Sunday, May 13, 2012

PRU 13: Ibu segala pilihan raya

Oleh Amin Iskandar, Malaysian Insider

13 MEI — Kemana pun saya pergi semenjak dua menjak ini, perbincangan mengenai pembubaran parlimen dan tarikh pilihan raya tidak pernah berhenti.Khabar angin paling popular kini adalah perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak akan bertemu Yang Di Pertuan Agong pada 10 Mei 2012 bagi membubarkan parlimen.Jika ianya berlaku maka kita akan menyaksikan pilihan raya umum ke 13 (PRU 13) berlangsung pada pertengahan bulan Jun.

Secara peribadi saya merasakan parlimen akan dibubarkan sehingga tamat tempoh pada tahun 2013 di atas banyak faktor. Faktor-faktor ini boleh kita bincangkan dalam penulisan akan datang.Untuk kali ini, biarlah berkisar pada khabar angin PRU 13 pada bulan Jun.Di laman Twitter, seringkali terlihat rakan-rakan media mengeluh meminta perdana menteri membubarkan parlimen secepat mungkin. Mereka terlalu letih menunggu dan hidup dalam keadaan berteka-teki.



Apatah lagi PRU 13 merupakan pilihan raya penting — dikatakan sebagai ibu kepada segala pilihan raya. Mengapa? Kerana buat pertama kali dalam sejarah Malaysia, parti pembangkang bersatu padu.Pakatan Rakyat (PR) menjadi pencabar hebat kepada Barisan Nasional (BN) dan yakin akan melangkah ke Putrajaya selepas PRU 13.

Impak perhimpunan BERSIH 3.0

Perhimpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu akan memberikan impak besar kepada negara.Jika perhimpunan BERSIH 1.0 pada 2007 menyebabkan berlakunya Tsunami politik pada 2008, BERSIH 3.0 bakal menyebabkan BN tumbang dari kekuasaan.
Peratusan undi Cina yang menyokong PR akan meningkat dengan tinggi. MCA dan Gerakan bakal tutup kedai. Selepas PRU 13, mungkin ramai yang akan menyertai DAP atau PKR.Persempadanan semula yang terakhir dilakukan menjadi pembunuh kepada BN. Jika dahulu, di kawasan-kawasan campuran – penduduk berbilang bangsa, BN pasti akan selamat.

Kini tidak lagi. Kawasan campuran menjadi asset kepada PR. Letakkan siapa pun asalkan bukan BN pasti akan menang di kawasan campuran.Kawasan majoriti Melayu dan pendalaman mungkin akan membantu BN. Akan tetapi, krisis politik antara kerajaan dan mahasiswa pasti akan merubah senario ini.Perjuangan mahasiswa untuk menuntut pendidikan percuma akan mempengaruhi ibubapa mereka di kampung.Jika BN tidak melakukan sesuatu dan terus angkuh tidak melayan tuntutan mahasiswa, tidak mustahil undi di kawasan kubu kuat juga akan beralih.

Apakah ibubapa mahasiswa yang menyokong kuat kerajaan BN akan berdiam diri tatkala mereka tahu tentang skandal NFC.Bagaimana pula dengan perlupusan hutang Tan Sri Tajudin Ramli oleh kerajaan? Takkanlah pendidikan percuma tidak boleh diberi kepada mahasiswa?Jika Cuba yang tidak mempunyai banyak hasil selain dari penanaman tebu, eksport curut dan kepakaran dalam perubatan mampu memberikan pendidikan percuma sehingga peringkat tertinggi, apatah lagi Malaysia.

Reformasi pilihan raya

Setengah juta rakyat yang turun pada 28 April lalu mahukan reformasi pilihan raya dilakukan sebelum PRU 13.Jika perdana menteri bubarkan parlimen sebelum itu, kita akan menyaksikan kemarahan rakyat lebih dari tahun 2008. Jika itu berlaku, BN dalam bahaya. Tidak mustahil Najib duduk di kerusi ketua pembangkang.

Jika BN menang sekalipun, keputusan pilihan raya pasti dianggap dimanipulasi. Malaysia akan melalui sejarah Mesir.Senator Ezam Mohd Nor — sebelum ini pernah mengatakan Malaysia tidak akan mengikut jejak Mesir kerana gaji pensyarah di Malaysia lebih tinggi di Mesir.Ezam tersilap. Beliau mungkin terlepas pandang kejadian di beberapa negara. Presiden Joseph Estrada dijatuhkan dalam revolusi kebangkitan rakyat pada tahun 2001.Siapa di belakang revolusi tersebut? Golongan kelas menengah. Golongan rakyat bawahan di Filipina pada ketika itu, teguh di belakang Estrada.

Jika alasan rakyat belum mati kelaparan dijadikan hujah mengapa tidak boleh berlakunya perubahan politik, ertinya Senator Ezam masih perlu banyak belajar.Apatah lagi pertentangan kelas di Malaysia pada hari ini sangat jelas. BN mewakili kelas elit, peniaga besar dan birokrat.Manakala PR pula disokong oleh — golongan kelas menengah, peniaga kecil dan golongan tertindas dalam masyarakat.

Apa-apa pun, jika benar PRU 13 pada bulan Jun, bersama-samalah kita merayakan pesta demokrasi di negara kita.

*Segala pandangan di atas hanyalah pandangan peribadi penulis.


Artikel asal baca di sini

No comments:

Post a Comment

KEMBARA UZBEKISTAN MAC 2018

Video lawatan kami Bukhara Kompleks madrasah di Tashken Makam-makam di Taskhen Binaan Masjid di Taskhen Puncak ...