Selasa, 15 Mei 2012

Humor dalam pengajaran bahasa

Oleh Yahya Othman, PhD


Humor dikaitkan dengan kelucuan yang menjadikan seseorang seronok mendengarnya. Dalam pengajaran bahasa, unsur humor juga penting untuk menjadikan hasil pemelajaran lebih bermakna kepada pelajar.  Untuk tujuan tersebut,  guru menggunakan bahasa yang boleh menimbulkan rasa lucu, grafik seperti kartun, dan bahasa badan yang boleh menimbulkan suasana menyeronokkan.  Suasana pemelajaran  yang ceria dan tidak terlalu tegang sesuai untuk menimbulkan dorongan kepada pelajar.  Dalam hal ini, mata pelajaran Bahasa Melayu juga perlu diajar dalam suasana yang selesa dan tidak hanya menekankan kepada penguasaan isi kandungan semata-mata.  Contohnya, pelajar akan merasa tidak selesa dengan guru bahasa yang berupaya mengajarkan tatabahasa tetapi dalam suasana membosankan.


            Mengapa perlu humor dalam pengajaran bahasa?  Menurut Loomax dan Moosavi (1998), penggunaan humor dianggap alat yang berkesan semasa mengajar.  Keberkesanan  humor dalam pengajaran dan pemelajaran dilihat berdasarkan fungsinya yang tidak menimbulkan rasa tegang dan takut kepada pelajar dalam bilik darjah.  Mereka berasa seronok dengan iklim pemelajaran yang diwujudkan.  Pelajar akan memberikan tumpuan dan minat terhadap pelajaran apabila mereka rasa seronok untuk belajar.  Penyediaan iklim pemelajaran yang sesuai juga dipengaruhi oleh kaedah yang digunakan oleh guru semasa mengajar.  Guru bahasa yang cekap dan diminati oleh pelajarnya mampu mengajar dengan menyelitkan unsur humor dalam pengajarannya.  Dengan cara tersebut juga, hubungan antara guru dengan pelajar dapat dipertingkatkan terutama bagi tujuan memudahkan proses pemelajaran agar lebih berkesan.  Keadaan yang ceria dalam bilik darjah juga membantu meningkatkan lagi aspek kecerdasan emosi pelajar yang perlu dilibatkan dalam aktiviti pemelajaran.

            Menurut Provine (2000), ketawa melalui penggunaan unsur humor amat diperlukan dalam memenuhi keperluan psikologi manusia.  Keperluan ini juga dilihat penting dalam pengajaran bahasa yang banyak berteraskan keupayaan untuk berkomunikasi.  Interaksi yang diwujudkan dalam bilik darjah antara guru-pelajar dan pelajar-pelajar dapat dipertingkatkan kualitinya melalui penggunaan humor.  Untuk tujuan tersebut, guru perlu lebih bersedia dengan meletakkan objektif pengajaran yang jelas terutama memilih bahan yang sesuai yang boleh melucukan pelajar.  Dalam bilik darjah yang terdiri dari pelajar pelbagai tahap minat dan kebolehan, tentulah sukar untuk guru memikirkan aktiviti yang sesuai untuk keperluan kesemua pelajar.  Penekanan perlu diberikan untuk mengelakkan tingkah laku tidak suka menonjolkan diri dalam melakukan aktiviti dalam bilik darjah.  Terdapat pelajar yang tidak suka kepada perkara yang melibatkan unsur humor dan lebih suka kepada perwatakan berdiam diri (Provine, 2000).   Guru perlu merancang agar dapat menggalakkan pelajar yang pendiam turut serta dalam aktiviti untuk meningkatkan lagi penguasaan komunikasi verbal secara autentik.  Humor yang terancang dengan baik mampu menjadikan pelajar ketawa dan pemelajaran akan lebih menyeronokkan.



            Apakah pula ciri humor yang sesuai untuk tujuan pemelajaran bahasa?  Dalam hal ini, humor perlulah sesuai dengan penetapan objektif pengajaran bahasa.  Humor yang digunakan oleh guru perlu sesuai dengan tahap kebolehan pelajar.  Guru juga perlu mengambil kira unsur bahasa yang terdapat di dalam humor tersebut dan memastikan wujud nilai yang sesuai untuk disampaikan kepada pelajar.  Jika humor tersebut diambil dari lukisan kartun dalam komik, ambil kira kesesuaiannya dengan budaya masyarakat.  Elakkan dari mengambil bahan yang tidak berkualiti sama ada dari segi grafik atau bahasa yang digunakan. 

