sivil, maka akan lebih ketara lagi kepentingannya.

Baginda bertitah memberikan contoh, misalnya apabila sesuatu kes jenayah itu tidak dapat ditangani dengan Akta Syara' disebabkan oleh faktor tertentu maka ia akan kita tangani secara sivil yang juga telah diselaraskan dengan kehendak Syara'.

"Apakah tidak cantik ini? Pada hemat Beta ia adalah sangat cantik dan malah unik. Beta berharap Seminar ini akan dapat mencetuskan idea-idea baru yang kukuh untuk mempercepatkan wujudnya Akta Jenayah Syara' yang sedang kita tuju."

"Beta percaya Allah Ta'ala sedang menyuluh kita dengan rahmatNya kerana cita-cita ini dan malah sedang membekalkan kepada kita kekuatan untuk itu."

"Beta dengan ikhlas dan kerana Allah jua tidak lupa mengucapkan syabas dan tahniah kepada Mahkamah-Mahkamah Syar'iah yang berjaya mengadakan Seminar yang bersejarah ini."

Baginda Sultan bertitah menyatakan bahawa Seminar itu adalah satu usaha yang sangat baik ke arah menyahut cita-cita Baginda untuk melaksanakan Undang-Undang Syar'iah, sebagaimana yang pernah Baginda titahkan berulang kali, lebih-lebih lagi ia merupakan salah satu cita-cita utama Baginda yang telah sekian lama disuarakan tetapi sehingga kini masih lagi ditangani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SAKSI ATAS DIRI SENDIRI

  Dalam bukunya, 59 Kaedah Al-Quran Untuk Jiwa dan Kehidupan, Dr. Umar Abdullah al-Muqbil (2012)  menghuraikan kaedah keempat.  Beliau meny...