Selasa, 28 Mei 2019

LAILATUL QADAR

Firman Allah SWT:
(۲)إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿۱﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ 
 لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.”
(Surah al-Qadr: 1-3)
Perkataan Lailatulqadar adalah daripada dua kalimah:
Lailah yang memberi maksud apabila tenggelamnya matahari sehingga terbitnya fajar atau berlawanan dengan siang hari.
Sedangkan al-Qadar pula memberi maksud kemuliaan atau hukum dan ketetapan.
Para ulama berbeza pendapat apabila Qadar disandarkan kepada malam. Ada ulama berpendapat ianya kerana kemuliaan dan terdapat juga pendapat-pendapat lain.
Ibn Qudamah berpendapat malam qadar ialah malam yang mulia, diberkati, diagungkan dan mempunyai banyak kelebihan. Lihat al-Mughni 3/178.
 Ibn al-Jauzi mengemukakan 5 pendapat berkenaan dengan nama malam qadar itu:
  • Dengan maksud agung. Inilah pendapat al-Zuhri
  • Dengan makna sempit kerana dunia pada malam tersebut menjadi sempit dengan ramainya malaikat yang turun. Inilah pendapat al-Khalil bin Ahmad.
  • Dengan makna hukum atau keputusan kerana pada malam tersebut semua urusan ditentukan oleh Allah SWT. Inilah pendapat Ibn Qutaibah.
  • Kerana siapa yang tidak mempunyai kemuliaan akan mendapat kemuliaan dengan melakukan ibadat pada malam tersebut. Inilah pendapat Abu Bakar al-Warraq.
  • Kerana diturunkan pada malam tersebut kitab yang mempunyai kemuliaan di samping rahmat dan malaikat juga turun pada malam tersebut. Inilah pendapat guru kami Ali bin Ubaidillah.
 Sayid Qutub berkata: Terdapat ayat-ayat al-Quran yang menyebut peristiwa malam ini berkilauan memancarkan cahaya, ia melimpahkan cahaya yang tenang, indah dan mesra iaitu cahaya Allah yang gemilang di dalam al-Quran-Nya.
Syeikh al-Maraghi berkata: Malam itu ialah saat kemunculan sinar petunjuk dan hari permulaan bagi agama baru yang diturunkan kepada seseorang yang terbaik dalam kalangan seluruh manusia.
Malam ini dikira sebagai batu asas agama Islam yang menjadi penutup kepada seluruh agama para Nabi. Penurunannya adalah sesuai dengan tuntutan zaman dan tempat. Malam ini lebih baik daripada seribu bulan. Selama ini, mereka hidup dalam kegelapan syirik dan menyembah berhala. Mereka meraba-raba tanpa petunjuk dan tidak mengikut jalan kehidupan dan acuan yang sebenar.
Rujukan:  Lailatulqadr...carilah (Bayan Linnas;  Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

TIDAK MELUPAKAN KEBAIKAN

KAEDAH KETIGA: Menekankan muamalah dalam kehidupan.  Interaksi dengan orang lain.  Kita diajar tidak melupakan kebaikan orang. Keseluruhan...