Selasa, 1 Ogos 2023

BAHASA POLITIK PILIHAN RAYA KINI

 PRN enam negeri catat sejarah tersendiri

Pilihan Raya Negeri bagi enam negeri di semenanjung akan berlangsung pada 12 Ogos 2023. Hari penamaan calon juga telah selesai.  Calon yang bertanding telah diketahui.  Dua gabungan parti utama yang akan bertanding ialah Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional.

Apa yang nak capai dalam pilihanraya ini?  Tentulah masuk bertanding untuk menang.  Untuk menang setiap parti bersedia dengan alasan dengan strategi untuk memenangi hati pengundi.  Janji-janji pilihanraya akan berkumandang setiap hari semasa berkempen berlangsung.   Strategi untuk menjatuhkan lawan akan digunakan dengan pelbagai muslihat politik.  Bukan mudah untuk tawan hati pengundi untuk undi calon yang bertanding.  Masing-masing ada pelbagai perspektif dan persepsi semasa menilai calon bertanding.

Bahasa digunakan sebagai medium menyampaikan tawaran dalam kempen pilihanraya.  Menggunakan bahasa politik yang penuh taktikal penting dalam pertandingan ini.  Namun tawaran sahaja tidak memadai.  Semua yang ditawarkan sudah tentu akan disambut dengan bangkangan pihak lawan.  Isu yang dilihat lurus akan dikatakan bengkok.  Jika putih dikatakan hitam.  

Dalam hal ini, kebijakan pengundi memilih sangat penting.  Pengundi pula datang dari pelbagai kumpulan manusia.  Ada yang terima bulat-bulat isu yang diketengahkan.  Bagi pengundi baru yang tidak berparti sukar ditelah fikirannya. Bagi ahli parti, selalunya mereka adalah pengikut parti yang taat tanpa berfikiran kritis.  Ada pula yang berdiri atas pagar.  Kelompok ini juga susah nak diterjemahkan fikirannya.  

Dalam konteks PRN ini, bahasa politik dengan memainkan isu agama, bangsa dan raja dilihat telah dieksploitasi secara berleluasa.  Amalan memburukkan wajah tokoh politik lawan dijadikan ramuan mudah untuk hidangan pengundi.  Walaupun sempadan agama difahami kesannya jika amalan kotor ini digunakan, namun isu agama telah digunakan secara berleluasa untuk berkuasa.  Amalan demokrasi yang bebas untuk memilih telah juga tercemar dengan bahasa politik kesat.  Golongan agama dilihat menggunakan isu agama untuk menang. Takfiri menjadi senjata mudah untuk menikam musuh.  Isu kaum juga dilihat menajamkan lagi sengketa politik sejak akhir-akhir ini. 

Bahasa dengan gaya yang pelbagai untuk memenangi hati pengundi sudah tidak penting dalam kempen pilihanraya.  Gaya bahasa memujuk dengan berhikmah sukar ditemui.  Dengan gaya bahasa kasar yang menyakitkan telinga pula dilihat menarik ramai pendengar.  Bahasa politik kini tidak mengandung unsur kesederhanaan dalam komunikasi memujuk. Natijahnya ialah masyarakat akan menjadi semakin kusut akibat hidangan politik keterlaluan tanpa fikiran rasional.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

PILIHANRAYA DAN KEBEBASAN BERSUARA

Tidak dapat dielakkan. Bila wakil rakyat meninggal dunia, kerusinya perlu diganti. Wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen (AP)atau Ahli Dewan U...