Ahad, 16 April 2023

LAILATUL QADAR

Tafsir Surah Al-Qadr

Firman Allah SWT:

(۲)إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿۱﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ 

 لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ

 

Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.”

(Surah al-Qadr: 1-3)

Perkataan Lailatulqadar adalah daripada dua kalimah:

Lailah yang memberi maksud apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar atau berlawanan dengan siang hari.

Sedangkan al-Qadar pula memberi maksud kemuliaan atau hukum dan ketetapan.

Para ulama berbeza pendapat apabila Qadar disandarkan kepada malam. Ada ulama berpendapat ianya kerana kemuliaan dan terdapat juga pendapat-pendapat lain.

Ibn Qudamah berpendapat malam qadar ialah malam yang mulia, diberkati, diagungkan dan mempunyai banyak kelebihan. Lihat al-Mughni 3/178.

Ibn al-Jauzi mengemukakan 5 pendapat berkenaan dengan nama malam qadar itu:

  • Dengan maksud agung. Inilah pendapat al-Zuhri
  • Dengan makna sempit kerana dunia pada malam tersebut menjadi sempit dengan ramainya malaikat yang turun. Inilah pendapat al-Khalil bin Ahmad.
  • Dengan makna hukum atau keputusan kerana pada malam tersebut semua urusan ditentukan oleh Allah SWT. Inilah pendapat Ibn Qutaibah.
  • Kerana siapa yang tidak mempunyai kemuliaan akan mendapat kemuliaan dengan melakukan ibadat pada malam tersebut. Inilah pendapat Abu Bakar al-Warraq.
  • Kerana diturunkan pada malam tersebut kitab yang mempunyai kemuliaan di samping rahmat dan malaikat juga turun pada malam tersebut. Inilah pendapat guru kami Ali bin Ubaidillah.

Sayid Qutub berkata: Terdapat ayat-ayat al-Quran yang menyebut peristiwa malam ini berkilauan memancarkan cahaya, ia melimpahkan cahaya yang tenang, indah dan mesra iaitu cahaya Allah yang gemilang di dalam al-Quran-Nya.

Syeikh al-Maraghi berkata: Malam itu ialah saat kemunculan sinar petunjuk dan hari permulaan bagi agama baru yang diturunkan kepada seseorang yang terbaik dalam kalangan seluruh manusia.

Malam ini dikira sebagai batu asas agama Islam yang menjadi penutup kepada seluruh agama para Nabi. Penurunannya adalah sesuai dengan tuntutan zaman dan tempat. Malam ini lebih baik daripada seribu bulan. Selama ini, mereka hidup dalam kegelapan syirik dan menyembah berhala. Mereka meraba-raba tanpa petunjuk dan tidak mengikut jalan kehidupan dan acuan yang sebenar.

Angka seribu mengikut kebiasaan bangsa Arab dikira sebagai suatu jumlah yang besar. Oleh itu, sebutan seribu di sini bukanlah seribu yang sebenarnya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Tiap-tiap seorang daripada mereka suka kiranya dia boleh hidup seribu tahun.”Kelebihan Malam Qadar

Para ulama berpendapat, sebaik-baik amalan soleh adalah pada malam Qadar yang mana ianya lebih baik daripada seribu bulan. Hal ini, berdasarkan nas yang terdahulu. Antara kelebihan malam ini ialah:

  • Dikatakan lebih baik daripada seribu bulan. Imam al-Qurtubi berkata: “Malam Qadar mempunyai kelebihan kerana banyaknya keistimewaan dan malam tersebut dibahagikan kebaikan yang banyak yang tidak terdapat seumpamanya pada seribu bulan. Ramai ulama dan ahli tafsir berpendapat amalan dilakukan pada malam Qadar lebih baik daripada seribu bulan yang tiada padanya malam Qadar. Hal ini, disokong oleh Abu al-‘Aliyah.
  • Malaikat dan Jibril turun pada malam tersebut. Imam Qurtubi berkata: “Mereka turun daripada setiap langit dan juga Sidratul Muntaha ke langit dunia untuk mengaminkan doa orang yang memohon pada malam tersebut hingga waktu fajar.
  • Turunnya malaikat dan Jibril membawa rahmat dengan perintah Tuhan.
  • Mendapat keselamatan dan kebaikan semuanya tanpa sebarang kejahatan hingga keluarnya fajar. Al-Dahhaq berkata: “Allah tidak takdirkan pada malam tersebut kecuali keselamatan. Sedangkan Mujahid berpendapat: “Ia merupakan malam selamat di mana syaitan tidak mampu untuk melakukan sebarang kejahatan pada malam tersebut.” Lihat Tafsir al-Qurtubi 20/133Waktu Atau Bilakah Berlakunya Lailatulqadar?

    Diriwayatkan daripada Sayidatina Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW apabila tiba 10 hari terakhir bulan Ramadan, Baginda menghidupkan malam tersebut dengan membangunkan isi rumah dan menjauhi daripada isteri-isterinya.

    Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan yang bermaksud: “Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadan malebihi usahanya daripada malam-malam lain.”

    Lailatulqadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil di bulan Ramadan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Carilah Lailatulqadar pada sepuluh akhir bulan Ramadan dalam malam ganjil.”

    Kesimpulan:

    Imam Ibn Rajab al-Hanbali Rahimahullah menyatakan. Sebahagian ulama mazhab Syafie menakalkan riwayat daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa:

    يصلي العشاء في جماعة و يعزم على أن يصلي الصبح في جماعة و قال مالك في الموطأ بلغني أن ابن المسيب قال : من شهد ليلة القدر ـ يعني في جماعة فقد أخذ بحظه منها و كذا قال الشافعي في القديم : من شهد العشاء و الصبح ليلة القدر فقد أخذ بحظه منها

    Maksudnya: Menghidupkan malam Lailatul Qadar akan terhasil apabila seseorang mendirikan solat ‘Isya’ secara berjemaah dan berazam untuk melakukan solat Subuh secara berjemaah jua. Imam Malik merekodkan dalam al-Muwatta’ bahawa Imam Ibn al-Musayyib berkata: Sesiapa yang bertemu dengan Lailatul Qadar bermaksud (yang mendirikan solat) dalam berjemaah (pada malam tersebut), maka dia akan memperolehi kebaikan malam itu. Begitu jualah yang dikatakan oleh Imam asy-Syafie rahimahullah dalam pendapat lamanya: Sesiapa yang mendirikan solat Isya’ dan Subuh pada malam Lailatul Qadar, maka dia akan memperoleh kebaikannya.” Lihat Lathaif al-Maarif (hal. 159).

    Sumber asal baca di sini:  

    BAYAN LINNAS SIRI KE-31: LAILATULQADAR.....CARILAH

    https://draft.blogger.com/blog/post/edit/8170035132363746643/9208027056652756853
     

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PILIHANRAYA DAN KEBEBASAN BERSUARA

Tidak dapat dielakkan. Bila wakil rakyat meninggal dunia, kerusinya perlu diganti. Wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen (AP)atau Ahli Dewan U...