Jumaat, 24 Disember 2021

CATATAN PENGALAMAN DI LPF 1

Saya pernah berkhidmat sebagai Ahli Lembaga Penapis Filem (ALPF), Kementerian Dalam Negeri selama lima tahun. Kontrak saya tamat pada 31 Jun 2021.  Pelbagai pengalaman yang saya peroleh semasa bertugas di sini.  Jika sebelum ini saya adalah ahli akademik di universiti, namun sebagai ALPF, bidang tugasnya berbeza.  Masyarakat luar pula sering menganggap  tugas ALPF mudah dan seronok.   kata mereka dapat tonton filem yang belum ditapis dan pelbagai andaian lagi.  

Menonton filem bukanlah kegemaran saya.  Tonton TV pun sangat jarang. Jadi tugas di LPF pada mulanya agak asing sifatnya pada saya.  Sebagai ahli akademik bidang bahasa, LPF  mengharapkan saya sebagai pakar bahasa yang boleh membantu dalam permasalahan penggunaan bahasa. Saya dapati tugas ALPF sangat mencabar.  Bukan hanya tonton tapis filem untuk tayangan di pawagam tetapi meliputi drama TV, iklan TV dan pawagam serta bahan pulisiti berkaitan filem.  Pelbagai genre filem yang ditapis.  Genre drama, keluarga, jenayah, misteri, animasi, dokumentari, muzikal dan pelbagai subgenre.  

Apa yang mencabar kerja menapis filem di LPF? Sebelum proses penapisan dilakukan, penyelaras unit filem  panggung akan  melantik tiga ALPF sebagai panel.  Seorang ketua panel dan dua lagi sebagai ahli.  Makluman lantikan disertakan dengan tajuk filem yang akan ditapis.  Setiap ahli perlu mencari maklumat berkaitan filem yang akan ditapis.  Selalunya jika filem luar negara, rujukan utama di portal iMDb.  Di sini ada maklumat asas tentang filem yang akan ditapis. Maklumat ketua panel berperanan utama dalam persedian sebelum sesi tonton tapis. 

Proses tonton tapis filem dilakukan di panggung di LPF.  Ada dua panggung saiz besar dan dua panggung saiz kecil. Semasa sesi tonton tapis ahli panel perlu berikan tumpuan dengan membuat catatan berdasarkan Garis Panduan Penapisan Filem (GPPF 2010) .  Semua  isu dalam filem yang ditapis perlu direkodkan kod masa kejadian.  Antara isu yang perlu diberikan perhatian utama ialah adegan dan  bahasa.  Bagi filem luar negara, isu yang sering dikesan ialah adegan seksual yang keterlaluan, jenayah, dadah, aspek agama serta bahasa terlarang. 

Selepas selesai proses tonton tapis, ahli panel akan berbincang dalam menentukan tindakan atau keputusan  berdasarkan isu yang dicatat semasa menonton.  Antara ketetapan yang perlu dibuat ialah sama ada sesuatu adegan atau bahasa yang dianggap tidak sesuai dengan garis panduan perlu dipotong, dikaburkan, disenyap dan sebagainya.  Dalam hal ini, pertimbangan yang dibuat perlu teliti agar keputusan yang diambil selari dengan kandungan Garis Panduan Penapisan Filem KDN 2010 diikuti. Maka keputusan yang diabil oleh ahli panel sangat mencabar sebab laporan tersebut akan diteliti oleh Pengerusi LPF dari segi ketepatan dan kesesuaiannya.  Keputusan ini juga sering menjadi isu apabila keputusan dari segi klasifikasi  filem. Lebih mencabar lagi jika ada adegan atau dialog yang dipotong selaras dengan GPPF KDN 2010.

Bersambung dalam siri 2..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PILIHANRAYA DAN KEBEBASAN BERSUARA

Tidak dapat dielakkan. Bila wakil rakyat meninggal dunia, kerusinya perlu diganti. Wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen (AP)atau Ahli Dewan U...