Selasa, 5 November 2019

BEBAN TUGAS GURU

Adakah tugas guru merupakan satu beban?  Menurut Kamus Dewan, antara maksud beban ialah  tanggungjawab berat. Adakah tugas guru berat?  Jika berat seberat mana tugas tersebut  terpaksa dipikul?  Persoalan dan isu beban tugas guru sudah sekian lama diperbincangkan sama ada dalam kelompok pendidik mahupun mereka yang berada di luar profesion tersebut.

Sebagai bekas guru sekolah yang telah bertugas sejak 1979 hingga 1998, saya dapati terdapat perbezaan dari segi tugas guru di dalam dan di luar bilik darjah.  Hal ini dapat dilihat dari aspek dasar Kementerian Pendidikan yang bergerak selari dengan keperluan semasa.  Dasar-dasar yang sentiasa berubah sama ada berkait dengan perubahan kurikulum atau pelaksanaan kurikulumitu sendiri memerlukan komitmen guru sebagai pelaksana dasar.  Kurikulum bersifat dinamik serta seringkala bersifat proaktif.  Berubahnya sesuatu dasar sering melibatkan bertambahnya beban tugas guru.

Keperluan murid tahun 70-an tidak sama dengan murid sekarang.  Dulu mereka datang sekolah dan belajar dalam lingkungan kurang tekanan.  Kini murid datang ke sekolah dengan membawa pelbagai pengaruh persekitaran.  Mereka masuk ke dalam kelas dengan harapan ibu bapa yang pelbagai .  Di samping itu pentadbir pula akan menggunakan khidmat guru sama ada yang berkaitan tugas utama guru mengajar di dalam bilik darjah. Walau bagaimanapun guru juga berhadapan dengan pelaksanaan pendidikan luar bilik darjah. Tugas sampingan yang agak berat  semasa Dr Wan Zahid Nordin sebagai Ketua Pengarah Pendidikan.  Dengan gagasan 'blue print' dan bilik gerakan di sekolah menjadikan guru-guru mulai terbeban dengan tugas luar bilik darjah.

Selepas bertugas sebagai guru sekolah saya berpeluang berkhidmat sebagai pensyarah di maktab perguruan selama hampir 9 tahun. Tugas utamanya ialah menyediakan guru untuk mengajar di sekolah rendah.   Beban tugas yang agak berat ketika gagasan sekolah bestari atau 'smart school'.  Disebabkan dasar yang tidak mantap dan sukar untuk diterjemahkan dalam bilik darjah maka beban yang agak berat digalas oleh guru.  Hal ini ditambah dengan kekurangan sumber dan eknologi yang sentiasa  berubah.  Kekangan kewangan juga membantutkan usaha tersebut.

Dasar pendidikan terus berubah.  Perubahan sesuatu dasar sering berubah apabila berlaku perubahan dalam kepimpinan Kementerian Pendidikan.  Masing-masing pemimpin terutama menteri yang bertugas akan membawa idea yang baru.  Di samping itu, penerusan dasar dan penambahbaikan juga berlaku.  Hal ini ditambah dengan desakan awam dengan tuntutan yang pelbagai.  Perubahan dilakukan sering melibatkan tambahan beban tugas guru.  Kebanyakan rungutan kalangan guru ialah bertambahnya tugas perkeranian yang tidak sepatutnya diagihkan kepada mereka.  Beban ini mempengaruhi kualiti dan  tumpuan guru dalam pengajaran  dalam bilik darjah.  Guru dibebankan dengan tugas tambahan sama ada yang melibatkan aktiviti kurikulum dan kokurikulum.

Walaupun idea pembaharuan yang diperkenalkan untuk tambah baik pengurusan dan pengajaran  bilik darjah, namun disebabkan kurangnya kajian pelaksanaan menjadikan sistem yang dibangunkan membebankan guru.  Ada kalanya guru terpaksa menguuskan bebanan luar bilik darjah ini di rumah dan mengganggu rutin hidup seharian mereka.  Wujud juga bebanan guru bertambah apabila pentadbir sekolah meenggunakan guru sekolah untuk menyediakan aktiviti bagi tujuan kenaikan pangkat. 

Oleh itu beban tugas guru kini dirasakan menyulitkan guru dalam menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran.  Mereka terpaksa mengorbankan masa berkualiti dengan keluarga dan kesulirtan yang dialami boleh mempengaruhi kualiti pengajaran guru sebagai tugas utamanya sebagai guru.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TAKDIR, TANDA TERIMA KASIH, GANJARAN, ALAM BAQA

Allah berfirman dalam surah Ali-Imran - 3:145 وَمَا كَانَ لِنَفۡسٍ أَن تَمُوتَ إِلَّا بِإِذۡنِ ٱللَّهِ كِتَٰبًا مُّؤَجَّلًاۗ وَمَ...