Bahan pengajaran juga perlulah bertujuan menambahkan pengetahuan pelajar sama ada dari segi bahasa atau ketrampilan dalam berkomunikasi.  Terdapat bahan-bahan yang berkualiti sama ada berbentuk kata-kata yang boleh membantu pelajar meningkatkan penguasaan bahasanya.  Di samping pelajar berasa seronok dengan penggunaannya, guru juga dapat mempelbagaikan penggunaan bahan dalam pengajaran.  Penggunaan humor juga perlu berteraskan pendidikan yang dapat disalurkan secara tidak langsung dalam pengajaran guru.  Oleh itu, humor yang digunakan mampu menjana pemikiran yang sihat terutama aspek yang melibatkan pemikiran kritis dan kreatif.

            Penggunaan unsur humor dalam pengajaran tidak bermakna menjadikan guru bahasa sebagai pelawak.  Namun perkara penting yang perlu dititikberatkan ialah kekerapan penggunaannya dalam pengajaran dan pemelajaran.  Adalah wajar jika unsur tersebut digunakan setiap kali pengajaran walaupun dalam waktu yang singkat sama ada pada permulaan pengajaran ataupun dalam langkah-langkah pengajaran seterusnya.  Lebih sesuai lagi jika guru dapat melihat dan mewujudkan suasana ceria bilik darjah ketika mengajar.  Jika pelajar kelihatan kurang berminat atau tidak memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pemelajaran, maka guru boleh menggunakan unsur tersebut dalam penyampaiannya.


            Dalam melaksanakan penggunaan humor dalam pengajaran bahasa, guru perlu mengambil kira beberapa petua yang dikira boleh memberi kesan positif terhadap pencapaian objektif pengajaran.  Guru Bahasa Melayu sepatutnya tidak melaksanakannya secara serius sehingga boleh menjejaskan kualiti persediaan pengajaran guru secara keseluruhannya.  Dalam hal ini, guru perlu melakukannya secara bersahaja dan tanpa tekanan.  Jika dilaksanakan dalam keadaan tertekan, ini boleh mengakibatkan humor yang hendak disampaikan tidak bersifat bersahaja dan tidak melucukan.  Jika ini berlaku, kemungkinan matlamat untuk menjadikan pengajaran dan pemelajaran suatu pengalaman yang menyeronokkan kemungkinan tidak terhasil.  Di  samping itu, guru bahasa juga perlu menyedari bahawa penggunaan humor dalam bilik darjah bertujuan untuk memberikan galakan  dan dorongan kepada pelajar.  Untuk tujuan tersebut, persediaan yang sepatutnya perlu dilakukan seperti membuat rujukan dan mewujudkan pemikiran yang kreatif.

            Dalam apa juga keadaan, guru perlu mengambil kira keupayaannya untuk melaksanakan sesuatu kaedah pengajaran.  Penggunaan humor juga perlu dilaksanakan berdasarkan kemampuan guru tersebut untuk melakukannya.  Pelbagaikan bahan yang hendak digunakan seperti menggunakan gambar yang melucukan atau unsur humor berdasarkan bahasa badan yang boleh menerbitkan ketawa.  Perlu juga difikirkan kepelbagaian pelajar yang memiliki tahap kognitif dan afektif yang berbeza.

            Penggunaan unsur humor yang tidak dirancang dengan baik juga boleh menyebabkan pelajar tidak suka dengan guru bahasanya serta tidak meminati pelajaran tersebut.  Elakkan penggunaan bahasa atau kartun bersifat menyindir yang boleh menyebabkan wujudnya pandangan negatif pelajar terhadap guru.  Humor juga merupakan sebahagian dari pemelajaran dalam pengurusan bilik darjah. Oleh itu, penggunaan humor tidak dilakukan secara terasing dalam pengajaran.   Guru bahasa tidak perlu menggunakannya terlalu kerap sehingga boleh menurunkan nilai pengajarannya serta dilihat sebagai tidak berkesan.    Pastikan juga bahawa humor yang digunakan berkaitan dengan pemelajaran dan secara langsung tidak menjadikannya terpisah dari tujuan penguasaan kemahiran bahasa. 

