Selasa, 28 Mei 2019

QIAMULLAIL


Qiamullail ialah satu amalan sunat yang bererti ‘bangun malam’ iaitu bangun dengan tujuan untuk beribadat kepada Allah SWT.  Qiam bermaksud bangun dan lail bermaksud malam. Apa kelebihan qiamullail? Dalam bulan Ramadan, amalan qiamullail dituntut sebagaimana firman Alllah: 

Firman Allah SWT: Maksudnya: “Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjalah sembahyang tahajjud padanya sebagai sembahyang tambahan bagimu, semoga Tuhanmu membangkitkan dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji.” (Surah al-Isra’: 79) 

Dalam firman-Nya yang lain berbunyi: Maksudnya: “Dan (dengan apa keadaan pun) maka pada sebahagian waktu malam sujudlah kepada Tuhanmu (dengan mengerjakan sembahyang) dan (seboleh2 bolehnya) bertasbihlah memuji-Nya (dengan mengerjakan sembahyang Tahajjud), pada sebahagian yang panjang dari waktu malam.” (Surah al-Insan: 26)

Rasulullah sentiasa melakukan qiamullail dengan bersungguh-sungguh seperti  yang digambarkan oleh Aisyah RA dalam hadis yang bermaksud: “Bahawa Rasulullah SAW bangun sebahagian daripada malam bersembahyang hingga bengkak kedua kakinya, maka aku (Aisyah) berkata kepada baginda, mengapa Rasulullah SAW lakukan ini semua, bukankah dosa tuan telah diampunkan oleh Allah sama ada yang 3 terdahulu ataupun yang terkemudian? Baginda menjawab: Salahkah aku menjadi hamba yang bersyukur?” (Muttafaq Alaih)

Bangun bersembahyang, bertasbih dan membaca al-Quran pada sebahagian daripada malam boleh memberi kesan yang mendalam kepada jiwa orang yang melakukannya. Firman Allah SWT yang berbunyi: Maksudnya: “Sesungguhnya bangun beribadat pada waktu malam itu adalah sangat berkesan (dalam hati) dan lebih betul bacaannya.” (Surah al-Muzammil: 6)

Berdasarkan kepada ayat-ayat al-Quran dan hadith-hadith yang disebut di atas menunjukkan bahawa di antara amalan-amalan yang disunatkan semasa qiamullail ialah mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat, membaca al-Quran, berzikir dan beristighfar memohon ampun ke hadrat Allah SWT. Tentang sedikit atau banyaknya mengerjakan amalan-amalan sunat bergantung kepada kemampuan seseorang. Jika seseorang itu hanya mampu mengerjakan hanya dua rakaat sembahyang Tahajjud sahaja umpamanya, maka ini juga dikira melakukan ibadat qiamullail.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SEDEKAH

  Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh t...