Isnin, 23 April 2012

PEMANDU TEKSI DAN KASIH IBU


Sepanjang perjalanan dari LCCT Sepang ke rumah saya di Bandar Baru Bangi dengan menaiki teksi begitu bermakna. Kebiasaannya salah seorang anak saya akan jemput saya di LCCT. Tapi pada hari petang Khamis yang lalu, mereka ada urusan masing-masing. Yang biasa menjemput saya anak kedua, tapi kini sedang bercuti dengan isterinya di London. Yang sulung pula bertugas di luar stesen di Labuan. Anak lelaki keempat pula baru saja mula kerja di Bangi dan pulang lewat petang.

Begitulah sibuk anak-anak sekarang. Mungkin waktu saya balik dari Brunei tidak kena masanya. Jadi terpaksa naik teksi dari LCCT Sepang. Tapi semua itu tidak menjadi masalah sebab ada banyak teksi yang boleh dinaiki. Bayar saja di kaunter, teksi sudah sedia untuk dinaiki. Saya naik teksi yang pemandu bangsa Cina. Pada awalnya, pemandu teksi tersebut hanya asyik memandun. Tak bercakap sepatah kata pun. Namun, dia nampak gelisah masa memandu. Tingkahlakunya saya perhatikan sejak mula duduk di bahagian belakang. Mungkin ada sesuatu yang difikirkannya. Sesekali dia baca mesej yang diterima melalui telefon bimbitnya.



"Apa macam tauke, ada bagus ke bisnes hari ni?" Saya mulakan pertanyaan setelah sekian lama memerhati gelagatnya dari tempat duduk belakang. Sekali sekala saya menyelak-nyelak majalah yang tersedia dalam poket di tempat duduk hadapan saya. Bagus juga pemandun ini sebab ada inisiatif beri peluang penumpang membaca sambil menunggu sampai ke destinasi.

"Terukla sekarang. Teksi banyak di LCCT. Susah cari makan." Jawab pemandu teksi yang agak seronok untuk bercerita tentang kerjanya apabila saya mulakan pertanyaan.
"Sudah lapan tahun bawa teksi airport. Cukup makanlah." Dia menambah seraya melihat-lihat pada SMS yang baru diterimanya.
"Hidup satu orang oklah. Tak da susah orang lain. Cari wang bagi mama saja" Sambung dia lagi memanjangkan cerita hidupnya. Dia masih bujang walaupun umurnya sudah jangkau 58 tahun. Dia begitu ambil berat akan kehidupan mama (emak)nya.

"Mama sudah 88 tahun. Tapi kita anak nombor satu mesti jaga dia baik-baik. Dulu masa kecil, dia jaga kita sampai besar." Sambung pemandu yang semakin mesra berkomunikasi dengan saya. Saya hanya mengiakan kata-katanya yang agak menyentuh hati saya. Seorang pemandu teksi bangsa Cina yang amat sayangkan ibunya. Menurutnya lagi, setiap bulan dia akan berikan RM 800 kepada adiknya yang menjaga ibunya sepenuh masa. Ayahnya meninggal semasa dia masih kecil. Jadi dia rasa tanggung jawab cari nafkah untuk bantu keluarga. Hanya dengan pandu teksi. Walau bagaimanapun, menurutnya, dia tak mampu kahwin sebab tak cukup wang.

"Kawin sekarang banyak pakai wang. Mana cukup wang mau beli cincin, gelang, makan restoran. Tak mampu. Lebih baik hidup satu orang macam ni. Okla.." Sambung cerita pemandu teksi. Saya kagum dengan sikap dia. Terus terang. Hidup menurutnya jangan menyusahkan orang lain. Kalau tak mampu jangan dibuat. Pada dia, jaga emak lagi berfaedah berbanding dengan jika kahwin yang boleh menyusahkan hidupnya.
"Apa mau buat lagi. Tunggu mati sajalah!" Balasnya selamba.

Saya kagum dengan iltizam pemandu tersebut menjaga emaknya. Dia agak marah apabila ada mereka yang tidak mahu menjaga ibu yang sudah tua. Saya rasa terharu sepanjang perjalanan sebab pulang saya kali ini pun sebab nak ziarah mak yang tidak sihat setelah buat kemoterapi kanser yang dihidapinya.

Saya sempat ziarah mak dua hari. Pagi Ahad yang lalu saya perlu pulang ke Brunei. Semasa sedia berbaris untuk boarding di LCCT, saya dapat panggilan daripada adik bongsu yang beritahu mak sukar nak bernafas...Dalam pesawat, hanya doa dan tawakal kepada Allah agar lindungi mak.

Setiba di Brunei airport terus telefon kakak tanya hal emak. Dia kata, mak dah dibawa ke klinik untuk rawatan dan  keadaannya semakin pulih..alhamdulillah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SEDEKAH

  Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh t...