`Dalam pengajaran Bahasa Melayu, pelajar akan berasa bosan jika guru secara rutin mengajar tanpa memikirkan inovasi sama ada dalam aspek pedagogi mahupun penggunaan bahan.  Pelajar kadangkala sudah dapat mengagak langkah pengajaran yang akan dilakukan oleh guru bahasa semasa mengajar.  Oleh itu, penyelitan unsur humor dijangka dapat membantu mengatasi masalah ini.  Dalam mengajarkan kemahiran bahasa seperti kemahiran lisan, membaca dan menulis, guru perlu peka terhadap keperluan mengaplikasikan unsur tersebut kepada pelajar.  Dalam aktiviti lisan, guru boleh menggunakan percakapan lisan secara tidak langsung untuk menimbulkan kelucuan kepada pelajar.  Contohnya dengan menggunakan perkataan yang biasa atau bahasa slanga yang sering digunakan oleh pelajar dan mereka anggap melucukan.  Guru juga boleh membina ayat yang menunjukkan unsur humor sama ada dari segi maksudnya ataupun penggunaan perkataan yang boleh menimbulkan kelucuan. Bagi pengajaran pemahaman membaca, penggunaan teks berbentuk naratif memberi peluang kepada guru untuk mewujudkan kelucuan.  Contohnya, meminta pelajar membuat andaian atau jangkaan terhadap kesudahan cerita teks yang dibaca.  Kadangkala idea dan respons yang diberikan oleh pelajar sudah mampu untuk melahirkan kelucuan.   Pengajaran kemahiran menulis juga mampu memberikan peluang kepada guru untuk menggunakan unsur humor.  Contohnya dengan menggunakan gambar kartun atau gambar yang melucukan dapat membantu menceriakan lagi suasana pemelajaran menulis karangan. 

            Apakah masalah yang dihadapi dalam mengaplikasikan unsur humor dalam pengajaran Bahasa Melayu? Perkara utama yang menyukarkan guru untuk mewujudkan humor dalam pengajaran ialah sifat guru yang kurang kreatif.  Humor  dapat digunakan semasa pengajaran jika guru bersedia untuk merancang secara kreatif dengan melibatkan penggunaan bahan dan teknik yang sesuai.  Proses pemikiran kreatif juga perlu diasuh dan digalakkan semasa mengajar agar guru dapat menguasainya dengan baik.  Bakat juga memainkan peranan penting dalam mengaplikasikan unsur humor dalam pengajaran.  Guru yang berbakat secara semula jadi selalunya mampu menyesuaikan keadaan bilik darjahnya dengan bahan pengajaran.  Bakat untuk mewujudkan suasana lucu dalam bilik darjah dapat dikuasai melalui pengalaman mengajar guru serta sejauh mana ia menguasai kandungan pelajaran.  Apabila guru sudah menguasai kandungan mata pelajaran dengan cukup baik, mereka tidak menghadapi masalah untuk  menceriakan lagi iklim pengajaran dan pembelajaran.   Pendedahan secara terancang kepada guru Bahasa Melayu untuk menggunakan unsur humor dalam pengajaran juga perlu dilakukan.  Perancangan secara bersistematik dengan mengambil kira kesesuaian bahan, teknik mengajar dan tahap kebolehan pelajar perlu   didedahkan kepada guru Bahasa Melayu.  Humor tidak akan berkesan kepada pelajar jika guru tidak serius dan tidak menganggap  penting unsur tersebut.   

            Matlamat pengajaran Bahasa Melayu  ingin melihat pelajar dapat menguasai bahasa tersebut dengan baik dan berkesan.  Keberkesanan pengajaran dapat dinilai melalui kepelbagaian bahan dan teknik yang digunakan semasa mengajar.  Oleh itu,unsur humor mampu menjadikan pengajaran dan pemelajaran bahasa lebih berkesan, ceria dan tidak membosankan.
                       
           

 

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SAKSI ATAS DIRI SENDIRI

  Dalam bukunya, 59 Kaedah Al-Quran Untuk Jiwa dan Kehidupan, Dr. Umar Abdullah al-Muqbil (2012)  menghuraikan kaedah keempat.  Beliau meny...